Friday, August 21, 2009

Ahlan wa Sahlan ya Ramadhan

Alhamdulillah, bersyukurlah kerana bertemu Ramadhan kembali. Ini nikmat dan rahmat yang tidak diberikan oleh Allah s.w.t. kepada yang pergi tak kembali lagi. Berusahalah beribadah dengan sebaik-baiknya ibarat peluang bertemu Ramadhan kali yang terakhir. Rebutlah peluang meraih bonus Ramadhan yang disediakan dan kesempatan ketika syaitan dibelenggu. Sabda Nabi s.a.w. :

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila tiba Ramadhan, maka pintu rahmat akan dibuka, pintu neraka Jahannam akan ditutup, dan syaitan akan ditambat”

"Ramadhan disemai, Taqwa dituai"

Monday, August 17, 2009

Pergi Tidak Kembali

Sabda Nabi s.a.w. :
Orang cerdik ialah orang yang banyak mengingati mati :"Secerdik-cerdik manusia ialah yang terbanyak ingatannya kepada kematian serta yang terbanyak persiapannya uantuk menghadapi kematian itu. Mereka itulah orang-orang yang benar-benar cerdik dan mereka akan pergi ke alam baka dengan membawa kemuliaan dunia dan akhirat."

(Riwayat Ibnu Majah dan Abiddunya)

Kata Imam al-Ghazali:
“Mengingati kematian itu menghasilkan kemanisan iman sekali gus menguatkan rasa bertuhan dan dekat kepada Allah.”


Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim (Vokalis Nasyid Kumpulan Rabbani). Semoga bersabar di atas pemergian abadi ahli keluarga yang disayangi. Bersama doakan kesejahteraan dan kebahagiaan Allahyarham di alam abadi yang pasti kita tempuhi.

Thursday, August 13, 2009

Amalan Bulan Rejab & Sya'ban

Menjadi kecelaruan dikalangan masyarakat Islam di Malaysia berkaitan amalan-amalan sunat yang dilakukan di bulan Rejab dan Sya'ban. Sewajarnya perkara ini diselesaikan dengan baik supaya tidak menimbulkan masalah tuduhan bid'ah di kalangan orang awam.

Boleh diibaratkan amalan-amalan sunat yang digalakkan di bulan Rejab dan Sya'ban mempunyai peranan tersendiri sebagai kelas persediaan atau bengkel permulaan untuk memasuki madrasah Ramadhan. Begitu juga amalan yang dilakukan di malam Nisfu Sya'ban yang baru kita tempuhi adalah latihan awal supaya menghargai dan tidak melepaskan peluang menghidupkan malam-malam di bulan ramadhan kelak dengan qiam dan munajat.

Amalan-amalan yang dilakukan sepanjang bulan Rejab dan Sya'ban adalah baik, mendatangkan pahala dan tidak bercanggah dengan Islam. Maka sewajarnya diteruskan dan digalakkan kepada seluruh umat Islam untuk melakukannya.

Memang amalan-amalan tersebut tidak dilakukan secara khusus oleh Nabi s.a.w. Tetapi tidak beerti amalan tersebut berdosa dilakukan dan ditolak mentah-mentah. Boleh saja amalan tersebut dilakukan dengan harapan diganjarkan pahala oleh Allah s.w.t. dan tidak menyandarkan amalan tersebut pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w. secara khusus.
1. Berdoa

Suatu amalan yang baik diamalkan apabila tiba bulan rejab dan sya'ban, adalah digalakkan berdoa sebanyak mungkin seperti berikut :

اللهم بارك لنا فى رجب وشعبان وبلغنا رمضان

"Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab, Sya'ban dan sampaikanlah (panjangkanlah umur) kami ke bulan Ramadhan".

2. Puasa Rejab

Hukum berpuasa di bulan Rejab sama seperti berpuasa di bulan-bulan yang lain iaitu tidak ada larangan dan tidak ada galakan secara khusus. Secara asas, berpuasa memang digalakkan pada setiap bulan dan terdapat juga hadis yang mensunatkan kita berpuasa di bulan-bulan Haram di mana bulan Rejab tergolong di dalamnya.

