Tuesday, April 13, 2010

Kursus Pra Perkahwinan


Seramai 120 orang peserta terdiri daripada staf serta pelajar UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru dan masyarakat setempat telah menyertai Kursus Pra Perkahwinan. Kursus ini telah diadakan selama dua hari pada 30 & 31 Januari 2010. Sijil kursus ini telah dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Johor.


Antara tujuan utama penganjuran program ini adalah untuk memberi input dan kefahaman berkaitan alam perkahwinan bagi golongan yang bakal bergelar pegngantin. Kursus ini juga, telah dijadikan syarat oleh Jabatan Agama Islam kepada setiap individu sebelum mendirikan rumah tangga.


Kursus ini mengandungi sebanyak 13 slot ceramah yang disampaikan oleh pakar dalam bidang tertentu seperti kadi dalam bidang hukum-hakam perkahwinan, peguam syarie dalam bidang undang-undang kekeluargaan, doktor dalam bidang kesihatan, kaunselor dalam bidang kaunseling rumah tangga dan banyak lagi.


Azri bin Bhari
Pusat Pemikiran & Kefahaman Islam (CITU)
UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru

Kursus Penyembelihan

Ceramah Kursus Penyembelihan disampaikan oleh Ustaz Sabaruddin bin Isnin (Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Islam Johor)

Antara tetamu jemputan yang hadir Ustaz Sidek Abdullah (Ketua Pusat Pemikiran & Kefahaman Islam, UiTM Johor), Encik Azizi Redza bin Zainal (Pengurus Pembangunan, Perbadanan Islam Johor)

Para peserta lelaki asyik mendengar ceramah.

Para peserta wanita asyik mendengar ceramah.

Praktikal penyembelihan lembu.

Skuad melapah.

Peserta staf UiTMJB menyembelih ayam.

Peserta Perbadanan Islam Johor menyembelih ayam.

Gotong-royong membersihkan ayam.

Gotong-royong membersihkan ayam.

Gotong-royong memproses ayam untuk dimasak.

Pada 20 Januari 2010 bersamaan 4 Safar 1431 H, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru dengan kerjasama dan tajaan Perbadanan Islam Johor telah mengadakan kursus penyembelihan dengan jayanya. Peserta kursus ini terdiri daripada 450 orang pelajar serta 80 orang staf UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru dan 10 orang peserta dari Perbadanan Islam Johor.

Kursus ini telah dirasmikan oleh Ustaz Haji Sidek bin Abdullah, Ketua Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU) UiTM Johor. Turut hadir sebagai tetamu kehormat ialah En. Azizi Redza bin Haji Zainal, Pengurus Pembangunan Insan, Perbadanan Islam Johor.

Kursus ini dimulakan dengan taklimat teori penyembelihan yang di sampaikan oleh Ustaz Sabaruddin bin Isnin, Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Islam Johor. Setelah sesi taklimat selesai di dalam dewan, para peserta kursus bergerak ke padang untuk sesi praktikal penyembelihan. Alhamdulillah, para peserta berjaya melakukan praktikal sembelihan 99 ekor ayam dan satu ekor lembu dengan baik. Hanya terdapat seekor ayam sahaja yang menjadi bangkai kerana kesilapan seorang peserta perempuan yang terkejut dan takut apabila ayam menggelupur sebelum sembelihan sempat disempurnakan.

Setelah praktikal sembelihan diselesaikan, para peserta yang hadir bergotong-royong membersih serta memotong ayam dan melapah lembu untuk dijadikan hidangan makan tengahari. Seusai solat zohor, para peserta kursus menikmati hidangan hasil sembelihan yang telah siap dimasak.

Azri bin Bhari
Pusat Pemikiran & Kefahaman Islam (CITU)
UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru

Majlis Korban 1430 H (Hari Raya Korban)

Lembu siap sedia dikorbankan.

الله أكبر الله أكبر الله أكبر لا إله إلا الله والله أكبر الله أكبر ولله الحمد

Skuad melapah lembu korban bersiap sedia.

Gotong-royong melapah.

Gotong-royong mengerat tulang.

Gotong-royong merewang masak.

Gotong-royong merewang masak.

Gotong-royong merewang masak.

Selesai gotong-royong, menikmati juadah, melepaskan penat.

Warga UiTM Kampus Bandaraya Johor Bharu tidak ketinggalan dalam melaksanakan ibadah korban pada 30 November 2009 bersamaan 13 Zulhijjah 1430H. Seekor lembu telah dikorbankan pada hari tersebut. Semua staf bergotong royong melapah serta memasak selepas diagihkan kepada fakir miskin.


Aktiviti gotong-royong dimulakan seawal jam 8:00 pagi dan berakhir menjelang waktu zohor. Antara menu pada hari tersebut ialah gulai kawah, sup tulang, nasi putih dan ulam-ulaman beserta sambal belacan.


Azri bin Bhari
Pusat Pemikiran & Kefahaman Islam (CITU)
UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru

Program Ihya’ Ramadhan 2009

Ceramah persiapan menyambut ketibaan Ramadhan oleh Tuan Haji Faisal bin Mohamed (Ketua Penolong Pengarah Zakat, Baitulmal & Wakaf, Majlis Agama islam Johor)

Para hadirin asyik mendengar tip & panduan mengharungi ibadah di bulan Ramadhan.

Menyambut ketibaan perasmi majlis penutup Program Ihya' Ramadhan 2009
YB Tuan Haji Adam bin Sumiru (ADUN Tanjung Puteri)


VVIP yang hadir P.M. Zaluddin Sulaiman (Timb. Pengarah HEP UiTM JOhor), YB Tuan Haji Adam Sumiru (ADUN Tanjung Puteri) & P.M. Dr. Hj. Ahmad Che Yaacob (Koordinator UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru)

Adik Mohd Saad bin Zainuddin (mangsa kemalangan) menerima sumbangan derma kilat dari warga kampus.

Anak-anak yatim menerima sumbangan persiapan hari raya.

Anak-anak yatim diraikan.

Anak-anak yatim diraikan.

Kumpulan tadarus staf yang dikendalikan P.M. Dr. Hj. Ahmad Che bin Yaacob

Kumpulan tadarus di kalangan pelajar.

Gotong-royong bakar lemang.

Gotong-royong menyediakan lemang untuk hidangan berbuka puasa.

Gotong-royong menyediakan ketupat untuk hidangan berbuka puasa.

Gotong-royong menyediakan nasi beriyani ayam untuk hidangan berbuka puasa.

Tetamu yang hadir semasa perasmian penutupan Program Ihya' Ramadhan 2009.

Jamuan berbuka puasa harian di Surau al-Hidayah, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.

Solat terawih berjemaah di Surau al-Hidayah.

Sesi tazkirah selepas solat terawih.

Program Ihya’ Ramadhan 2009 yang bertemakan “Ramadhan disemai, Taqwa dituai” telah berjaya dijalankan dengan baik bagi menghidupkan suasana beribadah di bulan Ramadhan di kalangan warga kampus UiTM Kampus Bandaraya Johor bahru.


Program selama sebulan ini dimulakan dengan ceramah bertajuk “Ramadhan Bulan Mendidik Jiwa” pada 20 Ogos 2009 bersamaan 29 Sya’ban 1430 H (Khamis) yang disampaikan oleh Ustaz Haji Ahmad Faisal bin Mohamed, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Zakat Baitulmal & Wakaf, Majlis Agama Islam Johor. Seterusnya pada hari tersebut P.M. Dr. Hj. Ahmad Che Yaacob, Koordinator Kampus turut melancarkan tabung bantuan kewangan untuk anak-anak yatim dan adik Mohd Saad bin Zainuddin mangsa kemalangan yang lumpuh separuh badan.

Antara lain aktiviti yang dijalankan sepanjang bulan Ramadhan ialah tadarus al-Quran, iftar jamaie, solat tarawih berjemaah, tazkirah selepas solat tarawih, pembukaan kaunter kutipan zakat fitrah dan pelbagai lagi.

Kemuncak program Ihya’ Ramadhan telah diadakan pada 9 September 2009 bersamaan 19 Ramadhan 1430 H. Bermula pada awal pagi, warga kampus telah bergotong-royong menyediakan lemang, ketupat, rendang daging dan nasi minyak sebagai menu berbuka pauasa. Pada sebelah petang, program diserikan lagi dengan “Tautan Kasih” melibatkan seramai 40 orang anak yatim dari Sek. Keb. Kg. Pasir yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Perwakilan Kolej.

Majlis dimulakan dengan khatam al-quran, kemudian dirasmikan oleh Y.B. Tuan Haji. Adam bin Sumiru, ADUN Tanjung Puteri. Antara tetamu kehormat lain yang hadir ialah Prof. Madya Zaluddin Bin Sulaiman, Timb. Pengarah Hal Ehwal Pelajar, UiTM Johor dan P.M. Dr. Hj. Ahmad Che Yaacob, Koordinator UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.

