Wednesday, November 18, 2009

Tafsir Surah al-Nas

Titipan perkongsian dari kuliah yang telah saya sampaikan.

Kuliyah Tafsir
6 November 2009
8:00am - 9:00am
Pejabat Bendahari UiTM Johor Bahru.


Terjemahan
  1. Katakanlah (wahai Muhammad), aku mohon perlindungan kepada Tuhan pemelihara manusia.
  2. Raja manusia.
  3. Sembahan manusia.
  4. dari kejahatan syaitan yang sentiasa bersembunyi.
  5. yang membisikkan (kejahatan) di dada manusia.
  6. dari kalangan jin dan manusia.
Nama Surah

Surah ini dinamakan dengan al-Nas kerana di hujung ayat pertama ada menyebutkan perkataan al-Nas yang bermaksud manusia. Perkataan tersebut telah diulang sebanyak lima kali. Menurut sebahagian ulamak, perkataan al-Nas disebut dengan kerap kerana Allah s.w.t. memuliakan martabat manusia. Ada juga menjelaskan bahawa yang meminta perlindungan lumrahnya adalah manusia.

Tafsiran

Surah ini dimulakan dengan tiga sifat Allah s.w.t. iaitu Rabb (pemelihara), Malik (raja) & Ilah (sembahan) dalam tiga ayat yang awal. Didahulukan sifat Rabb kerana manusia berhajatkan kepada perlindungan yang merangkumi nikmat pemeliharaan, penjagaan dan keprihatinan Allah s.w.t. Kemudian disebut sifat Malik kerana manusia yang memohon perlindungan tidak akan dapat melainkan dari pemilik dan penguasanya sahaja. Seterusnya disebut sifat Ilah kerana menjelaskan bahawa yang berhak disyukuri dan diabdikan diri hanyalah kepada Allah s.w.t. sahaja.

Pada ayat yang keempat pula, dijelaskan keperluan mohon perlindungan dari kejahatan ganguan bisikan syaitan. Sifat syaitan banyak dijelaskan melalui hadis-hadis baginda s.a.w. seperti berikut :

a) "Sesungguhnya syaitan bergerak mengikut edaran darah anak Adam, dan akau bimbang ia mencetuskan di dalam hati kamu sesuatu (kejahatan)".

b) "Sesungguhnya syaitan meletakkan belalainya ke dalam hati anak Adam. Sekiranya dia mengingati Allah s.w.t. syaitan akan mundur. Sekiranya dia terlupa, syaitan akan mengulum hatinya. Itulah bisikan syaitan yang sentiasa maju dan mundur".

c) "Jangan kamu berkata celaka syaitan, sekiranya kamu berkata begitu, dia semakin membesar dan dia akan berkata : aku kacau dia dengan kekuatanku. tetapi jika kamu ucapkan : dengan nama Allah (mohon perlindungan), syaitan akan mengecil sehingga menjadi seumpama lalat".

Ayat kelima pula menjelaskan tempat gangguan dan hasutan syaitan adalah di dalam hati. Ini adalah kerana hati adalah tempat bersarangnya pelbagai keinginan dan kehendak.

Akhirnya ayat disudahi dengan peringatan bisikan dan gangguan adalah dari kalangan jin dan manusia.

Wallahu 'Alam

Sumber Rujukan :
1- Tafsir al-Munir - Dr. Wahbah al-Zuhayli
2- Tafsir al-Quran al-'Azim - Ibn Kathir

No comments: