Showing posts with label Perihal Bulan Islam. Show all posts
Showing posts with label Perihal Bulan Islam. Show all posts

Thursday, August 13, 2009

Amalan Bulan Rejab & Sya'ban

Menjadi kecelaruan dikalangan masyarakat Islam di Malaysia berkaitan amalan-amalan sunat yang dilakukan di bulan Rejab dan Sya'ban. Sewajarnya perkara ini diselesaikan dengan baik supaya tidak menimbulkan masalah tuduhan bid'ah di kalangan orang awam.

Boleh diibaratkan amalan-amalan sunat yang digalakkan di bulan Rejab dan Sya'ban mempunyai peranan tersendiri sebagai kelas persediaan atau bengkel permulaan untuk memasuki madrasah Ramadhan. Begitu juga amalan yang dilakukan di malam Nisfu Sya'ban yang baru kita tempuhi adalah latihan awal supaya menghargai dan tidak melepaskan peluang menghidupkan malam-malam di bulan ramadhan kelak dengan qiam dan munajat.

Amalan-amalan yang dilakukan sepanjang bulan Rejab dan Sya'ban adalah baik, mendatangkan pahala dan tidak bercanggah dengan Islam. Maka sewajarnya diteruskan dan digalakkan kepada seluruh umat Islam untuk melakukannya.

Memang amalan-amalan tersebut tidak dilakukan secara khusus oleh Nabi s.a.w. Tetapi tidak beerti amalan tersebut berdosa dilakukan dan ditolak mentah-mentah. Boleh saja amalan tersebut dilakukan dengan harapan diganjarkan pahala oleh Allah s.w.t. dan tidak menyandarkan amalan tersebut pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w. secara khusus.
1. Berdoa

Suatu amalan yang baik diamalkan apabila tiba bulan rejab dan sya'ban, adalah digalakkan berdoa sebanyak mungkin seperti berikut :

اللهم بارك لنا فى رجب وشعبان وبلغنا رمضان

"Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab, Sya'ban dan sampaikanlah (panjangkanlah umur) kami ke bulan Ramadhan".

2. Puasa Rejab

Hukum berpuasa di bulan Rejab sama seperti berpuasa di bulan-bulan yang lain iaitu tidak ada larangan dan tidak ada galakan secara khusus. Secara asas, berpuasa memang digalakkan pada setiap bulan dan terdapat juga hadis yang mensunatkan kita berpuasa di bulan-bulan Haram di mana bulan Rejab tergolong di dalamnya.

Said bin Jubair r.a. (seorang Tabi’iin) pernah ditanya berkenaan puasa Rejab. Beliau menjawab; Aku telah mendengar Ibnu ‘Abbas r.a. berkata; “Adalah Rasulullah s.a.w. kadang-kadang terus-menerus berpuasa hingga kami menganggap beliau tidak berbuka langsung, dan kadang-kadang beliau terus-menerus berbuka hingga kami menganggap beliau tidak berpuasa langsung” (Riwayat Imam Muslim).

3. Puasa Sya'ban

Hukum berpuasa keseluruhan hari di bulan Sya’ban atau kebanyakan harinya adalah sunat. Ini berdasarkan hadith berikut :

Dari Ummu Salamah r.ha. yang menceritakan; “Tidak pernah Nabi s.a.w. berpuasa (sunat) sebulan penuh dalam setahun kecuali di bulan Sya’ban di mana baginda menyambungnya dengan Ramadhan”
(HR Imam Abu Daud dan an-Nasai).

‘Aisyah r.ha. pula menceritakan; “Rasulullah s.a.w. kadang-kadang terus-menerus berpuasa hingga kami menganggap beliau tidak berbuka langsung, dan kadang-kadang beliau terus-menerus berbuka hingga kami menganggap beliau tidak berpuasa langsung. Namun demikian, aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan, dan aku tidak pernah melihat beliau paling banyak berpuasa sebagaimana beliau berpuasa di bulan Sya’ban”.
(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

4. Hikmah Puasa Bulan Sya'ban

Seorang sahabat bernama Usamah bin Zaid r.a. pernah bertanya Nabi s.a.w. kenapa beliau banyak berpuasa di bulan Sya’ban? Nabi s.a.w. menjawab; “Bulan Sya’ban itu adalah bulan yang selalu dilupai oleh manusia di mana kedudukannya di tengah antara Rejab dan Ramadhan. Namun ia adalah bulan diangkat amalan-amalan hamba kepada Tuhan Pencipta Alam. Maka aku menyukai amalanku diangkat ketika aku berpuasa” (Riwayat Imam an-Nasai. Hadis menurut Syeikh al-Albani adalah hasan).

