Sunday, January 18, 2009

DOA UNTUK PALESTIN

Ya Allah, bantulah penduduk bumi Palestin...
Mereka telah dizalimi para rejim Yahudi yang rakus...

Ya Allah, bantulah seluruh umat Islam di Palestin...
Menangkanlah umat Islam ke atas golongan Yadudi...

Ya Allah, doa & harapan kami panjatkan hanya kepadaMu...

WANITA : AKAL SENIPIS RAMBUTNYA

Jangankan lelaki biasa,nabi pun terasa sunyi tanpa wanita.
Tanpa mereka, fikiran dan perasaan lelaki akan resah.
Masih mencari walau ada segalanya.
Apa yang tiada dalam syurga?
Namun adam tetap rindukan hawa.

Dijadikan wanita daripada tulang rusuk yang bengkok.
Untuk diluruskan oleh lelaki.
Tetapi seandainya lelaki itu sendiri tidak lurus,
Mana mungkin kayu yang bengkok menghasilkan bayang yang lurus.

Luruskanlah wanita dengan jalan yang ditunjuk oleh Allah,
Kerana mereka diciptakan sebegitu rupa oleh Allah.
Didiklah mereka dengan panduan darinya.
Jangan cuba menjinakkan mereka dengan harta, kerana nantinya mereka semakin liar.
Janganlah hiburkan mereka dengan kecantikan, kerana nantinya mereka akan semakin derita.
Kenalkan mereka kepada Allah, zat yang kekal. Di situlah punca kekuatan dunia.

Akal senipis rambutnya, tebalkanlah ia dengan ilmu.
Hati serapuh kaca, kuatkanlah ia dengan iman...
Perasaan selembut sutera, hiasilah ia dengan akhlak.

Suburkanlah ia kerana dari situlah nantinya...
Mereka akan lihat nilaian dan keadilan Rab...
Bisikkan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan suatu kelemahan..
Ia bukan diskriminasi Allah...sebaliknya di situlah kasih dan sayang Allah...

Wanita yang lupa hakikat kejadiannya...
Pasti tidak akan terhibur, dan tidak akan menghiburkan...
Tanpa iman, ilmu dan akhlak..mereka tidak akan lurus...
Bahkan akan semakin membengkok...
Itulah hakikatnya andai wanita tidak kenal Rabbnya...

Bila wanita menjadi derhaka...pasti dunia lelaki akan menjadi huru hara....
Lelaki pula janganlah mengharapkan ketaatan semata-mata...
Tapi binalah kepimpinan...
Pastikan sebelum wanita menuju ilahi, pimpinlah diri kepadanya...
Jinakkan diri kepada allah...
Nescaya akan jinaklah segala-galanya di bawah pimpinanmu...
Janganlah mengharapkan isteri semulia Fatimah Az-Zahra'
Seandainya dirimu tidak sehebat saidina Ali karamallahuwajhah

Wallahua'lam..

Wednesday, January 14, 2009

Ketabahan Siti Hajar

Dalam bahang terik mentari, di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang, Nabi Ibrahim a.s. terus menunggang unta bersama Siti Hajar. Walaupun perjalanan agak sukar, namun hal itu tidak memberi kesan kepada mereka. Yang lebih diharapkannya ialah ketabahan hati untuk meninggalkan Siti Hajar dan bayinya di bumi gersang itu.

Sepanjang perjalanan, dikuatkan hatinya untuk terus bertawakal. Dia yakin, Allah tidak akan menganiaya hamba-hamba-Nya. Pasti ada hikmah di sebalik perintah itu.Setelah lebih kurang 6 bulan perjalanan, tibalah mereka di Makkah. Nabi Ibrahim memilih salah sebuah lembah di tengah-tengah padang pasir. Nabi Ibrahim a.s. turun dari untanya dan mengikat tali unta di sebatang pokok tamar.

Bahang sinaran matahari bukan kepalang. Tekaknya yang dari tadi kehausan, sedikitpun tidak diendahkannya. Yang difikirkannya, bagaimanakah cara memberitahu isterinya tentang perintah Allah SWT itu. Sepanjang perjalanan tadi lidahnya seolah-olah kelu untuk berkata-kata. Setelah Siti Hajar diturunkan, tanpa berlengah lagi Nabi Ibrahim a.s. bersiap sedia untuk pergi.

