Showing posts with label Tokoh Islam. Show all posts
Showing posts with label Tokoh Islam. Show all posts

Saturday, February 2, 2008

Tariq Bin Ziyad : Pahlawan Islam Andalusia


Tanggal 19 Julai tahun 711 Masehi, pasukan Islam dan Nasrani bertempur. Keduanya pasukan itu berperang berhampiran muara sungai Barbate. Pada pertempuran ini, Tariq dan pasukannya berhasil melumpuhkan pasukan Gotik, hingga Raja Roderick tenggelam di sungai itu. Kemenangan Tariq yang luar biasa ini, menjatuhkan semangat orang-orang Sepanyol dan semenjak itu mereka tidak berani lagi menghadapi tentera Islam secara terbuka. Tariq membahagi pasukannya menjadi empat kelompok, dan menyebarkan mereka ke Cordova, Malaga, dan Granada. Sedangkan dia sendiri bersama pasukan utamanya menuju ke Toledo, ibukota Sepanyol. Semua kota-kota itu menyerahkan kuasa tanpa berlaku pertembungan. Kepantasan gerak tempur dan kehebatan pasukan Tariq berhasil melumpuhkan orang-orang Gotik dengan mudah. Rakyat Sepanyol yang sekian lama tertekan akibat penjajahan bangsa Gotik, mengalu-alukan kedatangan orang-orang Islam. Bahkan mereka juga tertarik dengan perilaku Tariq dan pahlawan Islam berakhlak mulia sehingga mereka disayangi oleh bangsa-bangsa yang ditaklukkannya.

Salah satu pertempuran paling sengit terjadi di Ecija, yang membawa kemenangan bagi pasukan Tariq. Dalam pertempuran ini, Musa bin Nusair panglima atasannya iaitu seorang raja muda Islam di Afrika turut bergabung bersamanya. Setelah bergabung, kedua-dua Panglima perang itu terus bergerak maju ke daerah Sepanyol bersama. Pada waktu kurang dari 2 tahun seluruh dataran Sepanyol jatuh ke tangan Islam. Negara Portugis pula berjaya ditakluk beberapa tahun kemudian setelah kejayaan Islam di Sepanyol.

"Ini merupakan perjuangan utama yang terakhir dan paling masyur bagi bangsa Arab ketika itu," berkata seorang Inggeris bernama Phillip K.Hitti. Dan beliau menambah lagi katanya "Dan mereka membawa masuk wilayah Eropah yang paling luas dan belum pernah mereka peroleh sebelumnya ke dalam kekuasaan Islam. Kepantasan pelaksanaan sistem dan kesempurnaan operasi ke Sepanyol ini telah mendapat tempat yang unik di dalam sejarah peperangan abad pertengahan."

Penaklukkan Sepanyol oleh orang-orang Islam mendorong timbulnya revolusi sosial di mana kebebasan beragama benar-benar diakui ( maksudnya Islam tidak memaksa agama lain untuk memeluk agama Islam secara paksa ). Ketidaktoleranan dan penganiayaan yang biasa dilakukan orang-orang Kristian, digantikan sikap toleransi yang tinggi dan kebaikan budi pekerti bersikap luar biasa. Keadilan ditegakkan tanpa pandang bulu, sehingga jika tentera Islam yang melakukan kekerasan akan dikenakan hukuman berat. Tidak ada harta benda atau tanah milik rakyat yang disita. Orang-orang Islam memperkenalkan sistem pajakan secara sistematik seterusnya membawa kemakmuran di semenanjung itu dan menjadikan negara contoh di Barat. Orang-orang Kristian dibiarkan memiliki hakim sendiri untuk memutuskan perkara-perkara mereka. Semua komuniti mendapat layanan samarata dalam segala kebajikan dan keperihatinan oleh pemerintah Islam. Pemerintahan Islam yang baik dan bijaksana ini membawa kesan luar biasa ke atas penduduk Sepanyol. Masyarakat Kristian termasuk pendeta-pendetanya yang pada mulanya meninggalkan rumah mereka setelah ditakluk oleh empayar Islam telah lari dalam keadaan ketakutan, akhirnya kembali pulang ke kampung halaman serta menjalani kehidupan sediakala tanpa ada rasa bimbang dihati.

Seorang penulis Kristian terkenal telah mengatakan bahawa :

"Muslim-muslim Arab itu memerintah kerajaan Cordova dengan baik adalah sebuah keajaiban di Abad Pertengahan, mereka mengenalkan obor pengetahuan dan peradaban, kecemerlangan dan keistimewaan kepada dunia Barat. Dan saat itu Eropah sedang dalam zaman kegelapan dan kebodohan yang nyata."