5. Amalan Malam Nisfu Sya'ban

Tiada amalan khusus dari Nabi s.a.w. yang ditinggalkan kepada umatnya pada malam tersebut. Namun melakukan amalan membaca surah Yaasin sebanyak 3 kali adalah pilihan sendiri dengan tidak menyandarkan bahawa Nabi s.a.w. pernah melakukan amalan tersebut.

Kenapa perlu ditentang golongan yang buat kebaikan dengan membaca surah Yaasin pada malam tersebut? Sedangkan amalan tersebut baik dan tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Bahkan ada hadith Nabi s.a.w. menjelaskan sesiapa yang membaca satu huruf dari al-quran, maka 10 kebajikan bagi dirinya.

Bagi penulis, beramallah selagi terdaya buat bekalan di akhirat nanti. Hidup beribadah adalah misi utama seorang hamba yang bergelar manusia di atas bumi ini.

Wallahu 'Alam.

Sunday, March 16, 2008

Mari Berselawat...





Rasulullah Umpama al-Quran Bergerak

Para sahabat pernah bertanyakan kepada Aisyah r.ha. mengenai akhlak Rasulullah s.a.w. Lalu Aisyah r.ha. menjawab: "Akhlak Rasulullah adalah al-Quran".

Jawapan itu dengan jelas menerangkan betapa Rasulullah s.a.w. telah menjadikan al-Quran itu sebagai sesuatu yang hidup serta dapat dilihat dan diikuti bukan saja oleh umat Islam bahkan oleh sekalian umat manusia. Justeru itu, segala ajaran dan perintah Allah s.w.t. yang terdapat di dalam al-Quran dapat kita lihat secara praktikalnya sama ada menerusi hadis yang diriwayatkan oleh periwayat hadis yang muktabar ataupun melalui sirah baginda s.a.w.

Oleh itu, segala contoh ikutan yang ingin diambil oleh umat Islam sama ada sebagai pemimpin, panglima peperangan, ketua keluarga, majikan, pendidik, pelajar, tokoh korporat dan sebagainya semuanya ada di dalam batang tubuh Rasulullah s.a.w.

Dengan itu, memperbetulkan kembali model ikutan kita dengan menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai qudwah hasanah adalah satu kewajiban dan tuntutan agama yang perlu dilakukan oleh kita umat Islam. Kisah 1 : Rasulullah s.a.w. dengan seorang wanita tua.

Pernah satu ketika Nabi Muhammad s.a.w. ternampak seorang perempuan tua hendak berjalan pulang dari pasar dengan membawa barang-barang yang agak banyak dan berat juga. Lalu Rasulullah menawarkan dirinya untuk membantu perempuan itu membawa barang-barang tersebut pulang ke rumahnya.

Perempuan tua itu rasa sungguh sukacita kerana ada orang yang mahu membantunya dan terus menerima pelawaan Rasulullah itu. Sambil berjalan menuju rumah perempuan tua itu, mereka berbual-bual tentang kisah-kisah yang hangat diperkatakan orang yang berlaku di Mekah ketika itu.

Cerita perempuan tua itu: “Wahai anak muda, di tempat kita sekarang ini ada seorang anak muda yang bernama Muhammad telah membawa ajaran baru. Angkara anak muda ini telah menyebabkan masyarakat kita berpecah belah”.

“Kehadiran anak muda itu dalam masyarakat kita telah banyak membuat kerosakan kepada kehidupan kita bermasyarakat. Gara-gara ajaran beliau, ahli keluarga berselisih faham, bergaduh dan pecah belah,” sambung orang tua itu lagi.

