Showing posts with label Kesempurnaan Solat. Show all posts
Showing posts with label Kesempurnaan Solat. Show all posts

Wednesday, February 17, 2010

Khusyuk Dalam Solat

Fokus dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan akan menatijahkan kesempurnaan dan kualiti yang sangat baik. Berbeza dengan sikap melakukan sesuatu pekerjaan dengan sambil lewa, culas dan seperti kata bidalan melepaskan batuk ditangga mengakibatkan prestasi berada di tahap minima.

Begitulah juga dengan seruan mendirikan solat perlu dilakukan dengan khusyuk. Solat bukanlah sekadar ibadah yang dilakukan dengan pergerakan zahir anggota badan sahaja, bahkan lebih dari itu dituntut hati dan fikiran juga fokus semasa solat. Oleh kerana itulah, Allah s.w.t. memberi peringatan kepada kita menerusi ayat al-quran berikut :

"Dirikanlah solat untuk mengingati Aku". (Surah Toha : 14)

Tanpa hati dan fikiran yang khusyuk ketika solat, tidak mungkin solat yang didirikan mencapai tujuan untuk mengingati Allah s.w.t. dan ikhlas dalam menyembahNya.
Dalam mendidik diri untuk khusyuk dalam solat, Imam al-Ghazali telah mengemukakan enam formula bagi menghasilkan kekhusyukan solat ditahap yang paling maksima. Berikut dijelaskan enam formula tersebut yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu :

Terdapat dua formula sebelum mendirikan solat, pertama; Ta'zim iaitu pengagungan dan penghormatan kepada Allah s.w.t. serta merasakan diri kerdil. Kedua; Haibah iaitu ketakutan yang timbul kerana adanya pengetahuan tentang kehebatan dan kekuasaan Allah.

Seterusnya dua formula semasa mendirikan solat, ketiga; Hudur al-Qalb iaitu menghadirkan hati ketika solat dengan memberi tumpuan terhadap apa yang diucapkan, pergerakan yang dilakukan dan hati tidak menerawang ke arah lain. Keempat; Tafahhum iaitu memahami setiap bacaan dalam solat dengan baik.

Manakala dua formula lagi selepas solat, kelima; Raja' ialah mengharap kepada Allah s.w.t. menerima solat yang telah didirikan dengan sifat kasih sayangNya dan kedermawanNya. Keenam; Haya' ialah perasaan malu kerana banyak melakukan dosa dan lalai ketika melaksanakan solat yang menyebabkan kurang sempurna.

Demikianlah enam formula yang perlu ada pada setiap individu muslim supaya solat berada di dalam khusyuk dan diterima oleh Allah s.w.t. sebagai amal soleh.

Azri bin Bhari
Pegawai Hal Ehwal Islam,
Pusat Pemikiran & Kefahaman Islam,
UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.
17 Februari 2010 - 12:39pm


Wednesday, January 6, 2010

Solat Ibadah Istimewa

Solat merupakan ibadah yang istimewa kerana diperintahkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. secara langsung tanpa perantaraan sebagaimana perintah ibadah wajib yang lain. Peristiwa ini boleh disoroti melalui kisah Israk Mi’raj Nabi s.a.w. yang bertemu dan berkomunikasi dengan Rabbul Jalil. Menurut pendapat yang sahih, peristiwa Israk Mi’raj berlaku pada 18 bulan sebelum hijrah Nabi s.a.w. ke Madinah.

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim mengisahkan peristiwa kefarduan solat adalah sebagaimana berikut : “Telah dibuka atap rumahku, sedangkan aku ketika itu di Makkah. Lalu Jibril turun... kemudian dia memegang tanganku dan mengangkatku ke langit... kemudian Allah telah mewajibkan ke atas umatku dengan 50 waktu solat... lalu aku berulang-alik kepadaNya... kemudian Allah berfirman : hanya 5 waktu (dari segi kewajiban) dan 50 waktu (dari segi pahala), tidak ditukar ganti lagi di sisiKu“.

Para ulamak berpandangan, istimewanya solat diwajibkan secara langsung tanpa perantaraan malaikat Jibril a.s. adalah menunjukkan solat merupakan perkara yang sangat penting dan perlu dilaksanakan. Arahan solat yang diterima oleh Nabi s.a.w. adalah ibarat arahan seorang ketua kepada anak buahnya yang perlu diambil perhatian untuk tindakan bahkan lebih dari itu.
Seterusnya, istimewanya solat juga merupakan medium untuk seorang hamba berdialog dan berbicara dengan Allah s.w.t.. Manakan tidak, setiap bacaan dan perbuatan yang dilakukan semasa solat mempunyai falsafah tersendiri sekiranya diperhalusi dan difahami dengan baik.

Keistimewaan solat juga akan terserlah bagi individu yang melakukan dengan penuh keikhlasan kerana mampu menjadi benteng dari melakukan maksiat serta kejahatan. Didikan semasa solat yang mengarah kepada melakukan solat dengan sempurna, ikhlas, menutur bacaan yang baik dan sebagainya akan menghasilkan individu yang baik juga di luar solat nanti.

Begitulah istimewanya ibadah solat yang diwajibkan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. lima kali sehari semalam. Persoalannya, pernahkah kita menganggap solat itu istimewa bagi diri kita atau kita ini “insan istimewa” yang tidak diwajibkan untuk solat.


Azri bin Bhari
Pegawai Hal Ehwal Islam,
Pusat Pemikiran & Kefahaman Islam,
UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.
21 Disember 2009
22 Disember 2009 (edit) - 11:26am

Keutamaan Solat Berjemaah

Melaksanakan solat fardu secara berjemaah merupakan suatu perkara yang sangat dituntut dan digalakkan di dalam Islam. Tuntutan solat berjemaah telah dibahaskan oleh para ulamak fiqh dengan terperinci dan jelas supaya umat Islam berusaha untuk mendirikan solat berjemaah sedaya mungkin.

Hujah yang mensyariatkan solat berjemaah ialah firman Allah s.w.t. yang bermaksud ”Apabila kamu (Muhammad) berada di kalangan mereka (sahabatmu) lalu kamu hendaklah mendirikan solat (berjemaah) bersama mereka...”. (Surah al-Nisa’ : 102)

Ayat di atas merupakan perintah solat berjemaah ketika ketakutan dalam situasi peperangan, maka sudah tentu dalam masa aman dan selesa lebih dituntut untuk dilaksanakan.

Seterusnya, Nabi s.a.w. menjelaskan keutamaan solat berjemaah akan menggandakan pahala berbanding solat bersendirian sebagaimana hadis yang bermaksud ”Solat berjemaah itu lebih utama (afdal) daripada solat seorang diri dengan dua puluh tujuh darjat”. (Riwayat jemaah kecuali al-Nasai’ dan Abu Daud) Dalam riwayat yang lain ”...dengan dua puluh lima
darjat”. (Riwayat Bukhari dan Ahmad)

Selain dari itu, baginda s.a.w. juga bersabda bahawa usaha mendirikan solat berjemaah akan menghasilkan cahaya di hari kiamat sebagaimana hadis berikut ”Berilah berita gembira kepada mereka yang sering berjalan dalam keadaan gelap gelita menuju masjid (kerana ingin solat berjemaah) dengan (akan dapat) cahaya yang sempurna di hari kiamat”. (Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)

Dalam hadis yang lain, Nabi s.a.w. juga menjelaskan sekiranya manusia mengetahui keutamaan solat berjemaah pasti mereka akan berlumba-lumba walaupun dalam keadaan terpaksa merangkak untuk hadir mendirikan solat berjemaah. Berikut adalah hadis tersebut :

”Jika manusia tahu tentang kelebihan yang ada pada azan dan saf yang pertama, kemudian mereka tidak memperolehinya melainkan dengan cabut undi, nescaya mereka membuat undian untuk mendapatkannya. Jika mereka tahu tentang kelebihan yang ada pada pergi awal ke tempat solat berjemaah, nescaya mereka berlumba-lumba menujunya. Jika mereka tahu betapa besarnya kelebihan solat Isyak dan Subuh, nescaya mereka akan pergi solat berjemaah walaupun dalam keadaan merangkak. (Riwayat Bukhari & Muslim)

Begitulah keutamaan solat berjemaah yang digambarkan oleh Allah s.w.t. dan Nabi s.a.w. kepada seluruh manusia. Semoga menjadi sumber motivasi kepada kita untuk sentiasa berazam dan berusaha mendirikan solat fardu secara berjemaah di masjid atau surau yang berdekatan.

Azri bin Bhari
Pegawai Hal Ehwal Islam,
Pusat Pemikiran & Kefahaman Islam,
UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.
21 Disember 2009

Solat Urusan Penting

Solat merupakan perkara penting dan utama dalam kehidupan seseorang muslim. Kepentingan solat dalam kehidupan seharian bagaikan agenda besar yang perlu diberi prioriti untuk diselesaikan berbanding urusan lain. Namun begitu sedarkah umat Islam akan kepentingan solat yang telah diwajibkan secara langsung kepada Nabi s.a.w. ketika peristiwa Israk Mi’raj. Berikut dinyatakan kepelbagaian ayat al-quran dan hadis Nabi s.a.w. yang mengisyaratkan kepentingan solat antaranya ialah :

Kedua ; solat adalah ketetapan yang ditentukan lima waktu sehari semalam kepada orang beriman melalui ayat ”sesungguhnya solat itu adalah kewajiban yang ditentukan waktu ke atas orang yang beriman”. (Surah al-Nisa’ : 103)

Ketiga ; solat adalah tiang agama yang merupakan tunggak asas utama sepertimana maksud sabda Nabi s.a.w. ” Kepala segala perkara ialah Islam, tiangnya ialah solat dan puncaknya ialah jihad”. (Hadis Riwayat Tirmizi)

Keempat ; solat adalah perkara pertama yang dihisab oleh Allah s.w.t. pada hari akhirat kelak. Berita ini disampaikan Nabi s.a.w. melalui sebuah hadis ”Perkara pertama yang dihisab pada hari kiamat nanti daripada amalan mereka ialah solat”. (Hadis Riwayar Abu Daud)

Mengingatkan kepentingan solat, pernah suatu ketika khalifah Umar al-Khattab mengeluarkan pengisytiharan kepada semua pegawai dalam pemerintahan beliau iaitu :

”Aku melihat solat sebagai satu kewajipan yang paling utama. Seseorang yang memberi penuh perhatian pada solatnya, Insya’ Allah akan menjaga suruhan agama yang lain. Tetapi jika dia meninggalkan solat, dengan mudah dia akan meninggalkan suruhan Allah dan agama yang lain”.

Demikianlah beberapa hujah yang menyeru umat Islam supaya meletakkan solat sebagai urusan yang perlu diutamakan di dalam kehidupan. Mudah-mudahan solat yang dilaksanakan akan menjadikan kita hamba Allah yang benar-benar patuh, taat dan ikhlas terhadap segala perintahNya.

Azri bin Bhari

Pegawai Hal Ehwal Islam

Pusat Pemikiran & Kefahaman Islam,

UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.

09 Disember 2009

10 Disember 2009 (edit)

21 Disember 2009 (edit)