Friday, February 12, 2010

Penolakan Terhadap Pembahagian Tauhid Kepada: Rububiyah & Uluhiyah

Bismillah...Alhamdulillah...

Selawat dan Salam buat Rasulillah s.a.w...

Terlebih dahulu, apakah Tauhid Rububiyah dan Tauhid Uluhiyyah di sisi pengasasnya iaitu Sheikh Ibn Taimiyah?

Menurut beliau, Tauhid Rububiyah (ketuanan) ialah: mengakui dan mempercayai bahawa hanya Allah s.w.t. lah yang menciptakan dan mentadbir seluruh makhluk dalam alam ini. Ia juga termasuklah beriman bahawa, hanya Allah s.w.t.lah yang memberi manfaat dan mudarat kepada makhluk-makhluk-Nya.

Menurut beliau, orang-orang kafir dan musyrik Mekkah dan para musyrikin turut beriman dengan Tauhid ini, kerana walaupun mereka menyembah selain dari Allah s.w.t., namun mereka tetap beriman bahawa Allah s.w.t.lah yang menciptakan seluruh makhluk Adapun tujuan mereka menyembah selain Allah s.w.t., adalah untuk menghampirkan diri mereka kepada Allah s.w.t., dengan penyembahan mereka kepada berhala-berhala dan sebagainya.

Tauhid Uluhiyah (keTuhanan) pula ialah: mengakui dan beriman bahawa, hanya Allah s.w.t.lah sahaja, Tuhan yang layak disembah. Tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah s.w.t., dan hanya kepada-Nya setiap ibadah, doa dan ketaatan mutlak para hamba-hamba-Nya.

Ibn Taimiyah seterusnya menerangkan bahawa, hanya orang-orang Islam sahaja yang beriman dengan Tauhid Uluhiyyah.

Jadi, kesimpulan yang dibuat olehnya, setiap orang yang beriman dengan Tauhid Uluhiyah akan beriman dengan Tauhid Rububiyah dan tidak semestinya setiap yang beriman dengan Tauhid Rububiyah akan beriman dengan Tauhid Uluhiyah, seperti orang-orang mursyrikin.

Ibn Taimiyah juga turut mengataka n bahawa, para Rasul tidak diutuskan oleh Allah s.w.t., melainkan untuk menyeru manusia kepada Tauhid Uluhiyyah. Adapun Tauhid Rububiyyah, seluruh manusia beriman dengannya samada orang kafir atau muslim.

Tauhid Rububiyah dan Uluhiyah: Suatu Penilaian

Tauhid ini tersebar dengan meluas, saban zaman, di bawah panji perjuagan golongan Wahhabi, sehingga turut mempengaruhi Sistem Pendidikan Agama di Malaysia, di mana kita dapati, ianya dijadikan sebagai silibus dalam Pengajian Al-Qur'an dan Sunnah dalam SPM.

Bahkan, ramai dikalangan para ulama' yang memperluaskan konsep tauhid ini, di serata dunia.

Namun, dalam perkembangan yang lain, sebahagian besar golongan ulama' dari serata dunia menolak tauhi tersebut, khususnya para ulama' dari Mesir (ulama' Al-Azhar), Syria, Jordan, dan sebagainya, kerana memahami hakikat sebenar di sebalik agenda mempopularkan konsep tauhid Uluhiyah, Rububiyah dan Asma' Wa Sifat ini.

Konsep Tauhid Rububiyyah dan Uluhiyah dalam neraca Al-Qur'an dan As-Sunnah

Persoalan yang paling utama ialah, adakah pembahagian tauhid tersebut pernah diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. dan para ulama' salafus soleh?

Jawapannya: Tidak.

Jadi, bagaimana Ibn Taimiyah dan golongan Wahhabi yang amat keras menentang segala bentuk bid'ah, mengetengahkan konsep Tauhid Rububiyyah dan Uluhiyah yang merupakan suatu bid'ah dalam masalah aqidah ini?

Sheikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani menegaskan bahawa, tidak pernah timbul perbezaan di antara istilah Rabb dengan Ilah (Tuhan) dalam Al-Qur'an dan As-Sunnah. Bahkan, tidak pernah disebut bahawa, sesiapa yang beriman dengan Tauhid Rububiyah, tidak semestinya beriman dengan Tauhid Uluhiyah. Jika kita baca dalam Al-Qur'an dan As-Sunnah, apa yang kita dapati bahawa, sesiapa yang beriman dengan Tauhid Rububiyyah secara tidak langsung, telahpun beriman dengan Tauhid Uluhiyyah dan sesiapa yang tidak beriman dengan Tauhid Uluhiyah secara tidak langsung, tidak beriman dengan Tauhid Rububiyah. Jadi, orang-orang kafir tidak beriman sama sekali dengan Tauhid Rububiyah mahupun Tauhid Uluhiyah.

Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Yusuf, atas lisan Nabi Yusuf a.s. kepada penghuni-penghuni penjara dalam usaha untuk mendakwah mereka: "Adakah Arbab (banyak Rab) yang banyak, lebih baik atau Allah yang Maha Esa..."