Tariq bermaksud menaklukkan seluruh Eropah, tapi Allah menentukan segalanya. Ketika mana beliau sedang merencanakan perluasan empayar Islam ke bahagian Eropah lain, datangnya perutusan dari Khalifah untuk pergi ke Damaskus. Dengan disiplin dan ketaatan yang tinggi, Tariq memenuhi panggilan Khalifah dan berusaha tiba seawal mungkin di Damaskus. Tidak lama kemudian, Sang penakluk Sepanyol, iaitu wilayah Islam terbesar di Eropah yang selama lapan abad di bawah kekuasaan Islam telah memenuhi panggilan Rabbnya. ( Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh beliau sebagai Panglima Islam yang banyak berjasa kepada Islam ). Beliau wafat di Damaskus..Ameen..

Sumber : Eramuslim.com

Sheikh Muhammad Abduh

Bagaimana pemikiran seorang ulamak sampai sanggup menggalas amanah berat ummah dan agama. Mereka sanggup korbankan diri, susahkan diri, tak cukup makan, tak cukup tidur tetapi terpikirkah kita untuk apa? Semuanya itu terselit rahsianya dari dalam keilmuan dan pengetahuan mereka. Jika kita tidak begitu, tanda ilmu kita sia-sia...

Jika hanya berlindung tempurung, hanya kepala tidak kena hujan...

BIODATA

Dalam kegawatan ekonomi ummat Islam sekarang, model atau tokoh yang sering diambil adalah daripada kalangan pihak kuffar dan pihak Barat. Lantaran itu, kita melihat ummat Islam tidak maju ke hadapan secara kamil. Kita seharusnya mengambil orang Islam sebagai role model kita. Syeikh Muhammad Abduh merupakan seorang ulama’ yang disegani dan tokoh yang perlu dicontohi. Beliau telah mengorbankan diri, harta, dan seluruh kehidupannya untuk Islam yang tercinta. Syeikh Muhammad Abduh atau nama sebenarnya ialah MUHAMMAD ABDUH, diambil sempena kasih sayang dan ingatan kepada Rasulullah s.a.w. apabila nama tersebut dilengkapkan dengan nama bapanya. Ini dilakukan bertujuan untuk mendapat keberkatan daripada lafaz yang sering digunakan terhadap baginda Nabi Muhammad s.a.w.

Beliau dilahirkan pada tahun 1265 Hijrah bersamaan 1849 masihi di kampung yang lebih dikenali dengan sebutan ‘Mahalat Nasr’ yang terletak di daerah Yuhareen, Mesir. Bapa Syeikh Abduh bernama Abduh bin Hussain Khuriullah yang ada kaitan dengan orang Turki. Ibunya pula dinyatakan berketurunan Umar al-Khattab, khalifah kedua dalam sisitem khulafa’ ar-Rasyidin. Syeikh Abduh berasal daripada keluarga yang sederhana dan tinggal di bawah satu bumbung dengan bilangan ahli keluarga yang ramai.

PENDIDIKAN

Syeikh Abduh juga seperti kanak-kanak lain yang menerima pendidikan formal daripada bapanya sendiri dan seringkali didatangi oleh guru dari luar daerahnya dengan tujuan memberi didikan agama kepadanya. Oleh kerana kepintarannya semula jadinya yang dimiliki oleh Syeikh Abduh, beliau dapat menguasai sekaligus menghafaz al-Quran dalam usia yang tidak mencecah 12 tahun. Selain daripada pendidikan itu, Syeikh Abduh pernah belajar al-Quran di sebuah masjid yang dikenali sebagai “Masjid Ahmadi” yang terletak tidak jauh daripada kampungnya.

Setelah tamat pengajiannya di sini, Syeikh Abduh melanjutkan pengajiannya di sebuah maktab perguruan agama. Setelah tamat pengajiannya di maktab itu , beliau telah memasuki Universiti Al-Azhar. Oleh kerana beliau merasakan sisitem pendidikan yang ada tidak secocok dengannya, beliau telah kembali ke tempat asal dan menjadi seorang petani. Lapangan yang diceburinya ini tidak mendapat restu daripada bapanya kerana bapa Syeikh Abduh mengharapkan agar puteranya berjaya di dalam ilmu pengetahuan. Kemudian Syeikh Abduh telah kembali belajar semula dan tamat kuliahnya pada tahun 1877. Syeikh Abduh berada di institusi pengajian tinggi ini selama 4 tahun. Kemudian, beliau telah bekerja sebagai pensyarah di Universiti Darul Ulum dan Universiti Al-Azhar atas inisiatif Perdana Menteri ketika itu, Radzha Basha.