“Muhammad itu memang jahat, oleh itu janganlah sekali-kali kamu dekat dengan dia, nescaya nanti kamu juga akan dirosakkannya nanti,” tegas perempuan tua itu lagi memberi amaran kepada Rasullullah supaya tidak terpengaruh dengan orang yang dianggapnya jahat itu.

Apapun yang dikatakan oleh perempuan tua itu tentang Nabi Muhammad, Rasulullah sedikit pun tidak marah, malah hanya tersenyum saja.

Setelah sampai di rumah perempuan tua itu, perempuan tua itu bertanya kepada Rasulullah berapakah upah yang dia perlu bayar untuk kerja Rasulullah membawa barang-barang yang berat itu dari pasar sampai ke rumahnya tadi. Sebaliknya Rasulullah memberitahu perempuan tua itu, dia tidak mahukan upah dan hanya ingin membantu secara sukarela saja.

Perempuan tua itu berasa hairan dengan kebaikan anak muda itu lalu dia bertanya: “Terlalu baik kamu ini wahai anak muda, boleh mak cik tahu siapakah nama kamu?”.

Rasulullah menjawab: “Nama saya Muhammad, sayalah orangnya yang mak cik ceritakan tadi.”

Terduduk perempuan tua tadi bila dia tahu dia sedang berdepan dengan orang yang bernama Muhammad itu, yang mana selama ini dia mendengar Muhammad adalah orang yang sangat jahat.
Kisah 2 : Rasulullah s.a.w. dengan pengemis Yahudi

"Pada suatu sudut pasar di Madinah ada seorang pengemis Yahudi buta yang setiap harinya selalu berkata kepada setiap orang yang mendekatinya, "Wahai saudaraku, jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya maka kalian akan dipengaruhinya".

Namun, setiap pagi Rasulullah s.a.w. mendatanginya dengan membawakan makanan, dan tanpa berucap sepatah kata pun Rasulullah s.a.w. menyuapkan makanan yang dibawanya kepada pengemis itu, sedangkan pengemis itu tidak mengetahui bahwa yang menyuapinya itu adalah baginda s.a.w. sendiri. Rasulullah s.a.w. melakukan hal ini setiap hari sehingga beliau wafat.

Setelah wafatnya Rasulullah s.a.w. tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta itu. Suatu hari sahabat terdekat Rasulullah s.a.w. iaitu Abu Bakar r.h berkunjung ke rumah anaknya Aisyah r.ha. yang merupakan isteri Rasulullah s.a.w. Lalu beliau bertanya kepada anaknya itu, "Anakku, adakah kebiasaan kekasihku yang belum aku kerjakan?".

Aisyah r.ha. menjawab, "Wahai ayah, engkau adalah seorang ahli sunnah dan hampir tidak ada satu kebiasaannya pun yang belum ayah lakukan kecuali satu saja". Tanya Abu Bakar r.a. "Apakah Itu?"

"Setiap pagi Rasulullah s.a.w. selalu pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang ada di sana", kata Aisyah r.ha.

Keesokan harinya Abubakar r.a. pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikan kepada pengemis itu. Abu Bakar r.a. mendatangi pengemis itu lalu memberikan makanan itu kepadanya. Ketika Abu Bakar r.a. mula menyuapinya, si pengemis marah sambil mengherdik, "Siapakah kamu?". Abu Bakar r.a. menjawab, "Aku orang yang biasa (mendatangi engkau)."

"Bukan! Engkau bukan orang yang biasa mendatangiku", bantah si pengemis buta itu.

"Apabila ia datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut", sambil melanjutkan perkataannya.

Abu Bakar r.a. tidak dapat menahan air matanya, lalu menangis sambil berkata kepada pengemis itu, "Aku memang bukan orang yang biasa datang padamu. Aku adalah salah seorang dari sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Beliau adalah Muhammad s.a.w.".

Seketika itu juga pengemis itu pun menangis mendengar penjelasan Abu Bakar r.a. dan kemudian berkata, "Benarkah demikian? Selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, beliau tidak pernah memarahiku sedikitpun, beliau mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, beliau begitu mulia.... "

Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya melafazkan syahadah di hadapan Abu Bakar r.a. pada saat itu juga dan sejak hari itu menjadi muslim.