Apabila Siti Hajar melihat perlakuan suaminya, yang bergegas-gegas mahu pergi, ditariknya jubah suaminya sambil merayu-rayu : "Wahai suamiku, apakah aku akan ditinggalkan bersama anakmu di sini?" Tanpa memandang wajah isterinya yang dicintainya, Nabi Ibrahim a.s. hanya mampu menganggukkan kepala. "Oh... kiranya kerana dosaku menyebabkan engkau bertindak begini, ampunkanlah aku. Aku tak sanggup ditinggalkan di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang ini." ""Tidak wahai isteriku, bukan kerana dosamu..." "Kalau bukan kerana dosaku, bagaimana dengan anak ini... Anak ini tidak tahu apa-apa. Tergamakkah engkau meninggalkannya?" Hati Nabi Ibrahim a.s bagai disayat-sayat. Pilu dan pedih hatinya, hanya Allah s.w.t. yang tahu. "Tidak, bukan itu maksudku. Tapi apa dayaku... ketahuilah, ini semua adalah perintah Allah s.w.t."

Bila disebut ia perintah Allah s.w.t., Siti Hajar terdiam. Kelu lidahnya untuk terus merayu. Terbayang olehnya penderitaan yang bakal dihadapi sendirian nanti. Dia yakin kalau tidak kerana perintah Allah SWT, masakan sanggup suaminya meninggalkan dia serta anaknya di situ. Dia sedaya upaya menguatkan pergantungan dan pertolongan kepada Allah s.w.t. Namun hatinya masih tertanya-tanya, apakah hikmah di sebalik perintah Allah s.w.t. itu? Sewaktu gelodak hatinya semakin memuncak, dengan rahmat Allah s.w.t, disingkapkan penglihatan Siti Hajar ke suatu masa akan datang. Digambarkan tempat itu nantinya akan didatangi oleh manusia dari serata pelusuk dunia, yang berduyun-duyun datang untuk membesarkan Allah s.w.t.

Melihat peristiwa itu, terpujuklah hatinya. Cinta dengan ALlah, dengan menegakkan agama-Nya, perlukan pengorbanan... Lalu dengan hati yang berat tetapi penuh keyakinan, Siti Hajar berkata kepada suaminya : "Jika benar ia adalah perintah Allah SWT, tinggalkanlah kami di sini. Aku redha ditinggalkan" suara Siti Hajar mantap sambil mengesat air matanya yang berlinangan. Ditabahkan hatinya dengan berkata : "Tentang keselamatan kami, serahkanlah urusan itu kepada Allah SWT. Pasti Dia akan membela kami. Masakan Dia menganiaya kami yang lemah ini."

Siti Hajar menggenggam tangan suaminya. Kemudian dikucupnya, minta redha di atas segala perbuatannya selama mereka bersama. "Cuma...," katanya lagi, "doakanlah agar datang pembelaan Allah SWT kepada kami." Nabi Ibrahim a.s sangat terharu dan bersyukur. Isterinya Siti Hajar memang wanita terpilih. Dia segera mengangkat tangannya untuk berdoa :"Ya Tuhan kami, aku tinggalkan anak dan isteriku di padang pasir yang tandus tanpa pohon berkayu dan buah-buahan. Ya Tuhan kami, teguhkanlah hati mereka dengan mendirikan sembahyang, jadikanlah hati manusia tertarik kepada mereka, kurniakanlah rezeki pada mereka dari buah-buahan mudah-mudahan mereka bersyukur kepada-Mu.”

Menitis airmatanya mendoakan keselamatan anak dan isteri yang dicintai. Hati suami mana yang sanggup meninggalkan anak dan isteri di padang pasir tandus yang sejauh enam bulan perjalanan dari tempat tinggalnya. Namun atas keyakinan yang padu pada janji Allah SWT, ditunaikan juga perintah Allah SWT walaupun risiko yang bakal dihadapi adalah besar. Selesai berdoa, tanpa menoleh ke arah isteri dan anaknya, Nabi Ibrahim a.s terus meninggalkan tempat itu dengan menyerahkan mereka terus kepada Allah SWT.

Tinggallah Siti Hajar bersama anaknya yang masih merah di dalam pelukannya. Diiringi pemergian suaminya dengan linangan air mata dan syukur. Ditabahkan hati untuk menerima segala kemungkinan yang akan berlaku. Tidak lama selepas pemergian Nabi Ibrahim a.s, bekalan makanan dan minuman pun habis. Air susunya juga telah kering sama sekali. Anaknya Ismail a.s menangis kehausan.