Pada majlis tersebut, anak-anak yatim dan adik Mohd Saad bin Zainuddin mangsa kemalangan yang lumpuh separuh badan telah diraikan dengan jamuan berbuka puasa dan sedikit saguhati serta duit raya dari pihak yang bermurah hati memberikan sumbangan. Pada kesempatan yang ada, pihak UiTM Kampus Bandaraya juga telah melancarkan perasmian Majalah Pena Daksina yang julung kali diterbitkan. Majlis turut dimeriahkan lagi dengan persembahan nasyid dari Nahwan’z Inspiration Club, pentomen sempena kemerdekaan dan cabutan bertuah.

Azri bin Bhari
Pusat Pemikiran & Kefahaman Islam (CITU)
UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru

Wednesday, March 31, 2010

Katakan Tidak Pada April Fools

Katakan Tidak Pada April Fools’


Budaya meniru perbuatan dan perlakuan yang bukan dari ajaran Islam dilihat semakin menular di kalangan umat Islam di Malaysia pada hari ini. Bahkan perbuatan demikian dianggap sebati dan kebiasaan di dalam kehidupan.


Budaya April Fools’ yang selalu ditiru apabila menjelang 1 April setiap tahun secara umumnya adalah hari untuk memperdaya seseorang telah menjadi teras sambutannya. Sekiranya terpedaya mempercayai penipuan tersebut maka ejekan April Fools’ akan dicanangkan kepada sasaran.


Benarkah perlakuan memperdaya seseorang itu hanya sekadar gurauan. Adakah gurauan yang mempunyai unsur penipuan, pembohongan dan pendustaan diiktiraf dalam Islam? Namun begitu, sejauh mana gurauan itu dibenarkan dalam akhlak Islam?


Terdapat suatu pandangan yang menyatakan sambutan April Fools’ adalah bersempena dengan penghapusan dan penipuan ke atas umat Islam di Spanyol suatu ketika dahulu. Biar apa pun justifikasi terhadap asal usul April Fools’, penindasan terhadap umat Islam di Spanyol memang berlaku di dalam catatan sejarah.


Nabi s.a.w. telah mengingatkan kepada kita berkaitan larangan meniru perlakuan dan percakapan yang tidak baik melalui sabdanya : “Sesiapa sahaja yang menyerupai sesuatu kaum itu , maka dia itu termasuk di dalam golongan mereka".


Jangan Menipu


Menipu, berbohong atau berdusta adalah sikap yang tidak dibenarkan sama sekali. Sikap tersebut tergolong dalam sifat mazmumah (terkeji) di dalam Islam. Perkara ini boleh dilihat melalui larangan Rasulullah s.a.w. di dalam sabdanya berikut :


“Celakalah orang yang berkata-kata, maka dia berbohong untuk membuat orang lain ketawa, celakalah dia, celakalah dia, celakalah dia”. (Sunan Abu Daud)


“Sesiapa yang menipu bukanlah ia dari kalangan kami”. (Riwayat Muslim)


Berakhlak Jujur

Islam mengajar supaya umatnya menjadi orang yang jujur dalam niat, perkataan dan perbuatan. Ini boleh dilihat melalui firman Allah s.w.t. yang bermaksud : “Wahai orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah s.w.t. dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang yang benar”. (Surah al-Taubah (9) : 119)


Rasulullah s.a.w. juga mengingatkan tentang sikap jujur di dalam sebuah hadis : “Sesungguhnya benar (jujur) itu memimpin kepada kebaikan, dan kebaikan itu memimpin ke syurga, dan seseorang berlaku benar sehingga tercatat di sisi Allah seorang siddiq (yang sangat jujur dan benar). Dan dusta memimpin kepada kecurangan, dan curang itu memimpin ke dalam neraka. Dan seseorang itu berdusta sehingga tercatat di sisi Allah sebagai pendusta”. (Riwayat al-Bukhari )


Teladani Cara Rasulullah s.a.w. Bergurau


Gurauan merupakan fitrah kejadian insan. Menafikan gurauan akan menjadikan manusia tidak normal kerana bertentangan dengan fitrah semulajadi. Secara umumnya maksud bergurau adalah perbuatan, perkataan dan sebagainya yang dapat mencuit dan menggelikan hati orang lain.


Pernah suatu ketika, Sufyan bin Uyainah ditanya apakah bergurau itu termasuk perbuatan tercela? Beliau menjawab tidak, "Bahkan, termasuk sunnah bagi yang dapat melakukannya sesuai dengan tuntutannya."

Rasulullah s.a.w. juga ada menyebutkan bahawa melakukan perbuatan yang menyenangkan orang lain boleh dikategorikan sebagai kebajikan. "Senyummu untuk saudaramu adalah kebajikan (sedekah)." (Riwayat Imam Ahmad).