Kisah 3 : Rasulullah s.a.w. dengan isteri.

Ketika menjelang subuh Aisyah tidak mendapati Rasulullah s.a.w. disampingnya. Kemudian Aisyah keluar membuka pintu rumah dan terkejut bukan kepalang, melihat suaminya tidur di depan pintu.

Lalu Aisyah bertanya, "Wahai Rasulullah mengapa tidur di sini?" Lantas Rasulullah s.a.w. menjawab, "Aku pulang sudah larut malam, aku bimbang mengganggu tidurmu sehingga aku tidak mengetuk pintu, itulah sebabnya aku tidur di depan pintu."

Kisah 4 : Rasulullah s.a.w. dengan pendengki

Suatu hari ketika baginda s.a.w. melalui sebuah lorong di Madinah, seorang Yahudi menuangkan air ke atas kepala baginda dari atas rumahnya. Akan tetapi, baginda berlalu begitu sahaja tanpa marah sedikit pun setelah membersihkan diri dan bajunya di sebuah lorong.

Demikianlah perbuatan tersebut berulang kali berlaku ketika baginda s.a.w. melalui lorong tersebut.

Pada suatu hari berikutnya ketika baginda sedang melalui lorong tersebut, orang Yahudi itu tidak lagi menuangkan air di atas kepalanya. Baginda hairan, lantas bertanya : "Mengapa hari ini dia tidak menyiramkan air lagi?" Penduduk yang bermukim di sekitar lorong itu berkata: "Dia sakit". "Kita harus menjenguknya", tegas baginda s.a.w.

Ketika melihat keakraban dan kecintaan luhur di wajah Rasulullah s.a.w., orang Yahudi berasa bahawa dirinya adalah sahabat lama baginda s.a.w. dan perasaan hendak menyakiti baginda hilang musnah.

Saturday, February 2, 2008

Tahun Baru Hijrah : Sejarah & Hubunganya Dengan Hijrah Rasulullah s.a.w.


Kalendar Islam bagi sandaran umat Islam adalah Takwim Hijrah atau Takwim Islam.Ianya merupakan takwim yang digunakan secara meluas di kebanyakan negara umat Islam untuk menentukan hari kebesaran Islam. Kalendar ini merupakan kalendar lunar (berasaskan bulan), dan mempunyai kira-kira 355 hari dalam setahun.

Permulaan penggunaan Kalendar Tahun Hijrah / Hijriah adalah hasil dari ilham Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Saidina Umar Al-Khatab r.a. Ini adalah rentetan dari Kesatuan Arab yang ditubuhkan di bawah naungan Islam pada zamannya.

Riwayat juga mengatakan bahawa Gabenor Abu Musa Al-As'ari telah mengirimkan surat kepada Saidina Umar r.a meminta beliau menjelaskan tentang tahun bagi tarikh surat/arahan Umar yang telah dihantar kepadanya.

Bermula daripada peristiwa itulah Saidina Umar memerintahkan satu kalendar / taqwim Islam yang khas diwujudkan untuk menggantikan tahun rujukan kalendar yang berbagai-bagai yang digunakan oleh bangsa-bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain pada zaman itu. Peristiwa ini juga pencetus kepada penyusunan takwim berdasarkan falak syar'ie.

Sebelum kemunculan kalendar Islam ini di kalangan bangsa Arab sendiripun ada berbagai-bagai kalendar yang digunakan seperti Kalendar Tahun Gajah, Kalendar Persia, Kalendar Romawi dan kalendar-kalendar lain yang berasal dari tahun peristiwa-peristiwa besar Jahiliah.

Maka Umar telah memilih tahun yang terdapat di dalamnya peristiwa paling agung dalam sejarah Rasullullah s.a.w untuk dijadikan asas permulaan tahun pertama bagi kiraan kalendar taqwim Islam.

Walaupun tahun yang dipilih adalah tahun hijrah, ianya mencatatkan peristiwa hijrah berlaku pada bulan yang lain selain Muharram namun kalender Islam meletakkan awal bulan kalender hijrah itu sebagai awal Muharram ini kerana kemuliaan yang ada pada bulan ini di sisi orang Arab lebih-lebih lagi di sisi Allah.