Dari ayat ini jelaslah bahawa, tiada beza antara Ilah dan Rab dalam Al-Qur'an, bahkan ianya juga membatalkan dakwaan Ibn Taimiyah bahawa para Rasul tidak mengajak melainkan kepada Tauhid Uluhiyah, bukan Tauhid Rububiyah, sedangkan Nabi Yusuf a.s. sendiri mengajar tentang Tauhid Rububiyah kepada penghuni penjara, kerana tiada beza antara Rab dengan Ilah dalam Al-Qur'an.

Bahkan, dalam ayat Misaq (perjanjian antara roh-roh manusia dengan Allah s.w.t.) juga menceritakan bahawa, Allah s.w.t. bertanya kepada roh-roh manusia "Tidakkah kamu mengaku Akulah Rab kamu" Kalaulah Tauhid Rububiyah berbeza dengan Tauhid Uluhiyah, dan kalaulah Tauhid Rububiyah semata-mata tidak dapat membezakan antara orang-orang kafir dengan orang-orang Islam, maka soalan dari Allah s.w.t. tersebut, tidak cukup untuk membuktikan penyaksian Tauhid mereka terhadap Allah s.w.t., dan ini merupakan sesuatu yang tertolak.

Ini kerana, jka kita baca ayat tersebut seterusnya, orang-orang kafir mengatakan bahawa: "Sesungguhnya kami lalai terhadap perjanjian tersebut". Kalaulah benar perkataan Ibn Taimiyah bahawa, orang-orang kafir juga beriman dengan Tauhid Raububiyah, mengapa mereka mengatakan bahawa, mereka lalai dari perjanjian tersebut sedangkan perjanjian tersebut juga berkaitan dengan Tauhid Rububiyah, dan mereka turut berpegang dengannya (menurut Ibn Taimiyah).

Ini jelas membuktikan bahawa, Tauhid Rububiyah dan Tauhid Uluhiyah tidak berbeza, bahkan ianya merupakan suatu perkara yang sinonim antara satu sama lain. Sesiapa yang beriman dengan Tauhid Rububiyah maka, mereka juga beriman dengan Tauhid Uluhiyah, dan begitu juga sebaliknya.

Adapun dalam As-Sunnah juga, tidak wujud perbezaan antara Rab dan Ilah dan tidak wujud di perbezaan antara Tauhid Rububiyah dan Tauhid Uluhiyah. Bacalah hadis tentang soalan kubur di mana malaikat akan bertanya kepada manusia: "Siapakah Rab (Tuhan) kamu?" Hanya orang mukmin sahaja mampu menjawab soalan tersebut, sedangkan orang kafir akan disiksa kerana tidak mampu menjawab soalan tersebut kerana kesyirikan mereka.

Kalaulah benar konsep Tauhid yang dibawa oleh ibn Taimiyah ini, dan kalaulah benar orang-orang kafir sudah beriman dengan Tauhid Rububiyah, mengapa mereka tidak mampu menjawab soalan malaikat tentang Tauhid Rububiyah tersebut, dan apa gunanya malaikat bertanya "Siapakah Rab kamu" kalau soalan tersebut tidak membezakan antara orang mukmin dengan orang kafir, seperti dakwaan Ibn Taimiyah bahawa orang kafir juga beriman dengan Allah sebagai Rab?

Kesimpulannya, konsep perbezaan antara Tauhid Rububiyah dan Tauhid Uluhiyah adalah tertolak menurut Al-Qur'an dan As-Sunnah, bahkan ianya merupakan suatu bid'ah yang amat jelas dalam aqidah. Rab ialah Ilah dan Ilah ialah Rab di dalam nas-nas syar'ie, kerana kedua-dua itu membawa maksud Tuhan.

Jadi, orang-orang kafir tidak pernah beriman dengan Tauhid Rububiyah, kerana mereka mensyirikkan Allah s.w.t. dalam penyembahan mereka.Sesiapa yang tidak beriman dengan Tauhid Uluhiyah bererti dia tidak beriman dengan Tauhid Rububiyah.

Agenda di Sebalik Mempopularkan Tauhid Uluhiyah dan Tauhid Rububiyah

Sheikhuna Dr. Umar Abdullah Kamil dan Ust Fuad Al-Rembawi jelaskan bahawa, tujuan golongan Wahhabi menyebarkan ialah untuk mengkafirkan golongan yang bercanggah dengan mereka khususnya golongan sufi yang bertawassul dengan orang-orang yang telah mati dan sebagainya.

Oleh itu, pembahagian tauhid ini perlulah ditolak agar ianya tidak menjadi suatu pintu perpecahan umat Islam.

P/S: Adapun teks penuh tentang penolakan Sheikhul Islam Yusuf Ad-Dijawi Al-Maliki Al-Azhari terhadap konsep pembahagian aqidah Ibn Taimiyah tersebut, boleh di dapati dari laman web: http://www.al-razi.net/kwathare/nqd.htm

Wallahu a'lam...

http://mukhlis101.multiply.com/journal/item/49

No comments: