Sunday, September 21, 2008

Bersama Raih Malam al-Qadr

Erti Malam al-Qadr

Allah menjelaskan di dalam al-Quran (bermaksud); "Malam al-Qadar itu lebih baik dari seribu bulan" (al-Qadar: 3).

Motivasi Raih Malam al-Qadr

Saidatina ‘Aisyah menceritakan; “Rasulullah s.a.w. apabila masuk sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan, baginda bangun menghidupkan malamnya (dengan ibadah lebih dari biasa), membangunkan ahli-ahli keluarga baginda (untuk sama mengerjakan ibadah seperti baginda), baginda bersungguh-bersungguh (mengerjakan ibadah) dan baginda mengikat kainnya (*kiasan kepada kesungguhan untuk beribadah atau kiasan kepada meninggalkan isteri untuk menumpukan kepada ibadah)”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Saranan Amalan Malam al-Qadr

Banyakkan berdoa seperti berikut :

اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني

"Berkatalah Aisyah , Wahai Rasulullah, jika aku berkesempatan bertemu Malam Al-Qadar, apakah yang perlu aku katakan (doa) ? Bersabda Nabi : " Sebutlah doa " Ya Allah sesungguhnya dikaulah maha pengampun , dan amat suka memberi ampun, maka berikanlah daku keampunan"

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

"Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: ""Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka" ( Al-Baqarah : 201 )


Masa Berlaku Malam al-Qadr

“Carilah lailatul-Qadar pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Saidatina Aisyah r.a.).

“Carilah lailatul-Qadar pada malam-malam ganjil dari sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan”. (Riwayat Imam Bukhari)

Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan; Saidina Umar r.a. telah menghimpunkan sahabat-sahabat Nabi r.a. dan bertanya mereka tentang Lailatul-Qadar. Mereka semua bersepakat bahawa malam itu berada dalam lingkangan 10 malam terakhir Ramadhan (HR Imam at-Thabrani).

Tanda-tanda Malam al-Qadr

Sabda Nabi s.a.w; “Lailatul-Qadar; malamnya cuaca/udara menyenangkan iaitu tidak panas dan tidak dingin, pada paginya matahari terbit dengan cahaya yang lemah dan kemerahan” (HR Imam Thayalisi dan al-Baihaqi dari Ibnu ‘Abbas r.a..

Sunday, September 14, 2008

Ramadhan : Bulan Mengingati Fungsi al-Quran

Al-Quran mempunyai beberapa fungsi penting, diantaranya ialah:

Pertama: Sebagai Mukjizat Nabi Muhammad saw.

Al-Quran merupakan bukti kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad saw, sekaligus ianya menjadi bukti bahawa Al-Quran merupakan firman Allah SWT, bukannya ucapan atau ciptaan nabi Muhammad saw sendiri. Rasullulah saw telah menjadikan Al-Quran sebagai senjata bagi menentang orang-orang kafir Quraisy. Dan kita dapati bahawa mereka sememangnya tidak mampu menghadapinya, padahal mereka mempunyai kemahiran menggubah bahasa-bahasa yang indah dalam ucapan dan sajak-sajak mereka.

Al-Quran secara prisipnya telah mengemukakan cabaran kepada bangsa Arab menerusi tiga peringkat iaiatu :

Peringkat pertama.

Mencabar mereka dengan keseluruhan Al-Quran dalam uslub umum yang meliputi orang Arab sendiri dan orang lain, manusia malah jin, dengan cabaran yang mengalahkan dan menjatuhkan mereka secara padu sebagaimana firmanNya.

"Katakanlah: Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa Quran ini, niscaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengannya, sekalipun sebahagian mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain." (17 : 88)

Peringkat kedua.

Mencabar dengan sepuluh surah sahaja daripada Al-Quran. Sebagaimana firmanNya:

Bahkan mereka mengatakan "Muhammad telah membuat-buat Al-Quran." Katakanlah: Jika demikian, maka datangkanlah sepuluh surah yang dibuat-buat yang menyamainya, dan panggillah orang-orang yang kamu sanggup (memanggilnya) selain Allah, jika kamu memang orang-orang yang benar. Jika mereka (yang kamu seru itu) tidak menerima seruanmu, ketahuilah, sesungguhnya Al-Quran itu diturunkan dengan ilmu Allah" (11 : 13-14)

Peringkat ketiga.

Mencabar mereka hanya dengan satu surah daripada Al-Quran sahaja. Sebagaimana firmanNya:

"Atau (patutkah) mereka mengatakan: Muhammad membuat-buatnya (Al-Quran). (Kalau benar yang kamu katakan itu), cubalah datangkan satu surat seumpamanya" (TTQ 10 : 38) Dan cabaran ini diulangi di dalam firmanNya: "Dan jika kamu tetap dalam keadaan ragu tentang Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad saw), maka buatlah satu surat saja yang semisal Al-Quran itu…" (2 : 23 )

Kedua: Sebagai Sumber Hukum Dan Aturan Hidup.

Ayat-ayat Al-Quran mengandungi peraturan tentang hukum-hukum siyasah negara , sosial , pendidikan , pengadilan , akhlak dan sebagainya. Semua aturan dan hukum ini wajib dijadikan sebagai pandangan hidup bagi seluruh kaum muslimin dan umat manusia untuk mengatasi semua permasalahan hidup yang dihadapinya.

Sememangnya penyelesaian yang diberikan oleh syariat Islam adalah merupakan penyelesaian yang sebenar-benarnya kerana ia satu-satunya perundangan yang dapat memenuhi fitrah manusia itu sendiri. Kemampuan syariat Islam dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan kehidupan manusia inilah yang akan menjadikan Al-Quran sebagai mukjizat abadi yang paling menonjol di muka bumi.

Nuzul al-Quran : Suatu Sorotan

Nuzul al-Quran

Antara peristiwa agung dalam sejarah umat Islam ialah turunnya kitab suci al-Quran atau disebut Nuzul al-Quran. Perkara ini dinyatakan dalam al-Quran, melalui firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat ke 185 yang bermaksud:

“Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.”

FirmanNya dalam ayat pertama surah al-Qadar :

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.

Dalam surah al-Dukhan ayat ke 3 pula Allah s.w.t telah berfirman :

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).

'Nuzul' merupakan perkataan Arab yang memberi makna turun atau berpindah, iaitu berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain.

'Al-Quran' la bermaksud bacaan. Ia dikatakan sebagai bacaan kerana al-Quran itu untuk dibaca oleh manusia. Ia juga dikatakan himpunan kerana dalam al-Quran itu terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, munakahat dan sebagainya.

Menilai ketiga-tiga ayat di atas tiada sebarang pertentangan antara ke tiga ayat di atas. Al-Syeikh Ab Rahman al-Sa’adiy menjelaskan dalam tafsir Taysir al-Karim al-Rahman, ‘malam yang berkat’ yang dinyatakan Allah dalam surah al-Dukhan itu adalah malam yang penuh dengan kebaikan dan rahmat, yang lebih besar keutamaannya dari amalan seribu bulan. Maka Allah swt telah memilih tarikh turun kalamNya buat pemimpin umat sejagat nabi Muhammad yang penuh dengan kemuliaan itu untuk berlaku pada hari yang mulia iaitu malam al-Qadr itu sendiri.

Menurut al-Syeikh Manna’ Qattan dalam Mabahith Fi Ulum al-Quran ke tiga ayat ini secara dasarnya menunjukkan penurunan berlaku pada bulan ramadhan dan secara khususnya ia diturunkan pada malam al-Qadr yang merupakan suatu anugerah Allah buat mereka yang menghidupkan malam-malam pada bulan Ramadhan.

Walaupun umat Islam di Malaysia secara tradisinya menyambut peristiwa Nuzul Al-Quran pada 17 Ramadhan, namun sesungguhnya pendapat yang lebih tepat tentang turunnya al-Quran ialah pada malam Isnin, tanggal 24 Ramadhan bersamaan 13 Ogos 610 M. Ini disebabkan pendapat yang mengatakan berlakunya pada 17 Ramadhan adalah berpandu pada ayat ke 41 dari Surah Al-Anfaal adalah difokuskan kepada peristiwa perang Badar bukannya al-Quran.

Firman Allah dalam ayat ke 41 surah al-Anfal itu,maksudnya :

"…jika kamu beriman kepada Allah dan apa-apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Nabi Muhammad saw) pada hari Furqan,iaitu di hari bertemunya dua pasukan (diperang Badar, antara muslimin dan kafirin)…"

Menurut sebuah riwayat yang dikemukakan oleh Ibn Kathir dalam tafsirnya dari Ibn Abbas, ayat tersebut merupakan penjelasan tentang hukum pembahagian harta rampasan perang (seperti yang terdapat pada awal ayat tersebut).

"Ketahuilah sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, RasulNya, kerabat-kerabat (Rasul), anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil (orang yang sedang dalam perjalanan)…".

Justeru tarikh yang lebih tepat tentang Nuzul al-Quran adalah pada 24 Ramadhan kerana ia berdasarkan ayat 1 Surah Al-Qadr dan ayat 1-4 Surah Ad-Dukhan yang telah dihuraikan di atas.

Menurut sebuah riwayat oleh Ibn Abbas dan pandangan ini disokong oleh majoriti para mufassirin, Al-Quran yang diturunkan pada malam "Lailatul Qadar" sebagaimana disebut di atas adalah Al-Quran yang turun sekaligus ke "Baitul Izzah" di langit kedunia. Sedangkan Al-Quran yang diturunkan ke bumi dan diterima Rasullullah sebagai wahyu terjadi secara beransur-ansur selama sekitar 23 tahun.

Menurut satu riwayat dari al-Hakim, al-Baihaqiy dan al-Nasaei dari Ibn Abbas, beliau menjelaskan dari Rasulullah s.a.w bersabda :

“ Al-Quran diturunkan sekali gus oleh Allah ke langit dunia pada malam al-Qadr kemudian ia diturunkan secara berperingkat dalam masa 20 tahun”

Al Quran pula telah diturunkan secara beransur - ansur dalam masa 22 tahun 2 bulan 22 hari atau 23 tahun, 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah . Ayat-ayat dan surah-surah yang diturunkan sebelum peristiwa hijrah dikenai sebagai Makkiyah sedangkan yang diturunkan selepas peristiwa hijrah dikenali sebagai Madaniyyah .

Tujuan Allah menurunkan secara beransur-ansur adalah bagi memenuhi objektif-objektif berikut :

1) Agar lebih mudah difahami dan dilaksanakan.