Kalendar ini juga mengambil peristiwa hijrah Rasullullah s.a.w dari Makkah ke Madinah. Ini adalah kerana dengan hijrah inilah permulaan pertolongan Allah kepada RasulNya dan agama Islam ditegakkan. Hasil dari itu, Kesatuan Arab lebih sistematik, bersatu dan tersusun serta mendapat berbagai-bagai kejayaan besar dan bertambah kuat hasil dari pilihan Umar itu.Di antara kejayaan besar Islam waktu itu ialah kerajaan Kisra dapat ditumbangkan, Baitulmuqaddis pula dibebaskan dari Rom dan Masjid Al Aqsa dibangunkan.

Perbandingan kalendar juga telah dibuat oleh Umar,setelah Umar membandingkan kalendar tersebut dengan kalendar-kalendar Persia dan Romawi, didapati bahawa kalendar ini ternyata lebih baik dan bersistematik. Maka dengan itu pengisytiharaan Kalendar Tahun Hijrah adalah Kalendar / Taqwim Islam yang rasmi.

Ia bagi mengurangkan tekanan yang dialami baginda Rasulullah terhadap serangan bertubi-tubi puak musuh di kalangan masyarakat Arab Jahiliyyah yang tidak senang dengan Islam yang diperkenalkan oleh baginda Rasulullah s.a.w.

Atas dasar itu Allah SWT memerintahkan baginda dan seluruh umat Islam yang masih berada di bumi Mekah supaya meninggalkan tempat itu dan menuju ke kota Madinah.

Bagi yang mengingkari arahan supaya berhijrah ke Madinah, mereka dijanjikan dengan neraka dan ditimpakan dengan siksaan yang amat pedih dari sisi Allah sepertimana yang ditegaskan Allah menerusi firman-Nya dalam ayat 97 surah an-Nisaa yang bermaksud :

"Sesungguhnya orang-orang yang diwafatkan malaikat dalam keadaaan menzalimi diri mereka sendiri, (kepada mereka) malaikat bertanya : Dalam keadaan bagaimana kamu ini? Mereka menjawab : Kami adalah orang-orang yang tertindas di negeri kami sendiri (Mekah). Para malaikat berkata : Bukankah bumi Allah itu luas hingga kamu dapat berhijrah di bumi itu? Orang-orang itu tempatnya neraka Jahannam, dan ia seburuk-buruk tempat kembali."

Hijrah adalah sunnah para anbiya

Hijrah bukan sahaja berlaku ke atas diri Nabi Muhammad s.a.w sahaja, malah telah terdahulu daripadanya para Anbiya seperti Nabi Ibrahim, Musa, Isa, Yusuf alaihimussalam dan lain-lain, ia berlaku kerana penentangan yang amat keras di kalangan masyarakatnya yang tidak dapat menerima dakwah atau seruan yang dibawa oleh mereka.

Maka berlakulah penentangan antara hak dan batil yang memang menjadi lumrah dan semulajadi hingga hari Kiamat.

Justeru, para Anbiya semuanya telah dijemput oleh Allah di sisinya, agama-Nya yang benar itu diwarisi oleh mereka yang cintakan Allah dan Rasul-Nya, maka golongan pewaris Islam sampai bila-bila berdepan dengan tribulasi ciptaan manusia yang tidak senang Islam mendapat sambutan menggalakkan.

Allah tidak akan membiarkan agama Islam terkulai layu tanpa yang menyambutnya, maka dia memilih di kalangan hamba-hambaNya individu-individu yang sanggup berkorban untuk agama-Nya, namun mereka terpaksa berdepan dengan ujian, cubaan, tribulasi yang direka oleh manusia-manusia yang tidak berapa senang Islam mendapat tempat di hati manusia, walaupun yang membencinya bernama Islam, tetapi pada masa yang sama menganut fahaman Sekularisme, Kapitalisme, Sosialisme, Nasionalisme, dan lain-lain.