IDEA

Syeikh Abduh merupakan seorang pengkritik yang sentiasa menimbulkan kontroversi kepada pemerintah. Semasa beliau berkhidmat di universiti tempatan, beliau pernah menyatakan kepada para pelajar bahawa roh kebangsaan yang ada dalam jiwa mereka telah diresapi oleh fahaman asing. Dengan itu, minda mereka telah menjadi beku dan lemah. Pihak Universiti Al-Azahar tidak berasa senang dengan pengaruh Syeikh Abduh terhadap pelajar-pelajar universiti ini, lalu memecatnya daripada jawatan pensyarah di pusat pengajian itu.

Lanjutan daripada itu, Syeikh Abduh telah dibuang daerah ke Beirut, Lebanon dan Perancis. Semasa berada di tempat itu, beliau tidak menghabiskan masanya begitu sahaja. Ketika di Beirut, beliau mengajar ilmu tafsir, tauhid, mantiq, balaghah, Sirah Islam, Fiqah Mazhab Hanafi dan lain-lain.

Pembuangannya ke Perancis adalah disebabkan beliau dituduh terlibat dalam ketegangan yang berlaku yang dikenali dengan nama ‘Pemberontakan Urubiyyah’. Semasa di Perancis, beliau berkesempatan menemui Syeikh Jamaluddin al-Afghani yang berada di situ. Daripada pertemuan singkat itu, telah membuahkan semangat jihad, yang disampaikan oleh Jamaluddin Al-Afghani dan beliau telah memberi amanat kepada Syeikh Abduh iaitu menyuburkan semangat berbakti kepada masyrakat dengan menyemarakkan lagi semangat jihad ke dalam jiwa mereka bagi membanteras fahaman kolot yang bersarang di dalam jiwa masyarakat dan berfikir untuk maju ke hadapan. Semasa di sinilah, kedua-dua tokoh ini telah bergabung tenaga untuk menerbitkan majalah yang diberi nama ‘al-Uruwatil Wuthqa’.

PULANG KE TANAHAIR

Oleh kerana ilmu yang disampaikan oleh Syeikh Abduh adalah suatu kebenaran, maka pihak pemerintah Mesir telah memanggilnya pulang semula ke Mesir untuk berkhidmat dengan kerajaan. Beliau telah diberi tawaran untuk memegang jawatan kadi iaitu jawatan yang tinggi pada masa itu. Dengan jawatan itu, Syeikh Abduh diharapkan sekadar menjawab jawapan permasalahan yang dihadapi oleh pemerintah semata-mata, tetapi Syeikh Abduh bersikap lebih luas iaitu berkhidmat untuk rakyat jelata. Jawatan ini telah disandang oleh beliau sehingga akhir hayatnya.

Semasa beliau melawat kota London untuk memberi ceramah yang dihadiri oleh masyarakat Inggeris, Syeikh Abduh telah menyatakan bahawa orang Inggeris sepatutnya meninggalkan Mesir kerana masyarakat Mesir amat benci kepada golongan tersebut. Menurut beliau lagi, orang Islam tidak dibenarkan memberi wala’ (taat setia) kepada selain orang Islam sendiri.

Selain daripada keberanian Syeikh Abduh menyampaikan ceramah dengan mengkritik terhadap sebuah masyarakat walaupun mereka ada di hadapannya, beliau juga dikenali sebagai seorang yang sering mengutarakan idea kontroversi bagi membela masyarakat Islam daripada segala penghinaan dan serangan.

SUMBANGAN

Dalam masa hayatnya Syeikh Abduh merupakan seorang mujaddid yang sering memberikan saham yang bernilai kepada masyarakat Islam sama ada semasa berada di tanahair atau sewaktu beliau dibuang ke luar negeri. Semasa berada di Syria umpamanya, beliau berkhidmat sebagai pengajar di Maktab Perguruan Tinggi Sultaniah lebih kurang setahun. Sumbangannya yang lain ialah beliau pernah menerbitkan majalah al-Ahram dan diberi amanah untuk mengendalikan sebuah majalah yang dikenali dengan sebutan ‘al-Waqiq al-Mesri’.