Orang akan enggan melaksanakan suruhan dan larangan sekiranya suruhan dan larangan itu diturunkan sekaligus dalam kadar yang banyak. Hal ini disebut oleh Bukhari dari riwayat 'Aisyah r.a. Di antara ayat - ayat itu ada yang nasikh dan ada yang mansukh, sesuai dengan kamaslahatan. Ini tidak dapat dilakukan sekiranya Al Quran diturunkan sekaligus. (Ini menurut pendapat yang mengatakan adanya nasikh dan mansukh)Turunnya sesuatu ayat sesuai dengan peristiwa - peristiwa yang terjadi akan lebih berkesan dan lebih berpengaruh di hati.

2) Memudahkan penghafalan.

Orang - orang musyrik yang telah menanyakan mengapa Al Quran tidak diturunkan sekaligus, sebagaimana disebut dalam Al Quran surah Al Furqaan ayat 32 maksudnya :

"……mengapakah Al Quran tidak diturunkan kepadanya sekaligus….?" Kemudian dijawab di dalam ayat itu sendiri: "…Demikianlah, dengan (cara) begitu Kami hendak menetapkan hatimu..".

Di antara ayat - ayat yang merupakan jawapan daripada pertanyaan atau penolakan suatu pendapat atau perbuatan, sebagai dikatakan oleh Ibnu 'Abbas r.a. Hal ini tidak dapat terlaksana kalau al Quran diturunkan sekaligus.

Penurunan al-Quran ini pula berlaku dalam berbagai bentuk. Menurut Safiyurrahman al-Mubarakfuriyy dalam al-Rahiq al-makhtum , Nabi Muhammad s.a.w. telah diwahyukan mengikut pendekatan-pendekatan berikut :

Menerusi mimpi yang benar ( al-Rukya al-Sadiqah ).Malaikat memasukkan wahyu itu ke dalam hatinya. Dalam hal ini, Nabi s.a.w. tidak melihat sesuatu apa pun, hanya beliau merasa bahawa itu sudah berada di dala, kalbunya. Sebagai contohnya Nabi pernah bersabda mengatakan: "Ruhul Quddus mewahyukan ke dalam kalbuku bahawa seseorang itu takkan mati sehingga dia menyempurnakan rezkinya yang telah ditetapkan oleh ALlah".

Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi s.a.w. menyerupai seorang lelaki yang mengucapkan kata-kata kepadanya dan peristiwa seperti ini sering disaksikan oleh para sahabat.

Wahyu datang kepadanya seperti gemercingnya loceng. Cara inilah yang amat berat dirasakan Nabi s.a.w. Kadang-kadang pada keningnya terdapat peluh, meskipun turunnya wahyu itu di musim dingin yang sangat. Ada ketikanya, unta beliau terpaksa berhenti dan duduk kerana merasa amat berat. Diriwayatkan oleh Zaid bin Tsabit: " Aku adalah penulis wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah. Aku lihat Rasulullah ketika turunnya wahyu itu seakan-akan diserang demam yang kuat dan peluhnya bercucuran seperti permata. Kemudian setelah selesai turunnya wahyu, barulah beliau kembali seperti biasa".

Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi s.a.w. dalam rupanya yang sebenar sebagaimana yang terdapat di dalam surah An- Najm ayat 13 & 14 : "Sesungguhnya Muhammad telah melihatnya pada kali yang lain (kedua). Ketika (ia berada) di Sidratulmuntaha".

Malaikat mewahyukan kepada Nabi dari atas langit seperti yang berlaku dalam peristiwa al-Isra` wal Mikraj .Sestengah ulamak berpendapat baginda saw juga pernah berbicara secara langsung dengan Allah dan menerima wahyu seperti yang berlaku pada Nabi Musa.Perkara ini merupakan suatu khilaf di kalangan para ulamak.

Sumber : http://zahazanmohamed.blogspot.com

Sabda Rasulullah Tentang Ramadhan

Keistimewaan Bulan Ramadhan

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, Bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “Ketika datang bulan Ramadhan: sesungguhnya telah datang kepadamu bulan yang penuh berkat, diwajibkan ke atas kamu untuk berpuasa, dalam bulan ini pintu Jannah dibuka, pintu Neraka ditutup, syaitan-syaitan dibelenggu. Dalam bulan ini ada suatu malam yang nilainya sama dengan seribu bulan, maka diharamkan kebaikannya bagi siapa yang tidak beramal baik di dalamnya, sesungguhnya tidak mendapat kebaikan di bulan lain seperti di bulan ini”.
(Hadis riwayat Ahmad, Nasai dan Baihaqi)

Dari Abi Hurairah r.a, sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda: “Solat lima waktu, solat Jumaat sampai solat Jumaat berikutnya, puasa Ramadhan sampai puasa Ramadhan berikutnya, adalah menutup dosa-dosa (kecil) yang diperbuat di antara keduanya, bila dosa-dosa besar dijauhi”.
(Hadis riwayat Muslim)

Dari Abdullah bin Amru, bahawa sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda: “Puasa dan Al-Quran itu memintakan syafaat bagi seseorang hamba di hari kiamat. Puasa berkata: Wahai Tuhanku, aku telah mencegah dia memakan makanan dan menyalurkan syahwatnya di siang hari, maka berilah aku hak untuk memintakan syafaat baginya. Dan berkata pula al-Quran: Wahai Rabbku aku telah mencegah dia tidur di malam hari (kerana membacaku), maka berilah aku hak untuk memintakan syafaat baginya. Maka keduanya diberi hak untuk memintakan syafaat”.
(Hadis riwayat Ahmad)

Dari Sahal bin Sa’ad, sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda: “Bahawa sesungguhnya bagi Jannah itu ada sebuah pintu yang disebut “Rayyaan”. Pada hari kiamat dikatakan: Di mana orang yang berpuasa? (untuk masuk jannah melalui pintu itu), jika yang terakhir antara mereka sudah memasuki pintu itu, maka ditutuplah pintu itu”.
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah s.a.w bersabda: “Barangsiapa puasa Ramadhan kerana beriman dan ikhlas, maka diampuni dosanya yang telah lalu dan yang sekarang”.
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari Jabir r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Puasa itu perisai yang dipergunakan seorang hamba untuk membentengi dirinya dari siksaan neraka”.
(Hadis Riwayat Ahmad)
Intipati Sabda Rasulullah Tentang Keistimewaan Bulan Ramadhan
  1. Bulan yang penuh Barakah
  2. Pada bulan ini pintu Jannah di buka dan pintu Neraka ditutup
  3. Pada bulan ini syaitan-syaitan dibelenggu
  4. Dalam bulan ini ada suatu malam yang keberkatan beramal di dalamnya adalah lebih baik dari beramal selama seribu bulan, iaitu Malam Al-Qadar.
  5. Pada bulan ini juga setiap hari akan ada malaikat yang menyeru dan menasihati umat Islam supaya berbuat baik dan menjauhi perkara maksiat
  6. Amal itu dapat menutup dosa-dosa kecil antara Ramadhan ini sehingga bertemu Ramadhan berikutnya
  7. Menjadikan bulan Ramadhan sebagai bulan memintakan syafaat daripada amalan membaca al-Quran dan puasa itu sendiri dan perisai siksaan neraka
  8. Bagi orang yang berpuasa disediakan pintu khusus baginya untuk memasuki Jannah iaitu yang dinamakan “Rayyaan”

Saturday, September 13, 2008

Jadilah ABID RABBANI, bukan ABID RAMADHANI

Umat Islam yang benar-benar bertakwa dan mengakui kekuasaan Allah S.W.T mestilah menjadikan setiap amal yang dilakukan bukan sekadar mengharapkan balasan dari Allah S.W.T, malah menyerahkan segala-galanya hanya kepada Allah semata-mata.

Oleh itu, manfaatkanlah masa hidup kita, kesihatan kita dan masa muda kita dengan amal kebaikan sebelum maut datang menjemput. Bertaubatlah kepada Allah S.W.T dengan sebenar-benar taubat dalam setiap waktu dari segala dosa dan perbuatan terlarang. Jagalah segala perintah Allah dan jauhilah setiap larangannya, baik di bulan Ramadhan, mahupun pada bulan selainnya. Segeralah bertaubat, janganlah menunda-nunda taubat, kerana kita tidak tahu adakah kita sempat untuk menemui lagi bulan Ramadhan akan datang atau tidak.

Sesungguhnya, setiap amalan yang dilakukan pada bulan Ramadhan akan dilipat gandakan oleh Allah S.W.T akan ganjarannya. Walaupun demikian, sebagai hamba yang sentiasa mengharapkan keredhaanNya, seharusnya tidak terhenti segala amalan hanya pada bulan Ramadhan sahaja, tetapi ianya harus diteruskan juga pada bulan-bulan yang lain. Kerana walau pada bila-bila masa sahaja, sebagai hamba, tujuan kita diciptakan adalah untuk beribadat kepada Allah dan bukannya terhad pada bulan-bulan tertentu sahaja.

Firman Allah S.W.T dalam surah al-Zariyat ayat 56:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَ الإِنْسَ إِلا لِيَعْبُدُوْن
"Sesungguhnya tidak diciptakan jin dan manusia itu, kecuali untuk beribadat kepada Ku”.

Kita seharusnya perlu menjadikan diri kita sebagai abid Rabbani dan bukannya Abid Ramadhani. Abid Rabbani ialah hamba yang beribadat kepada allah sepanjang masa tanpa mengira masa atau musim cuma pada bulan-bulan tertenti ia akan mempergiatkan dan mempertingkatkan amalannya seperti di bulan Rejab, Sya’ban dan Ramadhan. Hasil daripada peningkatan amalan tersebut akan memberi kesen kepada peningkatan kualiti amalannya di masa-masa yang lain. Manakala Abid Ramadhani ialah seorang hamba yang beribadat hanya pada bulan Ramadhan atau ibadahnya hanya bermusim dan ibadahnya pula tidak dapat mempertingkatkan prestasi ibadah seterusnya yang dilakukan pada luar musim atau selepas Ramadhan.

Ini bagi membuktikan bahawa diri kita benar-benar beriman kepada Allah Ta’ala dalam setiap masa dan bukan sekadar beramal untuk mengharap balasannya sahaja. Oleh itu, jika sekiranya pada bulan Ramadhan, masjid-masjid sentiasa dipenuhi dengan solat berjemaah, sedekah sentiasa dihulur, di pertengahan malam selalu diwarnai dengan solat-solat sunat dan zikir, maka alangkah baiknya jika selepas Ramadhan juga tradisi ini tetap diteruskan. Masjid-masjid sentiasa meriah dengan para jemaah, yang miskin dan kaya, tua dan muda sama-sama bersuka-ria kerana tidak ada yang kelaparan dan meminta, dipertengahan malam juga begitu syahdu dengan alunan zikrullah dan ketenangan solat-solat sunat, maka inilah dikatakan amal yang sebenar-benarnya. Segala-galanya hanya untuk Allah.

Bersungguh-sungguhlah dalam mengurus keluarga, anak-anak dan sesiapa sahaja yang menjadi tanggungjawab kita. Jika di bulan Ramadhan, anak-anak diajar berpuasa dan bertarawikh, maka alangkah baiknya jika selepas Ramadhan juga mereka terus diajar supaya mendekati Allah.

Jadilah suri teladan yang baik dalam segala bidang, kerana kitalah pemimpin mereka dan bertanggungjawab atas mereka di hadapan Allah Ta’ala. Bersihkan rumah-rumah kita dari segala bentuk kemungkaran yang menjadi penghalang untuk berzikir dan solat kepada Allah. Sibukkanlah diri kita dan keluarga kita dalam hal-hal yang lebih bermanfaat. Dan sentiasalah ingatkan mereka agar menjauhkan diri dari hal yang membahayakan mereka dalam agama, dunia dan akhirat kelak.

Semoga Allah melimpahkan taufik dan hidayahNya kepada kita semua untuk amal yang diredhaiNya, serta menjadi hamba yang bertakwa tak kira masa.

Buat para Tentera Allah , sejarah sepanjang Ramadhan membuktikan umat Islam berada ditahap kekuatan kerohanian tertinggi yang mampu diterjemahkan di dalam perjuangan mereka.

Ihsan Mimbar Ulama

Monday, August 25, 2008

Gambar Walimah al-Urus

Majlis Akad Nikah 6 Sya'ban 1429 / 8 Ogos 2008

Majlis Kesyukuran 7 Sya'ban 1429 / 9 Ogos 2008


Majlis Kesyukuran 15 Sya'ban 1429 / 17 Ogos 2008

Saturday, August 2, 2008

Jemputan Majlis Perkahwinan

Assalamualaikum...

Dengan rasa penuh kesyukuran, kami...

Dengan segala hormatnya menjemput dan mempersilakan

SEMUA YANG MENGENALI

ke majlis kesyukuran sempena perkahwinan kami,
(Azri bin Bhari & Fatimah binti Azman)
Majlis akad pada 6 Sya'ban 1429H bersamaan 08/08/2008

Kehadiran anda semua amat dialu-alukan...

Semoga kehadiran anda akan menyerikan majlis kami

Wassalam.

Ibu & Ayah Tercinta

Sekadar renungan…

Buat diri yang bergelar ANAK…

Renungilah,
IBU, AYAH & KITA…

Ketika kita berusia 1 tahun, IBU & AYAH menyuapkan makanan & memandikan kita…Kita MEMBALAS BUDI mereka dengan MENANGIS sepanjang malam…

Ketika kita berusia 2 tahun, IBU & AYAH mengajar kita bermain…Kita MEMBALAS BUDI mereka dengan LARI SAMBIL KETAWA terkekeh-kekeh apabila dipanggil…

Ketika kita berusia 3 tahun, IBU & AYAH menyiapkan makanan dengan penuh rasa kasih sayang…Kita MEMBALAS BUDI mereka dengan MENUMPAHKAN makanan ke atas lantai…

Ketika kita berusia 4 tahun, IBU & AYAH membelikan kita sekotak pensel warna…Kita MEMBALAS BUDI mereka dengan MENCONTENG dinding rumah…

Ketika kita berusia 5 tahun, IBU & AYAH membelikan kita sepasang baju baru…Kita MEMBALAS BUDI mereka dengan MENGOTORKAN baju bergolek-golek dalam lopak…

Ketika kita berusia 6 tahun, IBU & AYAH memimpin tangan kita ke sekolah…Kita MEMBALAS BUDI mereka dengan menjerit " SAYA TAK MAHU KE SEKOLAH"…

Ketika kita berusia 7 tahun, IBU & AYAH membelikan kita sebiji bola…Kita MEMBALAS BUDI mereka dengan MEMECAHKAN cermin tingkap rumah jiran…

Ketika kita berusia 8 tahun, IBU & AYAH membelikan kita aiskrim…Kita MEMBALAS BUDI mereka dengan MENGOTORKAN pakaian mereka…
Ketika kita berusia 9 tahun, IBU & AYAH menghantar kita ke sekolah…Kita MEMBALAS BUDI mereka dengan PONTENG kelas dan TIDAK BERADAB…

Ketika kita berusia 10 tahun, IBU & AYAH menghabiskan masa sehari suntuk menemankan kita ke mana sahaja…Kita MEMBALAS BUDI mereka dengan TIDAK BERTEGUR SAPA…

Semasa kita berusia 12 tahun, IBU & AYAH menyuruh membuat kerja rumah…Kita MEMBALAS BUDI mereka dengan asyik MENONTON televisyen…

Semasa kita berusia 13 tahun, IBU & AYAH menasihatkan supaya berpakaian yang sopan...Kita MEMBALAS BUDI mereka dengan berkata bahawa pakaian itu “TIDAK SESUAI ZAMAN SEKARANG’…

Semasa kita berusia 14 tahun, IBU & AYAH terpaksa mengikat perut untuk membayar wang persekolahan dan asrama…Kita MEMBALAS BUDI mereka dengan TIDAK MENGIRIM KHABAR BERITA…

Semasa kita berusia 15 tahun, IBU & AYAH pulang dari kerja dan rindukan pelukan serta ciuman kita…Kita MEMBALAS BUDI mereka dengan bersendirian dan MENGUNCI BILIK…

Semasa kita berusia 16 tahun, IBU & AYAH menunggu panggilan penting…Kita MEMBALAS BUDI mereka dengan BERGAYUT sepanjang malam…

Semasa kita berusia 17 tahun dan lulus peperiksaan, IBU & AYAH menangis gembira…Kita MEMBALAS BUDI mereka dengan ENJOY & CELEBRATE dengan kawan-kawan…

Semasa kita berusia 18 tahun, IBU & AYAH menangis gembira lagi kerana kita diterima masuk Institusi Pengajian Tinggi…Kita MEMBALAS BUDI mereka dengan BERSUKA RIA dengan kawan-kawan…
Semasa kita berusia 19 tahun, IBU & AYAH membelanjakan wang yang banyak untuk menghantarkan kita ke kampus…Kita MEMBALAS BUDI mereka dengan MENGUCAPKAN SELAMAT JALAN DI LUAR ASRAMA kerana malu dengan kawan-kawan…

Apabila kita berusia 21 tahun, IBU & AYAH bertanya dengan rasa prihatin hubungan kita dengan pasangan bercinta kita…Kita MEMBALAS BUDI mereka dengan berkata " IBU NI KEPOHLAH!!! BISINGLAH!!!"…

Apabila kita berusia 23 tahun, IBU & AYAH cuba memberi pandangan mengenai kerjaya….
Kita MEMBALAS BUDI mereka dengan berkata, "SAYA TAK MAHU JADI MACAM IBU DAN AYAH!!!"…

Apabila kita berusia 25 tahun, IBU & AYAH bersusah payah menanggung perbelanjaan majlis perkahwinan kita…Kita MEMBALAS BUDI mereka dengan BERPINDAH JAUH…

Apabila kita berusia 27 tahun, IBU & AYAH menalifon dan memberi nasihat tentang penjagaan bayi kita…Kita MEMBALAS BUDI mereka dengan berkata, " ITU ZAMAN DULU, SEKARANG ZAMAN MODEN!!!"

Apabila kita berusia 40 tahun, IBU & AYAH menalifon dan memaklumkan majlis kenduri di kampung.…Kita MEMBALAS BUDI mereka dengan berkata " SAYA SIBUK, TIADA MASA NAK DATANG!!!!" …

Apabila kita berusia 50 tahun, IBU & AYAH jatuh sakit dan perlukan penjagaan dan kasih sayang…Kita MEMBALAS BUDI mereka dengan MENGHANTAR KE RUMAH ORANG-ORANG TUA…

Ingatlah, selagi IBU & AYAH masih hidup, kasihi dan sayangilah mereka…

dan jika IBU & AYAH sudah meninggal dunia, ingatlah jasa dan pengorbanan mereka…

IBU & AYAH itu harta ALLAH…

hargailah mereka selagi kita punya kesempatan…

Wednesday, July 23, 2008

Wanita Idaman

Semoga dapat dijadikan panduan kepada kaum wanita dalam membentuk diri menjadi muslimah sejati... jua buat panduan kaum lelaki dalam mencari muslimah sejati untuk teman dunia dan akhirat... sama-samalah kita membentuk diri dalam menjadi hamaba Nya yang berTAQWA…

wanita idaman lelaki ialah...
yang hatinya disalut taqwa kepada Allah
yang jiwanya penuh penghayatan terhadap Islam
yang sentiasa haus dengan ilmuyang sentiasa dahaga akan pahala
yang solatnya maruah dirinyayang tidak pernah takut untuk berkata benar
yang tidak pernah gentar untuk melawan nafsu
yang sentiasa bersama kumpulan orang orang berjuang di jalan Allah

wanita idaman lelaki ialah…
yang menjaga tutur katanya
yang tidak bermegah dengan ilmu yang dimilikinya
yang sentiasa berbuat kebajikan kerana sifatnya yang penyayang
yang mempunyai ramai kawandan tidak mempunyai musuh yang bersifat jembalang

wanita idaman lelaki ialah…
yang menghormati ibubapanya
yang sentiasa berbakti kepada kedua orang tuanya dan keluarga
yang bakal menjaga kerukunan rumahtangga
yang akan mendidik suami dan anak-anak mendalami islam
yang mengamalkan hidup penuh sederhana kerana dunia baginya adalah rumah sementara menuju akhirat
wanita idaman lelaki ialah…
yang sentiasa bersedia untuk menjadi insan
yang hidup dibawah naungan al quran dan mencontohi sahabiyyat
yang boleh diajak berbincang dan berbicara
yang menjaga matanya dari berbelanja
yang sujudnya penuh kesyukuran dengan rahmat Allah keatasnya

wanita idaman lelaki ialah…
yang tidak pernah membazirkan masa
yang matanya kepenatan kerana penat membaca
yang suaranya lesu kerana penat mengaji dan berzikir
yang tidurnya lena dengan cahaya keimanan
yang bangun subuhnya penuh kecergasan kerana sehari lagi usianya bertambah penuh kematangan

wanita idaman lelaki ialah…
yang sentiasa mengingati mati
yang baginya hidup di dunia adalah ladang akhirat
yang mana buah kehidupan itu perlu dibaja dan dijaga agar berputik tunas yang bakal menjadi baka yang baik meneruskan perjuangan Islam sebelum hari kemudian
wanita idaman lelaki ialah…
yang tidak terpesona dengan buaian dunia kerana dia mengimpikan syurga di situlah rumah idamannya dan dia ingin membawaku bersama dialah wanita idaman lelaki…

Hiduplah Sebagai Musafir...