Mereka berusaha untuk menangkap, memenjara, membunuh golongan yang mendaulatkan Islam tanpa bicara dan bukti yang sah lagi kukuh untuk menuduh mereka, ia sedang berlaku di negara-negara yang diperintah umat Islam sampai hari ini, khususnya mereka yang tidak meletakkan Islam sebagai agama perlembagaan negara.

Maka berlakulah penghijrahan golongan ulama' yang terpaksa meninggalkan negara masing-masing bukan atas alasan takut, tetapi kejahatan golongan pemerintah memuncak yang memaksa mereka keluar untuk mencari lokasi yang difikirkan munasabah untu meneruskan aktiviti dakwah di situ.

Rasulullah sendiri pernah menjadi sasaran musuh

Allah SWT berfirman menerusi ayat 30 surah al-Anfal:

"Dan (ingatlah) ketika orang-orang kafir (Quraisy) memikirkan segala daya upaya terhadapmu (Muhammad) untuk menangkap (memenjara), membunuh serta mengusirmu keluar dari (Mekah). Mereka membuat perancangan jahat dan Allah menggagalkan perancangan jahat mereka, dan Allah adalah sebaik-baik pembalas tipu daya (perancangan)."

Jelas ayat di atas, menunjukkan bahawa kejahatan orang-orang yang jahat terhadap kerja-kerja dakwah tidak terhenti setakat itu, malah mereka memilih salah satu jalan untuk memastikan dakwah itu gagal, sama ada melalui penangkapan terhadap pendakwah, mengusir, memenjara atau membunuh mereka tanpa kebenaran yang sah, itulah yang akan dilakukan sampai hari kiamat, tetapi yang lebih menduka-citakan ialah apabila ia dirancang sendiri orang yang bernama Islam.

Sesungguhnya hijrah yang berlaku ke atas Rasulullah s.a.w itu bukan ke satu tempat tertentu, malah ia bermaksud hijrah kepada Allah bagi mendapatkan keredaan-Nya, ia bertepatan dengan firman Allah di atas lidah Nabi Ibrahim dan Nabi Lut dalam ayat 26 surah al-Ankabut :

"Dan berkatalah Ibrahim : Sesungguhnya aku akan berpindah (berhijrah) ke tempat yang diperintahkan Tuhanku, sesungguhnya Dia Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."

Pengajaran daripada peristiwa Hijrah

Hijrah telah melahirkan beberapa pendekatan berikut:




  1. Sunnah Nabi keluar ke tempat jauh dengan ditemani seseorang (Saidina Abu Bakr).


  2. Hijrah di waktu malam adalah paling sesuai untuk bermunajat kepada Allah, kerana pada waktu itu ramai di kalangan pihak musuh sedang seronok tidur.


  3. Tidak salah mendapat dan menggunakan khidmat orang kafir bagi tujuan maslahat Islam sepertimana baginda menggunakan khidmat Abdullah Bin Uraiqit (Nasrani) menjadi petunjuk jalan ke Madinah.


  4. Baginda mengatur strategi berdakwah agar tidak dapat dikesan oleh musuh dengan menghilangkan kesan tapak kaki dengan puluhan tapak kaki kambing yang diusahakan oleh Amir Bin Fuhairah.


  5. Memberi pengiktirafan dan kepercayaan kepada seorang remaja/belia dalam kerja-kerja dakwah sepertimana baginda mengarahkan Saidina Ali Bin Abu Talib menggantikan tempat tidurnya.
    Memberi pengiktirafan dan kepercayaan kepada seorang muslimah berperanan dalam memberi saham seperti Asma Binti Abu Bakar.


  6. Memberi pengiktirafan dan kepercayaan kepada seorang remaja, Abdullah Bin Abu Bakr untuk mendapatkan rahsia bagi memudahkan kerja-kerja dakwah.

Sesungguhnya setiap daripada individu muslim, boleh memainkan peranannya sebagai anggota jamaah menurut kadar kemampuan dan ilmunya bagi memajukan Islam pada kadar yang termampu.


Perkara sunat yang dilakukan di bulan Muharam




  1. Digalakkan berpuasa sunat pada awal Muharram.


  2. Digalakkan berpuasa sunat pada 9 dan 10 Muharram.

Sumber : ibnufariz.blogspot.com