Siti Hajar hampir buntu. Di mana hendak diusahakannya air di tengah padang pasir yang kering kontang itu?Sedang dia mencari-cari sumber air, dilihatnya dari jauh seperti ada air bertakung. Dia berlari ke arah sumber air itu. Tetapi apa yang dilihatnya hanyalah fatamorgana. Namun SIti Hajar tidak berputus asa. Dari tempat lain dia ternampak seolah-olah di tempat di mana anaknya diletakkan memancar sumber mata air. Diapun segera berlari ke arah anaknya. Tetapi sungguh malang, yang dilihatnya adalah fatamorgana. Tanpa disedari dia telah berulang-alik sebanyak tujuh kali antara dua bukit, Safa dan Marwa untuk mencari sumber air.

Walaupun tubuhnya telah keletihan berlari ke sana ke mari mencari sumber air, namun tiada tanda-tanda dia akan mendapat air. Sedangkan anak yang telah kehausan itu terus menangis sambil menghentak-hentakkan kakinya ke bumi.

Tiba-tiba dengan rahmat Allah SWT, sedang Siti Hajar mencari-cari air, terpancutlah air dari dalam bumi di hujung kaki anaknya Ismail a.s. Waktu itu gembiranya hati Siti Hajar bukan kepalang. Dia pun mengambil air itu dan terkeluar dari mulutnya, "Zami, zami, zami.." yang bermaksud, berkumpullah, kumpullah. Seolah-olah dia berkata kepada air itu, "Berkumpullah untuk anakku."

Selepas peristiwa itu, kabilah-kabilah yang berlalu akan berhenti untuk mengambil air. Ada pula yang terus bermastautin di lembah Bakkah (Mekah) kerana dekat dengan sumber air itu. Begitulah kehendak Allah SWT. Sengaja didatangkan sebab musabab untuk menjadikan Islam gemilang dan Mekah menjadi tumpuan manusia untuk berdatangan.Ya, Siti Hajar, seorang wanita solehah yang merupakan isteri Nabi yang paling dicintai ALlah SWT, adalah perintis kepada semua peristiwa itu, hingga Makkah sekarang menjadi tempat yang paling diberkati dan aman.

Kejujuran Saidina Ali Pikat Musuh Peluk Islam

Pemilikan harus diserahkan kepada yang berhak meskipun dia musuh. Ketika menjadi khalifah, Ali r.a. menemukan baju besi (baju perang) miliknya di tangan seorang Nasrani, tetapi orang Nasrani itu tidak mengakuinya.

Selaku rakyat, Ali mengadukan hal itu kepada ketua pengadilan. Pada waktu persidangan, dia dipanggil si hakim dengan panggilan Amirul Mukminin. Ali tidak senang mendengar panggilan ini. Dia menolak panggilan itu kerana pada waktu persidangan kedudukannya sebagai pendakwa sama seperti yang didakwa. Dia menyedari persamaan kedudukan antara pendakwa dan tertuduh di hadapan hakim adalah suatu langkah menuju keadilan.

Ali r.a. mendakwa orang Nasrani dengan mengatakan bahawa baju besi itu miliknya dan dia tidak pernah memberinya atau menjualnya kepada sesiapa.

Hakim Syuraih bertanya kepada tertuduh. Apa jawapanmu terhadap dakwaan itu? Orang Nasrani itu menjawab, baju besi ini milikku dan bagiku Amirul Mukmimin pembohong?

Hakim Syuraih bertanya kepada Ali r.a.? Apakah anda punya bukti? Ali tersenyum dan berkata tidak mempunyai bukti. Oleh sebab Ali tidak memiliki bukti maka sidang pengadilan memutuskan baju besi berkenaan milik orang Nasrani itu.

Selepas persidangan selesai, orang Nasrani kembali bertemu Ali r.a. Dia berkata, aku bersaksi bahawa ini adalah pengadilan para nabi. Amirul Mukmimin menuntut aku melalui hakimnya dan mengalahkannya. Sejak saat ini saya bersyahadat tidak ada Tuhan kecuali Allah dan bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya.

Baju besi itu milikmu, ya Amirul Mukmin. Aku mengambil baju besi ini daripada untamu yang kelabu ketika engkau dan pasukanmu hendak berangkat ke Shifin. Ali kemudian berkata, kerana kamu masuk Islam maka baju ini untukmu.