HADIS 40

(Petikan dari Kitab Hadis Arba'in, karangan Al-Imam Nawawi Rahimahullah)

Hadis diriwayatkan oleh al-lmam al-Bukhari. Daripada lbnu 'Umar r.a. رضي الله عنهما beliau berkata: Rasulullah SAW telah memegang bahuku seraya bersabda : Hiduplah engkau di dunia seolah-olah engkau seorang perantau atau musafir lalu.

lbnu 'Umar r.a. pernah berkata : Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi danapabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang. Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.

Pengajaran hadis :
  1. Kehidupan di dunia adalah kehidupan sementara, akhirat jua yang kekal abadi. Kerana itu, manusia diminta agar mengambil berat soal akhirat dan mengambil dunia seumpama seorang musafir lalu atau seorang dagang, yang hanya membawa barang keperluan di perjalanan, bukan membawa semua barang-barang.

  2. Seorang mukmin tidak harus memanjangkan angan-angannya, kerana dia terdedah kepada panggilan maut pada bila-bila masa. Dia semesti sentiasa berwaspada menghadapi maut. Apabila pagi tiba, seolah-olah dia tidak akan hidup hingga ke petang dan apabila tiba waktu petang, dia merasa seola-olah dia tidak sempat menghirup udara pagi esoknya.

  3. Larangan memanjangkan angan-angan dan gesaan agar hidup secara sederhana tidak bermakna lslam menghalang kemajuan dan kekayaan. lslam membenarkan penganutnya menjadi hartawan dan negara lslam menjadi sebuah negara maju tetapi dengan syarat menjadi seorang mukmin dan negara lslam yang bertaqwa. Kemajuan dan kekayaan adalah untuk Allah.

Saturday, June 21, 2008

Ibu gemilang lahirkan tujuh doktor

KUALA LUMPUR 10 Jun – Dilihat dari luar, kehidupan Anis Abdullah dari Muar, Johor tidak jauh berbeza dengan warga emas lain. Sebagaimana wanita berkeluarga yang lain, beliau seorang ibu yang penyayang.

Bagaimanapun, tidak ramai yang tahu bahawa di sebalik sifatnya itu, wanita berkulit putih ini sebenarnya seorang ibu yang amat istimewa.

Tujuh orang anak yang dilahirkannya menjadi doktor termasuk tiga orang doktor pakar.
Kecemerlangan kesemua anak Anis dalam akademik dan kini terlibat dalam kerjaya sebagai doktor perubatan bukanlah sesuatu yang pernah diimpikan oleh pesara guru berusia 65 tahun itu.

Kejayaan anak-anaknya membolehkan Anis – yang lahir dalam keluarga Cina sebelum diserahkan kepada keluarga Melayu ketika berusia tiga bulan – menerima Anugerah Ibu Gemilang sempena Majlis Anugerah Ibu Malaysia anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Anugerah itu disampaikan oleh Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah pada majlis sambutan yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Anak sulung Anis, Datuk Dr. Azhar Md. Noh, 43, merupakan seorang pakar bius di Hospital Ampang Puteri. Dr. Azhar belajar bidang perubatan di Universiti Glasgow, Scotland, manakala anak kedua, Dr. Muhammad, 41, seorang pakar urologi, juga berkhidmat di hospital yang sama.

Anak ketiga, keempat dan keenam beliau, Dr. Nor Shahidah, 40; Dr. Raha, 38; dan Dr. Nor Hafizah, 34, kesemuanya lulusan Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) dan kini mengusahakan klinik persendirian.

Dua lagi anaknya iaitu Dr. Nor Bahiyah, 35, dan Dr. Umi Kalthum, 28, adalah lulusan Trinity University College di Dublin, Ireland, kini masing-masing bertugas di Hospital Pakar Yayasan Salam dan sedang melanjutkan pengajian untuk menjadi pakar mata.

Anis berkata, beliau dan suami, Md. Noh Yunos, seorang pesara kerani, bersikap tegas dan mementingkan pendidikan anak-anak.

“Kami bersikap tegas kerana tidak mahu anak-anak merasai kehidupan susah yang kami lalui dulu.

“Anak-anak dipastikan mendapat pendidikan duniawi dan ukhrawi yang sempurna seawal usia lima tahun lagi, walaupun kami tahu ibu bapa pada dasarnya tiada kuasa menentukan masa depan anak-anak,” katanya kepada pemberita.

Anis yang bermenantukan lima orang doktor memberitahu, dalam mendidik anak-anak, beliau memberi tumpuan kepada masa depan mereka.

“Apabila kita fokus pada masa depan, ia membolehkan kelemahan diri diperbaiki. Jika melihat ke belakang pula, kita hanya akan mengganggu fokus tersebut,” ujarnya.

Friday, May 30, 2008

Keajaiban al-Quran atasi logik akal

Oleh IRFAN MOHAMAD

'Dalam keadaan marah, Umar al-Khattab menuju ke rumah adiknya. Dia mendengar dan mengamati dari luar rumah, kalimah dan ayat yang dialun begitu tersusun indah. Belum pernah didengari bait-bait seperti itu yang begitu memukau pendengaran, dengan maknanya yang mendalam membuat hati pasrah. Lalu bayu keinsafan mula menerjah, hatinya bersinar tersuluh hidayah'.

Keajaiban al-Quran bukan sahaja terkandung pada maknanya, malah ketelitian susun atur ayatnya mengalahkan pakar bahasa dan penyair yang masyhur pada zamannya. Pernah dicuba untuk ditandingi, namun tiada hasil sehingga kini.

Sejak dahulu lagi, ancaman untuk mengatasi keunggulan al-Quran telah muncul, namun tiada hasil yang ditemui selain kehampaan yang berterusan. Era modenisasi juga tidak terkecuali daripada cubaan anasir-anasir yang tidak pernah berputus asa untuk meragut keaslian dan menconteng kemurnian khazanah al-Quran. Percubaan demi percubaan untuk mengelirukan umat Islam dengan ayat-ayat dan surah-surah palsu tidak pernah padam.

Namun, al-Quran sebagai satu mukjizat maknawi dilindungi dengan penuh keajaiban. Pasti tiada versi palsu yang berlegar di pasaran selepas penerbitan tanpa gagal dikesan.

Dari segi sejarahnya, al-Quran yang merupakan lembaran-lembaran ayat, telah diwahyukan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW secara berperingkat-peringkat selama 23 tahun sejak Baginda mula dilantik menjadi rasul. Bermula dengan ayat dari surah al-Alaq, disusuli dengan ayat-ayat dari surah al-Muzzammil, yang menjadi watikah pelantikan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasulullah, al-Quran tetap sebagaimana wajahnya yang asal. Yang membezakannya mungkin dari segi penampilannya sahaja. Jika dahulu ia terkandung dalam dada para sahabat, ia kemudiannya ditulis di atas pelepah pohon kayu dan kulit kambing. Inisiatif pada zaman Saidina Uthman Ibni Affan yang telah menyatukannya dalam bentuk mashaf merupakan kesinambungan ke arah memastikan mesej dakwah sampai sehingga ke generasi akhir zaman.

Tiada satu pun karangan bahkan kitab-kitab Nabi terdahulu yang dapat mengekalkan bentuknya sebagaimana versi asal, seperti ajaibnya kalamullah, al-Quran.

Menghafal keseluruhan suatu buku yang mengandungi 30 bab, atau mungkin salah satu babnya sahaja adalah mustahil bagi kebanyakan manusia. Apatah lagi untuk mencari sebilangan manusia dari pelosok benua yang berlainan, yang mampu menghafal lebih daripada 6,000 ayat yang kebanyakannya adalah dalam bukan bahasa ibunda mereka, dalam keadaan tiada berbeza antara versi seorang dengan seorang yang lain walau sedikit pun.

Logik akalnya memang begitu, namun keajaiban al-Quran membuktikan bahawa ia mampu berada dalam kotak ingatan manusia, tanpa mengira batas usia, warna kulit, merentasi sempadan bangsa dan budaya.

Keajaiban kandungannya juga tidak mampu dinafikan oleh siapa jua daripada golongan manusia yang berakal. Kemampuannya melakar dengan jelas peristiwa sejarah, menukil dengan terperinci peristiwa semasa dan membentangkan agenda yang akan berlaku pada masa hadapan cukup menakjubkan. Perjalanan hidup manusia, atau lebih tepat lagi setiap makhluk seisi alam telah diceritakan satu persatu dengan jelas bermula sejak zaman sebelum penciptaan Nabi Adam lagi sehinggalah ke destinasi terakhir pada alam yang muktamad iaitu syurga dan neraka.

Peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekitar kehidupan kita sudah cukup menyediakan dalil aqli yang membuktikan kebenaran ayat-ayat al-Quran. Mempelajari kisah-kisah sejarah di dalam al-Quran bukan sahaja akan memberikan kita gambaran mutiara teladan daripada sirah para Nabi yang terdahulu bahkan melakarkan dengan jelas apakah akibat yang menimpa golongan kafir dan musyrikin jika menentang perintah Ilahi. Kisah Nabi Musa yang bermusafir sambil belajar daripada Nabi Khidir menukilkan adab-adab ketika berguru, yang kebanyakannya amat praktikal jika diamalkan dalam kehidupan semasa. Contohnya, kita sewajarnya memberi perhatian yang penuh sewaktu belajar, bertanya guru pada masa yang sesuai, menilai sesuatu bukan pada zahirnya sahaja, tidak mudah jemu dan sanggup menerima teguran dengan hati yang terbuka dan berlapang dada.

Nilai-nilai murni yang ditunjukkan dalam banyak lagi kisah teladan para Nabi dan solihin boleh diterapkan dan amat bersesuaian untuk diamalkan dalam kehidupan kita seharian.