Said bin Jubair r.a. (seorang Tabi’iin) pernah ditanya berkenaan puasa Rejab. Beliau menjawab; Aku telah mendengar Ibnu ‘Abbas r.a. berkata; “Adalah Rasulullah s.a.w. kadang-kadang terus-menerus berpuasa hingga kami menganggap beliau tidak berbuka langsung, dan kadang-kadang beliau terus-menerus berbuka hingga kami menganggap beliau tidak berpuasa langsung” (Riwayat Imam Muslim).

3. Puasa Sya'ban

Hukum berpuasa keseluruhan hari di bulan Sya’ban atau kebanyakan harinya adalah sunat. Ini berdasarkan hadith berikut :

Dari Ummu Salamah r.ha. yang menceritakan; “Tidak pernah Nabi s.a.w. berpuasa (sunat) sebulan penuh dalam setahun kecuali di bulan Sya’ban di mana baginda menyambungnya dengan Ramadhan”
(HR Imam Abu Daud dan an-Nasai).

‘Aisyah r.ha. pula menceritakan; “Rasulullah s.a.w. kadang-kadang terus-menerus berpuasa hingga kami menganggap beliau tidak berbuka langsung, dan kadang-kadang beliau terus-menerus berbuka hingga kami menganggap beliau tidak berpuasa langsung. Namun demikian, aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan, dan aku tidak pernah melihat beliau paling banyak berpuasa sebagaimana beliau berpuasa di bulan Sya’ban”.
(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

4. Hikmah Puasa Bulan Sya'ban

Seorang sahabat bernama Usamah bin Zaid r.a. pernah bertanya Nabi s.a.w. kenapa beliau banyak berpuasa di bulan Sya’ban? Nabi s.a.w. menjawab; “Bulan Sya’ban itu adalah bulan yang selalu dilupai oleh manusia di mana kedudukannya di tengah antara Rejab dan Ramadhan. Namun ia adalah bulan diangkat amalan-amalan hamba kepada Tuhan Pencipta Alam. Maka aku menyukai amalanku diangkat ketika aku berpuasa” (Riwayat Imam an-Nasai. Hadis menurut Syeikh al-Albani adalah hasan).

5. Amalan Malam Nisfu Sya'ban

Tiada amalan khusus dari Nabi s.a.w. yang ditinggalkan kepada umatnya pada malam tersebut. Namun melakukan amalan membaca surah Yaasin sebanyak 3 kali adalah pilihan sendiri dengan tidak menyandarkan bahawa Nabi s.a.w. pernah melakukan amalan tersebut.

Kenapa perlu ditentang golongan yang buat kebaikan dengan membaca surah Yaasin pada malam tersebut? Sedangkan amalan tersebut baik dan tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Bahkan ada hadith Nabi s.a.w. menjelaskan sesiapa yang membaca satu huruf dari al-quran, maka 10 kebajikan bagi dirinya.

Bagi penulis, beramallah selagi terdaya buat bekalan di akhirat nanti. Hidup beribadah adalah misi utama seorang hamba yang bergelar manusia di atas bumi ini.

Wallahu 'Alam.

Wednesday, August 12, 2009

DOA HINDARI WABAK H1N1

KALI terakhir dunia diserang wabak pandemik influenza A ialah dalam tahun 1918. Wabak yang melanda selama lebih kurang dua tahun itu dikenali sebagai Spanish Flu telah menyebabkan kematian lebih 50 juta manusia di seluruh dunia.

Kini wabak daripada virus yang sama iaitu H1N1 daripada jenis influenza A kembali menjadi pandemik yang membimbangkan penduduk dunia.

Sebagai muslim, kita wajib percaya penyakit datang dari Allah, maka penawarnya juga dari Allah s.w.t. yang maha penyembuh. Justeru itu, sandarkan harapan dan perlindungan kepada-Nya.

Doa hindari dari sebarang wabak penyakit dan balak bencana :

بِسْمِ اللهِ الَّذِيْ لاَ يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي اْلأَرْضِ وَلاَ فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ

"Dengan nama Allah yang tiada sesuatu yang memudarat di bumi dan tiada juga di langit. Dia maha mendengar lagi maha mengetahui".

Doa untuk keselamatan daripada segala penyakit :
Klik untuk paparan.

Virus Influenza A H1N1