Syeikh Abduh juga dikatakan telah mengarang beberapa buah buku yang terkenal. Bukunya yang bertajuk Risalah at-Tauhid telah dijadikan sebagai buku teks di institusi pengajian tinggi Mesir serta bahan rujukan kepada pertubuhan-pertubuhan Islam yang lain. Buku ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa asing untuk disebarluaskan ke persada masyarakat antarabangsa.

Kehebatan Syeikh Abduh menghadapi sakit sewaktu perjalanannya ke Sudan, namun beliau merahsiakan daripada pengetahuan sahabatnya. Tetapi penderitaan yang dialami Syeikh Abduh akhirnya diketahui oleh sahabatnya. Doktor mengesahkan bahawa penderitaan yang dialami adalah penyakit barah yang telah menjadi kronik. Dengan itu, Syeikh Abduh bercadang untuk merawat penyakitnya di Eropah . Niat tersebut tidak direstui oleh teman-teman Syeikh Abduh lalu doktor menasihatkannya agar membatalkan niatnya.

Pada 11 Julai 1905 Masehi, Syeikh Abduh telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di rumah sahabatnya, Muhammad Bek Raban di Ramel Iskandariah, Mesir. Kematian Syeikh Abduh bukan sahaja dirasai oleh masyarakat Mesir tempatan, bahkan dirasai oleh komuniti antarabangsa dengan menerima pelbagai sanjungan daripada penulis-penulis yang terkenal sezaman dengannya.

Syeikh Abduh telah meninggalkan satu amanat yang penting di dalam buku karangannya ‘Risalah at-Tauhid ‘. Amanatnya cukup menarik untuk kita jadikan titik renungan bersama iaitu, “Manusia yang hidup menurut aqidahnya, maka luruslah perjalanan hidupnya”. Lantaran itu, kita perlu mengambil iktibar daripada perjalanan hidup Syeikh Abduh yang telah menghadapi pelbagai mehnah dan tribulasi untuk mengembalikan sinar kegemilangan yang kian sirna. Sifat-sifat yang dimiliki oleh beliau wajar kita asimilasikan dalam hati agar kita dapat terus mempertahankan Islam dalam alaf yang akan datang dan untuk selama-lamanya ........Insya-Allah.

Sumber : PAZ ( MANHAL PMRAM )

Monday, January 28, 2008

Khalifah Umar bin Abd Aziz

Kedudukan beliau:
Salah seorang Tabiin yang terhormat. Beliau digelarkan dengan gelaran Khulafa' Al-Rasyidin yang kelima kerana beliau memerintah sama sebagaimana pemerintahan Khulafa' Al-Rasyidin. Beliau memegang teraju pemerintahan selepas Sulaiman bin Abdul Malik. Muhammad bin Ali bin Al-Husin rahimahullah berkata tentang beliau: "Kamu telah sedia maklum bahawa setiap kaum mempunyai seorang tokoh yang menonjol dan tokoh yang menonjol dari kalangan Bani Umaiyyah ialah Umar bin Abdul Aziz, beliau akan dibangkitkan di hari kiamat kelak seolah-olah beliau satu umat yang berasingan."

Kehidupan beliau menuntut ilmu:
Umar bin Abdul Aziz menuntut ilmu sejak beliau masih kecil, beliau sentiasa berada di dalam majlis ilmu bersama-sama dengan orang-orang yang pakar di dalam bidang fekah dan juga ulama-ulama. Di dalam usia beliau, beliau pernah memegang teraju pemerintahan di Madinah beberapa ketika.

Pelantikan beliau sebagai Khalifah:
Beliau dilantik menjadi Khalifah selepas kematian Sulaiman bin Abdul Malik tetapi beliau tidak suka kepada pelantikan tersebut. Lalu beliau memerintahkan supaya memanggil orang ramai untuk mendirikan sembahyang. Selepas itu orang ramai mula berpusu-pusu pergi ke masjid. Apabila mereka semua telah berkumpul, beliau bangun menyampaikan ucapan. Lantas beliau mengucapkan puji-pujian kepada Allah dan berselawat kepada Nabi s.a.w kemudian beliau berkata: "Wahai sekalian umat manusia! Aku telah diuji untuk memegang tugas ini tanpa meminta pandangan daripada aku terlebih dahulu dan bukan juga permintaan daripada aku serta tidak dibincangkan bersama dengan umat Islam. Sekarang aku membatalkan baiah yang kamu berikan kepada aku dan pilihlah seorang Khalifah yang kamu reda. Tiba-tiba orang ramai serentak berkata: Kami telah memilih kamu wahai Amirul Mukminin dan kami juga reda kepada kamu. Oleh yang demikian perintahlah kami dengan kebaikan dan keberkatan. Lalu beliau berpesan kepada orang ramai supaya bertakwa, zuhud kepada kekayaan dunia dan mendorong mereka supaya cintakan akhirat kemudian beliau berkata pula kepada mereka: "Wahai sekalian umat manusia! Sesiapa yang taat kepada Allah, dia wajib ditaati dan sesiapa yang tidak taat kepada Allah, dia tidak wajib ditaati oleh sesiapapun. Wahai sekalian umat manusia! Taatlah kamu kepada aku selagi aku taat kepada Allah di dalam memimpin kamu dan sekiranya aku tidak taat kepada Allah, janganlah sesiapa mentaati aku". Setelah itu beliau turun dari mimbar.

Peristiwa yang berlaku di antara beliau dengan anak beliau semasa memegang teraju pemerintahan:
Umar pulang ke rumah kemudian beliau masuk ke tempat tidurnya. Sebelum sempat beliau membaringkan badan, tiba-tiba anaknya Abdul Malik masuk berjumpa dengan beliau. Pada masa tersebut anak beliau berumur17 , kemudian anak beliau berkata: "Apakah yang kamu ingin lakukan wahai Amirul Mukminin?" Lalu Umar menjawab: "Anakku! Aku ingin menghilangkan kepenatan seketika kerana aku terasa terlalu letih." Selepas itu Abdul Malik berkata: "Kamu ingin menghilangkan kepenatan sebelum kamu mengembalikan barang-barang yang diambil secara zalim kepada pemilik asalnya, wahai Amirul Mukminin?" Lantas Umar menjawab: "Anakku! Kelmarin aku telah berjaga malam untuk menyelesaikan permasalahan yang berkaitan dengan bapa saudara kamu, Sulaiman, nanti apabila tiba waktu Zuhur, aku akan mendirikan sembahyang bersama-sama dengan orang ramai dan Insya Allah aku akan mengembalikan barang-barang yang diambil secara zalim kepada pemilik asalnya." Seterusnya Abdul Malik berkata lagi: "Siapakah yang dapat menjamin bahawa kamu akan terus hidup sehingga ke waktu Zuhur, wahai Amirul Mukminin?!" Mendengar kata-kata tersebut Umar terus bangkit lalu beliau cium dan peluk anaknya kemudian beliau berkata: "Segala puji bagi Allah yang telah melahirkan seorang anak dari tulang salbi aku yang boleh membantu aku di dalam perkara agama aku." Setelah itu beliau memerintahkan supaya memanggil orang ramai dengan berkata: "Sesiapa yang barang-barang mereka pernah diambil secara zalim, sila laporkan." Kemudian Umar mengembalikan barang-barang yang diambil secara zalim kepada pemilik asalnya"

Keadilan beliau:
Umar rahimahullah pernah menghimpunkan sekumpulan ahli fekah dan ulama kemudian beliau berkata kepada mereka: "Aku menghimpunkan kamu semua untuk bertanya pendapat tentang perkara yang berkaitan dengan barangan yang diambil secara zalim yang masih berada bersama-sama dengan keluarga aku?" Lalu mereka menjawab: "Wahai Amirul Mukminin! Perkara tersebut berlaku bukan pada masa pemerintahan kamu dan dosa kezaliman tersebut ditanggung oleh orang yang mencerobohnya." Walau bagaimanapun Umar tidak puas hati dengan jawapan tersebut sebaliknya beliau menerima pendapat daripada kumpulan yang lain termasuk anak beliau sendiri Abdul Malik yang berkata kepada beliau: "Aku berpendapat bahawa ia hendaklah dikembalikan kepada pemilik asalnya selagi kamu mengetahuinya. Sekiranya kamu tidak mengembalikannya, kamu akan menanggung dosa bersama-sama dengan orang yang mengambilnya secara zalim." Umar berpuas hati mendengar pendapat tersebut lalu beliau mengembalikan semula barangan yang diambil secara zalim kepada pemilik asalnya.

Kematian beliau:
Pemerintahan beliau hanya berjalan selama beberapa ketika iaitu tidak melebihi dua tahun setengah sahaja. Kemudian beliau meninggal dunia dan kembali kepada Tuhannya dalam keadaan berlaku adil kepada rakyatnya dengan menjalankan pemerintahan sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah s.w.t.