Al-Quran juga tidak ketinggalan bahkan mendahului dalam perkembangan isu-isu semasa. Kepesatan pembangunan sains dan teknologi seolah-olah menyingkap rahsiarahsia al-Quran selama ini. Dalam bidang perubatan misalnya, perkembangan janin dalam uterus telah diungkapkan dengan teratur peringkat demi peringkat di dalam al-Quran walaupun penggunaan mesin pengimbas ultrabunyi belum lagi diperkenalkan.

'Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati dari tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang lalu tulang belulang itu Kami bungkus daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang berbentuk lain. Maka Maha Suci Allahlah, Pencipta yang paling baik'. Surah al-Mu'minuun, ayat 12-14.

Sungguhpun jelas di dalam al-Quran diterangkan tentang peringkat-peringkat kejadian manusia ini, hanya sekitar tahun 1940-an sahaja para pengkaji dalam bidang embriologi manusia berjaya mencadangkan wujudnya beberapa peringkat dalam perkembangan janin manusia. Hanya beberapa tahun kebelakangan ini teori-teori itu telah diterima pakai setelah sains perubatan berjaya membuktikannya.

PenemuanIlustrasi yang padat dan jelas berkenaan peringkat hidup janin manusia itu merupakan suatu petunjuk yang tidak dapat disangkal bahawa al-Quran sememangnya keterangan yang ajaib, yang mendahului penemuan manusia secara saintifik. Hakikat ini telah diakui oleh seorang profesor dalam bidang anatomi manusia, Prof. Moore yang antaranya menyatakan bahawa keterangan secara terperinci itu pasti datangnya daripada Tuhan dan bukannya karangan manusia, yang telah menurunkannya kepada Nabi Muhammad SAW kerana sains perubatan manusia hanya dapat membuktikannya hanya beberapa abad selepas turunnya al-Quran.

Al-Quran juga telah memberi suntikan idea dalam perkembangan kajian-kajian baru sebagai contohnya penggunaan madu dalam bidang perubatan bagi menyembuhkan luka dan meningkatkan daya tahan tubuh melawan jangkitan. Aplikasi kekuatan besi dalam struktur binaan juga telah diinspirasikan melalui salah satu daripada ayat-ayat al-Quran, sebagaiamana firman Allah SWT dalam surah al-Hadid ayat 25 yang bermaksud :
'Dan Kami ciptakan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai-bagai manfaat bagi manusia...'

Selain itu, penerangan al-Quran tentang peredaran bulan dan matahari telah dijadikan sebagai asas perkiraan masa untuk kalendar yang digunakan sehingga ke hari ini. Ilmu astronomi, yang suatu masa dahulu dipelopori oleh ilmuwan Islam sebenarnya berputik daripada rasa ingin tahu yang tercetus hasil penerangan-penerangan tentang angkasa lepas di dalam al-Quran. Tidak terbatas pada teori-teori sahaja, cetusan idea daripada ayat al-Quran telah memberi banyak ilham dan motivasi kepada para pengkaji untuk mencuba kaedah atau penciptaan baru. Tidak mustahil jika dinyatakan bahawa idea untuk mencipta bom mungkin diambil daripada peristiwa burung ababil yang melontarkan batu-batu api ke atas tentera bergajah Abrahah dan reka bentuk terowong dasar laut diambil daripada peristiwa Nabi Musa a.s. membelah laut.

Proses kejadian alam yang lain seperti hujan dan kemarau, pertemuan laut dan sungai, kitar hidup tumbuh-tumbuhan dan perumpamaan melibatkan haiwan bermula daripada sekecil-kecil nyamuk dan semut sehinggalah kepada lembu dan keldai cukup menakjubkan dan cukup jumlahnya untuk mengetuk hati yang tulus ikhlas menerima hidayah.

Berdasarkan penjelasan mengenai peristiwa sejarah serta kesahihan pembuktian peristiwa semasa, amat wajarlah kita meyakini akan ramalan-ramalan atau lebih tepat lagi petunjuk awal yang diceritakan berkenaan dengan peristiwa yang bakal berlaku pada masa akan datang. Sesungguhnya al-Quran sarat dengan seribu satu keajaiban dan hanya keterbatasan akal manusia yang cetek sahaja membuatkan hanya sedikit daripada mutiara ilmunya yang dapat dicungkil.

Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0530&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

Saturday, May 17, 2008

Selamat Hari Guru...


16 Mei, Hari Guru...
Jasa kalian dikenang...

Guru Oh Guru

Berburu padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG 1979

Selamat Hari Guru...

PM umum skim baru kenaikan pangkat guru

PENGHARGAAN: Abdullah bersalam dengan seorang daripada empat Tokoh Guru 2008, Abu Bakar Shawkat Ali dari Ujong Pasir, Melaka, sambil diperhatikan Hishammuddin (kanan) serta Mohd Ali (tiga dari kiri) pada pelancaran Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-37 di Dewan Seri Negeri Ayer Keroh, Melaka, semalam.

MELAKA: Sempena sambutan Hari Guru 2008, kerajaan semalam mengumumkan beberapa insentif kepada warga pendidik dalam usaha memperkukuh dan memperkasakan lagi profesion perguruan di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata kerajaan bersetuju mengambil kira pengalaman mengajar guru semasa dalam skim bukan siswazah DGA untuk pertimbangan kenaikan gred secara 'time based' selepas berada dalam skim siswazah iaitu dari gred DG41 ke DG44.

Langkah itu, katanya, bertepatan gagasan kerajaan membangunkan modal insan, selain bersesuaian dengan dasar pensiswazahan guru sebagai galakan golongan terbabit melanjutkan pengajian sekali gus memantapkan mutu serta daya saing.

"Kaedah yang akan digunakan ialah setiap tiga tahun pengalaman di gred DGA29 akan dikira sebagai satu tahun pengalaman di gred DG41, tertakluk kepada had maksimum pengiraan sebanyak tiga tahun pengalaman DG41.

"Insentif ini adalah satu tambahan kepada keputusan kerajaan sebelum ini iaitu untuk memberikan hadiah kenaikan gaji," katanya disambut tepukan gemuruh kira-kira 3,000 warga pendidikan yang menghadiri majlis sambutan itu di Ayer Keroh, petang semalam.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Tokoh Kepemimpinan Guru 2008 kepada Datuk Rashdi Ramlan serta Tokoh Guru kepada Datuk Dr Dzulkarnain Abd Rahman, Abu Bakar Shawkat Ali serta Krishnasamy Karpaya.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom.

Abdullah berkata, kerajaan meluluskan cadangan supaya guru gred DG41 yang berasal dari skim bukan siswazah dan memegang jawatan guru besar, dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat ke gred DG44 selepas tiga tahun berkhidmat sebagai guru besar gred DG41.

Selepas menambah kuota jawatan dalam skim cemerlang pada 2006 sebanyak lebih 300 peratus dan memastikan jawatan berkenaan dapat dinikmati segera oleh guru, kerajaan juga bersetuju menambah baik beberapa syarat bagi skim guru cemerlang.

"Pertama, bagi pengisian jawatan guru cemerlang DGA32 dari gred asal DGA29 dan jawatan guru cemerlang DG44 dari gred asal DG41, syarat tempoh kelayakan dipendekkan daripada tujuh tahun kepada lima tahun pengalaman mengajar.

"Kedua, pegawai yang sudah dinaikkan pangkat guru cemerlang di sesuatu gred boleh dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat ke gred selanjutnya tanpa perlu menunggu tempoh tiga tahun perkhidmatan dalam gred sedang disandang," katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga memperuntukkan 10 peratus daripada kuota sedia ada untuk diberikan kepada pengelola dan guru yang berkhidmat di Kementerian Pelajaran, jabatan pelajaran negeri dan pejabat pelajaran daerah dengan syarat mereka cemerlang.

Selain itu, gred pegawai pelajaran daerah (PPD) dinaikkan dari DG48 ke gred DG52 dan DG54, disamping menyeragamkan struktur pejabat berkenaan di seluruh negara dengan memansuhkan pejabat pelajaran gabungan bagi Sabah dan Sarawak.

"Disamping kenaikan PPD, penambahbaikan ini juga akan mewujudkan ratusan jawatan kenaikan pangkat baru untuk guru yang berkhidmat di pejabat pelajaran daerah," katanya.

Abdullah berkata kerajaan juga meluluskan cadangan penstrukturan baru Kementerian Pelajaran selepas kali terakhir dilakukan pada 1995. Peringkat awal kelulusan itu membabitkan pertambahan jawatan dan kenaikan gred bagi jawatan pengurusan tertinggi dan ketua bahagian dari gred 54 ke Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) A.

"Sebagai contoh, semua jawatan timbalan ketua pengarah pelajaran kini diseragamkan pada gred jusa A berbanding sebelumnya yang berbeza iaitu gred Jusa A, B, C dan DG54. Penambaikan dan penstrukturan semula kementerian dan PPD ini disasarkan akan dapat memantapkan sistem penyampaian pendidikan di setiap peringkat," katanya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/BeritaUtama/20080517003830/Article/index_html

Tiga langkah kekalkan profesionalisme guru

Pelbagai insentif, kemudahan dan keistimewaan dinikmati pendidik.

KEMENTERIAN Pelajaran melaksanakan tiga langkah khusus bagi mengekalkan momentum perkembangan profesionalisme guru supaya terus lestari dan sentiasa berada pada tahap tinggi.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata langkah berkenaan ialah meneruskan program berkembar latihan perguruan dengan institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara bagi subjek kritikal.

Selain itu, beliau berkata, mengkaji semula beban tugas guru, dan menggalak serta menyebarluaskan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di kalangan guru, terutama untuk mengintegrasikannya dalam pengajaran dan pembelajaran.

“Profesion keguruan kini berada pada tahap amat baik. Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran menyediakan pelbagai insentif, kemudahan dan keistimewaan yang dinikmati guru ketika ini.

“Tidak salah jika saya nyatakan bahawa hasrat memartabatkan profesion keguruan berada pada landasan betul dan kukuh, justeru mampu melahirkan warga guru yang menyumbang ke arah kecemerlangan negara.

“Kementerian memilih ‘Guru Cemerlang Negara Terbilang’ sebagai tema sambutan Hari Guru tahun ini. Sejak negara mencapai kemerdekaan hinggalah sekarang, kerajaan tidak pernah mengabaikan warga guru.

“Malah, pelbagai insentif diberi seperti peluang kenaikan pangkat, kenaikan gred jawatan serta pertambahan kuota jawatan untuk guru, termasuk Pengetua Cemerlang dan Guru Cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2008 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, di Dewan Sri Negeri, Ayer Keroh, Melaka, semalam.