Pernah suatu ketika para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau telah bergurau dengan kami. Rasulullah s.a.w. menjawab, "Sesungguhnya tidaklah aku berbicara, kecuali yang benar." (HR Tirmidzi).


Namun begitu, perlu disedari bahawa penanda aras atau kayu ukur dalam melakukan gurauan, lawak dan kelakar perlu bersikap benar bukan berbohong.


Tahukah kita bahawa Rasulullah s.a.w. juga berjenaka dengan ahli keluarga dan sahabat baginda? Berikut dibawa untaian kisah gurauan Rasulullah s.a.w. supaya menjadi teladan bersama dalam kehidupan.

Kisah pertama : Anas bin Malik r.a. mengkhabarkan, “Sesungguhnya ada seorang lelaki meminta kepada Rasulullah s.a.w. agar ia dibawa naik kenderaan. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Baik, aku akan membawamu di atas anak unta betina”. Lelaki itu berkata: “Wahai Rasulullah, apa yang dapat aku lakukan dengan anak unta betina itu?” Rasulullah SAW bersabda: “Bukankah yang melahirkan unta itu unta betina?”
Kisah kedua : Suatu ketika Rasulullah s.a.w. didatangi oleh seorang nenek tua yang bertanya, "Apakah kelak saya boleh masuk syurga?" Nabi pun menjawab, "Tidak akan ada orang tua di dalam syurga."

Mendengar jawapan itu, spontan nenek tersebut menangis. Lalu Rasulullah berkata kepadanya : “Bahawa kelak tidak ada orang tua di dalam syurga kerana semua ahli syurga akan kembali muda“.


Kisah ketiga : Telah datang seorang wanita, dia memberitahu Rasulullah s.a.w.: "Ya Rasulullah, suamiku jatuh sakit. Dia memanggilmu". "Semoga suamimu yang dalam matanya putih", kata Rasulullah s.a.w. Perempuan itu kembali ke rumahnya. Dan dia pun membuka mata suaminya. Suaminya bertanya dengan kehairanan, "Kenapa kamu ini?". "Rasulullah s.a.w. memberitahu bahawa dalam matamu putih", kata isterinya menerangkan. "Bukankah semua mata ada warna putih?" kata suaminya.


Etika Bergurau Dalam Islam


Sekali lagi umat Islam diingatkan supaya tidak berlebihan dalam bergurau sehinggakan memperdayakan atau memperbodoh-bodohkan sesama sendiri. Bergurau dibenarkan dalam Islam, tetapi ada batasnya. Berikut digariskan beberapa panduan supaya tidak tersasar dalam bergurau :


a) Tidak menggunakan perkara yang bohong sebagai alat untuk manusia tertawa. “Celakalah orang yang berkata-kata, maka dia berbohong untuk membuat orang lain ketawa, celakalah dia, celakalah dia, celakalah dia”. (Sunan Abu Daud)


b) Gurauan tidak mengandungi penghinaan terhadap orang lain. Sabda Nabi s.a.w. : “Cukuplah seseorang itu melakukan kejahatan, apabila dia menghina saudaranya semuslim”. (Riwayat Muslim)


c) Melawak yang tidak menakutkan orang lain. Nu’man bin Basyir ra berkata: Sesungguhnya kami bersama Rasulullah saw dalam satu perjalanan. Seorang lelaki mengantuk di atas tunggangannya. Seorang lelaki yang lain mengambil anak panah dari busurnya dan mengejutkan lelaki yang mengantuk yang menyebabkan dia terperanjat. Rasulullah saw bersabda : Haram bagi seorang lelaki menakutkan orang Islam”.


d) Jangan melawak ditempat yang serius dan jangan serius di tempat melawak. Dalam Islam ada tiga perkara yang dianggap diambil hukumnya walaupun dalam keadaan melawak. Nabi saw bersabda : “Tiga perkara yang mana yg mana diambil hukumnya samaada dalam keadaan melawak atau serius: nikah, cerai dan membebaskan hamba”.


e) Hendaklah melawak sekadar perlu dan tidak berlebihan. Pesan Nabi s.a.w. “Janganlah kamu banyak ketawa. Sesungguhnya banyak ketawa boleh mematikan hati.” (Riwayat Ahmad dan Ibn Majah)


Bersederhanalah dalam bergurau supaya mudah didampingi. Berlebihan dalam bergurau akan menghilangkan keindahan dan menyebabkan dijauhi. Semoga bermanfaat sebagai renungan bersama.


Azri Bin Bhari

Pegawai Hal Ehwal Islam,

Pusat Pemikiran & Kefahaman Islam

UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.

31 MAC 2010 : 4:17pm