Hadir sama Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; dua Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail dan Datuk Dr Wee Ka Siong; serta Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang.

Seterusnya, Alimuddin berkata, pendekatan telus, prihatin, mesra rakyat dan berwibawa Hishammuddin selaku pemimpin kementerian, banyak membawa pembaharuan bukan saja kepada pembangunan dan perkhidmatan pendidikan, malah meningkatkan rasa bangga serta kasih warga guru terhadap profesion mereka.

Katanya, contoh teladan, budi baik dan jasa Hishammuddin selama ini menjadi pemangkin serta dorongan kepada warga pendidikan untuk terus memberi perkhidmatan terbaik melalui pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru seluruh warga guru agar menunjukkan rasa terima kasih dan penghargaan atas segala usaha kerajaan dengan menjadikan kualiti serta kecemerlangan sebagai budaya dan juga identiti profesion keguruan negara.

“Sesungguhnya masa depan dan kelangsungan negara terletak pada tangan generasi muda hari ini yang menjadi modal insan negara. “

Justeru, pendidikan disampaikan perlu berkualiti dan diurus dengan cekap serta berkesan supaya meninggalkan impak positif kepada pembangunan ilmu, kemahiran dan juga akhlak mulia di kalangan anak-anak kita agar mereka mampu bersaing pada peringkat global,” katanya.

Monday, May 12, 2008

Selamat Hari Ibu...

Sebagai seorang anak, menjadi kewajipan mengenang jasa dan pengorbanan ibu yang tidak terhitung nilainya. Kedudukan ibu juga sangat istimewa dan mulia di sisi Islam, sebingga pernah suatu ketika Nabi s.a.w. ditanya berkaitan individu yang perlu dihormati dan disayangi. Lalu baginda s.a.w. menyebut insan yang bergelar "ibu" sebanyak tiga kali dan "ayah" pada sebutan yang keempat. Ini menggambarkan kedudukan ibu sangatlah tinggi berada pada tiga level yang teratas.

“Ya Allah, ampunkanlah dosaku, ampunkan dosa ibu bapaku dan rahmatilah mereka dengan kasih sayang-Mu, sebagaimana mereka menyayangiku ketika diriku masih kecil”.

Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Al-Israa’ 17: 24)
::Duhai Bonda::
::Nowseeheart::

Bagai kerdipan lilin yang berkilau, bercahaya
Menggantikan mentari terangi malam nan gelita
Membakar diri pun membeikan cahaya
Membiar diri musnah terlebur
Korban segalanya penuh rela

Biar dimamah arus usia
Tidak pernah kenal derita
Bagai sungai kasih yang mengalir
Tiada penghentiannya, tak bertebing

Duhai ibunda kaulah anugerah istimewa
Berkorban jiwa raga redahi hidup nan mencabar
Berusaha dan sabar dalam mengharungi derita
Hidupmu penuh ranjau meniti kepayahan yang tiada kesudahan

Tidak sekali mengharapkan dibalasi permata
Cukup engkau rasa bahagiaLihat anak-anakmu berjaya
Kau penawar hati dukaWalau hatimu terluka
Engkau ibu engkaulah bapa
Pabila ayah tiada

Hanya Tuhan saja yang dapat membalas jasamu
Kerana Tuhan saja yang tahu penderitaanmu
Wahai bonda

Saturday, May 10, 2008

Iklan Jawatan Kosong...

KATEGORI JAWATAN KOSONG :
A. Ahli Syurga dari awal.
B. Ahli Neraka dari awal.
C. Ahli Neraka sementara, kemudian akan dilantik jadi Ahli Syurga.

EMPAT GANJARAN LUMAYAN (khas untuk jawatan A) :
1. Nikmat kubur.
2. Perlindungan di Padang Mahsyar.
3. Keselamatan Meniti Titian Sirat.
4. Syurga yang kekal abadi.

TARIKH TEMUDUGA :
Bila-bila masa secara adhoc bermula dari saat membaca iklan ini.

LOKASI TEMUDUGA :
Di dalam kubur (alam barzakh).

KELAYAKAN :
Anda tidak perlu bawa siji-sijil.
Anda tidak perlu bawa pingat.
Anda tidak perlu bawa wang atau harta(yang banyak).
Anda tidak perlu berparas rupa yangcantik, hensem atau berbadan tegap atau seksi.
Sila bawa dokumen asal Iman dan Amal.

PANEL /PENEMUDUGA :
Mungkar dan Nakir.

ENAM SOALAN BOCOR :
1. Siapa Tuhan anda?
2. Apa Agama anda?
3. Siapa Nabi anda?
4. Apa Kitab anda?
5. Di mana Kiblat anda?
6. Siapa Saudara anda?
CARA MEMOHON :
Anda cuma perlu menunggu penjemput yang berkaliber untuk menjemput anda. Ia akan menjemput anda pada bila-bila masa saja (mungkin sekejap lagi). Ia akan berlembut kepada orang-orang tertentu dan akan bengis kepada orang-orang tertentu. Ia diberi nama Izrail.

TIPS UNTUK BERJAYA DALAM TEMUDUGA TERTUTUP INI :
Hadis hasan yang diriwayatkan oleh Ahmad Hanbal, yang bermaksud begini: Sabda Rasulullah s.a.w. :

"Sesungguhnya apabila jenazah seseorang itu diletakkan di dalam kuburnya, sesungguhnya jenazah itu mendengar suara terompah (kasut) orang- orang yang menghantarnya ke kubur pada saat mereka meninggalkan tempat itu. Jika mayat itu seorang muslim, maka solat yang dilakukannya ketika beliau masih hidup di dunia akan diletakkan dikepalanya, puasanya diletakkan disebelah kanannya, zakatnya diletakkan di sebelah kirinya dan amalan kebajikan daripada sedekah, silaturrahim, perkara kebajikan dan ihsan diletakkan dihujung dua kakinya.

Ia akan didatangi malaikat dari aras kepala, maka solat itu berkata kepada malaikat: dari arasku tidak ada jalan masuk. Kemudian malaikat berpindah kesebelah kanan, maka puasa berkata kepadanya: dari arasku tidak ada jalan masuk. Kemudian malaikat berpindah ke sebelah kiri, maka zakat berkata kepadanya: dari arasku tidak ada jalan masuk. Kemudian di datangi dari arah kedua hujung kakinya danberkatalah amal-kebajikan: dibahagianku tidak ada jalan masuk. Maka malaikat berkata kepadanya: Duduklah kamu. Kepadanya (mayat) memperlihatkan matahari yang sudah mula terbenam, lalu malaikat bertanya kepada mayat itu:

Apakah pandangan kamu tentang seorang laki-laki (Muhammad) yang kamu dahulu sentiasa bercakap tentangnya; dan bagaimana penyaksian kamu kepadanya? Maka berkata mayat itu: Tinggalkan aku sebentar, aku hendak sembahyang. Maka berkata malaikat: Sesungguhnya engkauakan mengerjakan solat (boleh saja solat) tetapi jawab dahulu apa yang kami tanya ini. Apakah pandangan kamu tentang seorang laki-laki Muhammad) yang kamu dahulu sentiasa bercakap tentangnya; dan bagaimana penyaksian kamu kepadanya? Maka berkata mayat itu: Laki- laki itu ialah NabiMuhammad s.a.w dan aku naik saksi bahawa nabi Muhammad s.a.w itu ialah pesuruh Allah yang membawa kebenaran daripada Allah S.W.T. Maka malaikat berkata kepada mayat itu: Demikianlah kamu dihidupkan dan begitu juga kamu dimatikan dan dengan demikian juga kamu dibangkitkan semula di akhirat Insya' Allah. Kemudian dibuka baginya satu pintu syurga, maka dikata padanya itulah tempat kamu dan itulah janji Allah bagi kamu dan kamu akan berada di dalamnya. Maka bertambahlah gembira mayat itu.Kemudian dilapangkan kuburnya seluas 70 hasta dan disinari cahaya baginya"

Nampaknya pertahanan kita perlu kuat dari semua semua aras (kepala, kanan, kiri dan hujung kaki).

Semoga berjaya dalam temuduga ini....
Wallahu-a'lam.

Malam Pertama.....

Malam pertama...
Malam itu ialah Malam Pertama Di Alam Kubur
Pernahkah engkau melihat kuburan?
Pernahkah engkau melihat gelapnya kuburan?
Pernahkah engkau melihat sempit dan dalamnya liang lahat?
Pernahkah engkau membayangkan kengerian dan kedahsyatan alam kubur?
Sedarkah engkau bahawa kuburan itu dipersiapkan untukmu dan untuk orang-orang selain darimu?
Bukankah telah silih berganti engkau melihat teman-teman, orang-orang tercinta dan keluarga terdekatmu diusung dari dunia fana ini ke kuburan?

Apakah Malam Pertama Kita di Alam Kubur Nanti Asyik dan Nikmat atau Penuh Derita dan Sengsara?
"Wahai anak Adam, apa yang telah engkau persiapkan saat malam pertamamu nanti di alam kubur?
Tidakkah engkau tahu, bahawa ia adalah malam yang sangat mengerikan.
Malam yang kerananya para ulama' serta orang-orang yang soleh menangis dan orang-orang bijak mengeluh.
Apa tidaknya, kala itu kita sedang berada di dua persimpangan dan di dunia yang amat berbeza.
"Suatu hari pasti engkau akan tinggalkan tempat tidurmu (di dunia), dan ketenangan pun menghilang darimu.
Bila engkau berada di kuburmu pada malam pertama, demi Allah, fikirkanlah untung nasibmu dan apa yang akan terjadi padamu di sana?"

Hari ini kita berada di dunia yang penuh keriangan dengan anak-anak, keluarga dan sahabat handai,
dunia yang diterangi dengan lampu-lampu yang pelbagai warna dan sinaran,
dunia yang dihidangkan dengan pelbagai makanan yang lazat-lazat serta minuman yang pelbagai,
tetapi pada keesokannya kita berada di malam pertama di dalam dunia yang kelam gelap-gelita,
lilin-lilin yang menerangidunia adalah amalan-amalan yang kita lakukan,
dunia sempit yang dikelilingi tanah dan bantalnya juga tanah.

Pada saat kita mula membuka mata di malam pertama kita di alam kubur,
segala-galanya amat menyedihkan,
tempik raung memenuhi ruang yang sempit tapi apakan daya semuanya telah berakhir.
Itukah yang kita mahukan?
Pastinya tidak bukan? Oleh itu beramallah dan ingatlah sentiasa betapa kita semua akan menempuhi Malam Pertama Di Alam Kubur!

Di dalam usahanya mempersiapkan diri menghadapi malam pertama tersebut, adalah diceritakan bahawa Rabi' bin Khutsaim menggali liang kubur di rumahnya. Bila ia mendapati hatinya keras, maka ia masuk ke liang kubur tersebut.Ia menganggap dirinya telah mati, lalu menyesal dan ingin kembali ke dunia, seraya membaca ayat:
"Ya Rabbku, kembalikanlah aku semula (ke dunia), agar aku dapat berbuat amal soleh terhadap apa yang telah kutinggalkan (dahulu)." (Surah Al-Mu'minun, ayat 99-100)

Kemudian ia menjawab sendiri;
"Kini engkau telah dikembalikan ke dunia wahai Rabi'.."
Dan disebabkan hal tersebut, Rabi' bin Khutsaim didapati pada hari-hari sesudahnya sentiasa dalam keadaan beribadah dan bertaqwa kepada Allah!

Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis atas kematian dan sakaratul maut yang bakal menjemputmu?
Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis atas kuburan dan kengerian yang ada di dalamnya?
Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis kerana takut akan hausnya di hari penyesalan.
Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis kerana takut kepada api Neraka di Hari Kiamat nanti?
Sesungguhnya kematian pasti menghancurkan kenikmatan para penikmatnya.

Oleh itu, carilah (kenikmatan) hidup yang tidak ada kematian di dalamnya.
"Ya Allah, tolonglah kami ketika sakaratul maut!"
Kematian itu pasti.
Ia tidak meleset meski hanya sedetik.
Ia biasa datang menyerap dengan tiba-tiba.
Ia misteri.
Kerananya setiap orang semestinya selalu siap.
Dan tentu, husnul khatimah harus menjadi pilihan.
Untuk mencapai itu, harus melalui jalan syari'at dengan menjalankan segala perintah dan menjauhi segala larangan Allah Ta'ala.
Tanpanya, husnul khatimah itu nihil.
Bukankah, perahu tak akan berjalan di daratan?

Wahai orang tua yang telah bongkok punggungnya dan dekat ajalnya, apakah engkau telah bersiap-siap menghadapi malam pertama?
Wahai pemuda gagah yang bergelimang harta dan sejuta asa,
apakah engkau telah bersiap-siap menghadapi malam pertama?
Ia adalah malam pertama dengan dua wajah,
mungkin menjadi malam pertama bagi malam-malam syurga berikutnya,
atau menjadi malam pertama bagi malam-malam neraka selanjutnya.

(Dipetik dari buku Malam Pertama Di Alam Kubur karya Dr Aidh Abdullah Al-Qarni)

Tuesday, April 29, 2008

Cemerlang di dunia, akhirat

MENJADI manusia cemerlang idaman semua orang. Seorang pekerja mahu menjadi pekerja cemerlang, dikagumi dan dihormati. Pelajar juga tentu selalu bercita-cita atau paling kurang berangan-angan menjadi pelajar cemerlang.

Ibu bapa juga selalu berharap dapat menggalas tanggungjawab dengan cemerlang, begitu juga suami isteri tentu mahu menjadi pasangan cemerlang untuk pasangannya.

Namun apa itu cemerlang? Apakah seseorang itu dianggap cemerlang apabila telah melepasi piawaian yang ditetapkan seperti pelajar yang mendapat semua A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Benar ini adalah kecemerlangan yang mesti diusahakan semua pelajar juga semua orang, namun ada lagi kecemerlangan hakiki yang jangan sekali-kali terlepas iaitu kecemerlangan sebagai seorang hamba Allah yang dapat mendiami syurga di alam akhirat.

Kecemerlangan bermula dari dalam diri. Keimanan dan ketakwaan dapat mengubah diri malah mampu mengubah dunia.

Allah berfirman dalam surah at-Talaq, ayat 2-3 bermaksud: “Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, Dia (Allah) akan mengadakan baginya jalan keluar dan Allah akan mengurniakan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.”

Bagaimana mahu menjadi seorang yang bertakwa? Soalan ini pernah ditanya Umar bin al-Khattab kepada sahabat, Ubai bin Kaab.

Ubai berkata: Pernahkah kamu berjalan di sebatang jalan yang dipenuhi onak dan duri?

Jawab Umar: Ya, pernah.

Ubai bertanya lagi: Apakah yang kamu lakukan ketika itu?

Umar berkata: Aku berhati-hati dan bersungguh-sungguh.

Ubai berkata: Itulah takwa.

Abdullah bin Mas’ud mentafsirkan takwa sebagai melaksanakan ketaatan, tidak melakukan maksiat, sentiasa mengingati Allah, tidak lalai, sentiasa bersyukur dan tidak kufur.

Islam tidak memandang kecil kecemerlangan di dunia. Malah, kecemerlangan di dunia dapat menjadi alat untuk mencapai kecemerlangan di akhirat.

Orang bertakwa yang cemerlang di dunia akan cemerlang di akhirat. Seorang yang mahu cemerlang di dunia akhirat boleh menjadikan tip ini sebagai panduan.
  1. Laburkan masa untuk merancang hidup.

  2. Tentukan matlamat kerana matlamat yang jelas memudahkan perjalanan hidup agar tidak menjadi seperti kapal tanpa nakhoda yang hanyut dipukul ombak.

  3. Tentukan keutamaan dalam hidup anda, letakkan kehendak Allah di depan.

  4. Lakukanlah perkara yang betul dan buat betul-betul. Jangan membazir masa dengan melakukan benda sia-sia.

  5. Utamakan kerja yang penting daripada yang kurang penting. Jangan melengah-lengahkan kerja yang penting kerana ia boleh menjadi kerja yang sukar nanti.

  6. Jangan berazam mahu menjadi sangat sempurna, kerana hanya Allah Yang Maha Sempurna. Jika kita tidak mahu mencuba kerana takut gagal, kita takkan ke mana-mana. Jangan buang masa dengan perasaan was-was.

  7. Buangkan sikap suka menangguhkan kerja, umpama orang yang diamanahkan membawa beras seguni sehari tetapi menangguhkan hingga sepuluh hari, akhirnya tidak mampu dia hendak memikul sepuluh guni beras sekali gus.

  8. Belajar untuk berkata TIDAK pada perkara yang tidak penting dan sia-sia. Jadilah seorang yang tegas pada diri sendiri.

  9. Hargailah diri anda sendiri, buat yang terbaik untuk diri anda agar dapat mencapai kecemerlangan di dunia dan akhirat.

Sumber : http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/AdDin/20080425114202/Article/indexv_html

Bagaimana jiwa remaja?

PADA Isnin lalu, masyarakat Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan kejadian seorang pelajar perempuan yang mati selepas terjatuh dari tingkat 11, sebuah pangsapuri di Putrajaya.

Mangsa, Nurul Farah Mazlan, 17, dipercayai cuba turun dari rumahnya di tingkat 11 untuk ke rumah rakannya di tingkat 10 menggunakan ikatan kain cadar lalu terjatuh ke bawah.

Kejadian itu berlaku ekoran mangsa tidak dibenarkan keluar dari rumah oleh ibu bapanya selepas menyatakan keinginan untuk menemui seorang rakan.

Kes seperti ini bukanlah kejadian pertama yang berlaku di negara kita, malah dikatakan kerap kali berlaku dalam kalangan remaja mahupun orang dewasa hari ini.

Menurut sumber yang dipetik menerusi laman web, www.familyeducation.com dan artikel Dolores Curran bertajuk, How to Get Along with Parents (Clarion Herald, New Orleans, April 11, 1985), setiap remaja inginkan kesempurnaan dan kebebasan diri daripada kongkongan hidup khususnya oleh kedua-dua ibu bapa.

Remaja sememangnya begitu menghargai keunikan diri dan mengambil identiti diri mereka dengan menyokong perasaan hormat diri yang tinggi kepada ibu bapa mereka.

Jika sebaliknya yang berlaku, iaitu sejak kecil remaja terlibat tidak berasa dirinya istimewa atau dihargai, dia akan berasakan kekeliruan wujud di dalam dirinya.

Ini terutama jika seorang remaja hanya mendapat perhatian apabila dia melakukan kesalahan atau kejahatan yang sebaliknya dilakukan.

Justeru, remaja mempunyai hak untuk membuat keputusan dan ibu bapa pula perlu memahami kehendak dan kepuasan yang diinginkan.

Namun yang pasti, remaja haruslah mempunyai alasan yang kukuh agar tidak berlakunya percanggahan pendapat oleh kedua-dua ibu bapa sehingga berani melakukan sesuatu di luar jangkaan.

Sumber : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0425&pub=Kosmo&sec=Famili&pg=fa_01.htm

Friday, April 11, 2008

Kekasih : Sejauh mana kasih kita...?

Kekasih.......
Adakah cinta sudah berputik pada kekasih?
Bagaimana ekspresi cinta pada kekasih?
Sudahkah berkorban untuk kekasih?

Ya Allah, bantulah kami cinta padaMu......
Supaya kekal hidup beribadah...
Moga memperolehi barakah...
Selamat di dunia & akhirah...

Nasyid : Asma' Allah
Oleh : Sami Yusuf

Raheem MERCIFUL
Kareemun GENEROUS
Adeem MAGNIFICENT
Aleemun ALL-KNOWING
Haleem FORBEARING ONE
Hakeemun PERFECTLY WISE
Mateen FIRM ONE

Mannan BENEFACTOR
Rahmaanun BENEFICENT
Fattah OPENER
Gaffarun GREAT FORGIVER
Tawwab ACCEPTER OF REPENTANCE
Razzaqun SUSTAINER
Shaheed WITNESS

Allahuma salli ala Muhammad wa ali Muhammad
O GOD send Your Peace and Blessings on Muhammad and his family

Ya Muslimeen sallu alayhi
O Muslims send your peace and blessings upon him

Allahuma salli ala Muhammad wa sahbi Muhammad
O GOD send Your Peace and Blessings on Muhammad and his companions

Ya Mu’mineen sallu alayhi
O Believers send your peace and blessings upon him
Lateef SUBTLE ONE
Khabeerun ALL-AWARE
Sami’ ALL-HEARING
Baseerun ALL-SEEING
Jaleel SUBLIME ONE
Raqeebun WATCHFUL
Mujeeb RESPONSIVE
Gafuur ALL-FORGIVING
Shakuurun APPRECIATIVE
Waduud LOVING ONE
Qayuumun SELF-SUBSISTING ONE
Ra’uuf KIND
Sabuurun PATIENT ONE
Majeed MOST GLORIOUS ONE

Allahuma salli ala Muhammad wa ali Muhammad
O GOD send Your Peace and Blessings on Muhammad and his family

Ya Muslimeen sallu alayhi
O Muslims send your peace and blessings upon him

Allahuma salli ala Muhammad wa sahbi Muhammad
O GOD send Your Peace and Blessings on Muhammad and his companions

Ya Mu’mineen sallu alayhi
O Believers send your peace and blessings upon him

Allahu Akbar GOD is THE GREATEST
La Ilaha illa hu There is no GOD but ALLAH
Al Maliku The SOVEREIGN LORD
Al Quddusu The HOLY ONE
La Ilaha illa hu There is no GOD but ALLAH
Arrahmanu The COMPASSIONATE
Arraheem The MERCIFUL

Allahu Akbar GOD is THE GREATEST
Ya Rahman irham da’fana
O COMPASSIONATE, have mercy upon us

Allahu Akbar GOD is THE GREATEST
Ya Ghaffaru ighfir dhunubana
O GREAT FORGIVER, forgive our sins

Allahu Akbar GOD is THE GREATEST
Ya Sattaru ustur uyubana
O CONCEALER, conceal our faults

Allahu Akbar GOD is THE GREATEST
Ya Mu’izu a’izza ummatana
O BESTOWER OF HONOUR, value our Ummah (nation)

Allahu Akbar GOD is THE GREATEST
Ya Mujibu ajib du’aana
O RESPONSIVE, grant us our supplication

Allahu Akbar GOD is THE GREATEST
Ya lateefu ultuf bina
O SUBTLE ONE, be gracious to us

Wednesday, April 9, 2008

Kita & Al-Quran

Sekadar muhasabah.........
Benarkah kita mengambil peduli tentang al-Quran?
Benarkah kita mengetahui fakta asas tentang al-Quran?
  1. Berapakah jumlah surah dalam al-Quran?

  2. Berapakah jumlah juz dalam al-Quran?

  3. Berapakah jumlah surah-surah Makkiyah dan surah-surah Madaniyyah?

  4. Apakah nama surah pertama, tengah dan terakhir?

  5. Apakah surah terpanjang dan terpendek?

  6. Apakah ayat pertama dan terakhir diturunkan?

  7. Apakah turutan nama-nama surah dalam al-Quran daripada awal sehingga akhir?

  8. Berapakah jumlah ayat yang kita hafaz daripada al-Quran?

  9. Siapakah yang mencadangkan catatan al-Quran dibukukan?

  10. Kenapakah al-Quran dibukukan?

  11. Berapa banyak kita membaca al-Quran dalam sehari?

  12. Sejauh mana berusaha memahami tafsir al-Quran?

  13. Sejauh mana berusaha mengamalkan al-Quran?

Bersama kita renungkan...

Filem Fitna : Memutar belitkan Islam

Peguam Syarie Menulis : Penerbit Fitna putar belitkan ayat al-Quran

Oleh Nurhidayah Muhd Hashim

PENYIARAN filem pendek Fitna yang menunjukkan bahawa Islam adalah agama keganasan dan mengajar keganasan dibantah seluruh umat Islam di dunia. Hasil kerja seorang ahli parlimen Belanda, Gert Wilders atas nama kebebasan bersuara membawa satu agenda jahat memburukkan Islam dan menimbulkan keresahan dalam perhubungan antara agama.

Bagi yang prihatin, keharmonian antara penganut agama adalah suatu yang suci dan perlu dijaga. Justeru, umat Islam di beberapa negara menunjukkan bantahan terhadap penyiaran itu dengan pelbagai cara menzahirkan penentangan serta rasa tidak setuju terhadap penyiaran filem pendek itu.

Kita tidak menghalang kebebasan bersuara tetapi kita menentang penyalahgunaan kebebasan itu sehingga memburukkan agama lain termasuklah Islam. Sesetengah negara Islam menunjukkan bantahan terhadap kebiadaban itu dengan tindakan memboikot barang dihasilkan dari Belanda.

Kita bersetuju dengan pemboikotan, semoga ia memberi kesan halus kepada mana-mana pihak bahawa keharmonian antara agama di seluruh dunia perlu dipertahankan.

Usaha memburukkan Islam dengan memetik beberapa ayat al-Quran yang memerintahkan umat Islam mempertahankan diri apabila diperangi dijadikan dasar bahawa Islam menyuruh penganutnya berlaku ganas.

Ia akhirnya boleh membawa kepada perasaan takut orang bukan Islam terhadap Islam dan merebak sehingga menghasilkan perasaan benci pula kepada umat Islam.

Jika diperhatikan, bermula dengan peristiwa 11 September 2001 iaitu serangan ke atas Pusat Perdagangan Dunia (WTC) di New York sehinggalah pengeboman 7 Julai 2005 di London, kemudian di Mesir, Turki, diikuti beberapa insiden di seluruh dunia, meninggalkan titik hitam kepada sejarah tamadun moden manusia.

Simptom 'Islam-phobia' atau ketakutan kepada Islam dan umatnya disebarkan dan Muslim terus dipersalahkan serta terus dikaitkan dengan keganasan yang berlaku. Penyiaran filem pendek Fitna adalah kesinambungan menyalahkan umat Islam atas keganasan yang berlaku dan dasar analisis mereka adalah Islam mengajar umatnya berbuat begitu.

Selama bertahun lamanya, media Barat menunjukkan imej negatif mengenai orang Islam sebagai pengganas dan masyarakat belum bertamadun. Bahkan, atas alasan menangani keganasan jugalah Amerika masuk dan menyerang Afghanistan serta Iraq.

Adakah benar Islam mengajar keganasan? Apakah benar umat Islam orang yang keras dan ganas kerana agama mendidiknya begitu? Apakah Islam mengamalkan sikap tertutup sehinggakan umatnya tidak boleh duduk semeja untuk berbincang atau berdialog dengan lain-lain agama?

Islam adalah agama mengajak kepada perdamaian dan hidup secara harmoni. Bukan saja kepada sesama pengikutnya bahkan seluruh makhluk yang wujud di alam ini. Perkataan Islam itu sendiri datangnya daripada kalimah 'salama' yang bermaksud aman, sejahtera, patuh dan penyerahan diri.

Perasaan toleransi sesama manusia juga menjadi tumpuan penting dalam ajaran Islam. Islam tidak menganjurkan keganasan dan tidak mengajar umatnya membenci penganut agama lain sebagaimana digambarkan media barat dan filem Fitna itu.

Bahkan, umat Islam diminta untuk berurusan secara harmoni dengan bukan Islam dan melayani mereka dengan baik. Islam turut menyentuh umatnya beramal dengan sifat lemah lembut, berbincang dan berdialog dengan baik, waras dan tersusun. Islam turut menekankan konsep persaudaraan dan ukhuwah yang baik.

Allah sendiri bersifat dengan sifat mutlak yang Maha Pengampun, Maha Pemurah dan Maha Mengasihani terhadap hamba-Nya. Allah tidak menyuruh umat Islam melakukan keganasan, begitu juga al-Quran mengajar setiap kita mempunyai maruah, harga diri dan kesabaran kita juga ada tahapnya. Apabila agama dan maruah umat Islam dicerobohi dan diperangi, kita berhak mempertahankan diri.

Apakah mungkin apabila harta benda kita dirompak, kita hanya berdiam diri dan melihat saja? Apakah mungkin apabila anak perempuan kita dirogol, kita melihatnya dengan pandangan sayu tanpa bangun mempertahankan hak?

Adalah suatu yang tabii bagi insan untuk bertindak apabila hak dan harga dirinya dicabuli. Dalam hal ini, apabila Islam diperangi, maruah agama dicemari, maka Islam meletakkan peruntukan bahawa umat Islam boleh bangun bertindak apabila agama dan maruah diri dicabul.

Namun begitu, kita dilarang mengikut emosi membabi buta dan melampaui batasan. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan perangilah mereka yang memerangi kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Kerana Allah menyukai orang yang tidak melampaui batas." - (Surah al-Baqarah, ayat 190)

Ini menunjukkan ayat al-Quran yang dipetik dalam filem Fitna sebenarnya menyentuh mengenai peruntukan mempertahankan diri selepas kita diperangi. Penerbit filem itu silap kerana menjadikan ayat ini sebagai dasar hujahnya bahawa Islam sebenarnya menggalakkan umatnya memerangi dan melakukan keganasan.

Jika dirujuk kepada sejarah silam, Rasulullah SAW menekankan konsep bermaafan, lemah lembut, menjaga akhlak dan tingkah laku hatta ketika berada di medan perang. Apabila Baginda SAW menghantar tentera mempertahankan maruah agama, Rasulullah SAW berpesan yang bermaksud: "Janganlah kamu membunuh orang tua yang uzur dan jangan kamu membunuh kanak-kanak kecil dan wanita dan janganlah melampaui batas. Kumpulkanlah harta perang, buatlah kebaikan, berlaku ihsanlah sesungguhnya Allah mencintai orang yang berbuat ihsan." - (Hadis riwayat Abu Daud)

Islam adalah ajaran yang positif, bersifat terbuka dan menggalakkan perdamaian serta kemaafan. Keterbukaan Islam ditunjukkan apabila Islam bukan saja menganggap semua Muslim sebagai saudara, bahkan Islam turut bersedia menerima orang bukan Islam yang tidak membenci dan memerangi Islam sebagai umat yang satu dan hidup bersama secara harmoni.

Islam juga melarang sama sekali umatnya memburukkan agama lain dan menghina tuhan agama lain kerana ia boleh membawa tindakan balas sehingga Allah pula dihina oleh penganut agama lain. Islam tidak pernah mengajar umatnya menghina Jesus yang dimuliakan orang Kristian, begitu juga Islam tidak pernah menyuruh umatnya menghina Gautama Buddha, menghina mana-mana agama tetapi mengajak perbincangan ke arah keharmonian hidup sesama insan.

Apa yang diketengahkan adalah perbincangan, dialog perbandingan agama dengan mengemukakan hujah dan keterangan mengenai kebenaran Islam tanpa menghina mana-mana agama.

Oleh itu, adalah silap mana-mana pihak menganggap Islam ajaran mengajak kepada keganasan dan kekerasan, sedangkan Islam menganjurkan perdamaian, ketulusan hati, kemaafan, toleransi dan lemah lembut dalam melayani sesama manusia.

Sumber : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Agama/20080408232920/Article/index_html