Wednesday, November 18, 2009

Tafsir Surah al-Falaq

Titipan perkongsian dari kuliah yang telah saya sampaikan.

Kuliyah Tafsir
13 November 2009
8:30am - 9:30am
Pejabat Bendahari UiTM Johor Bahru.


Terjemahan

  1. Katakanlah (wahai Muhammad), aku mohon perlindungan Tuhan waktu subuh
  2. dari kejahatan makhluk (ciptaan) Nya
  3. dari bencana malam apabila gelap gelita
  4. dari kejahatan wanita tukang sihir yang menghembus pada simpulan tali
  5. dari bencana pendengki apabila hasad.
Nama Surah

Surah ini dinamakan al-Falaq kerana dihujung ayat pertama disebut perkataan al-Falaq (waktu subuh). Secara bahasa al-Falaq membawa maksud berpecah atau bercerai, sebagai contoh hujan dari awan mendung atau anak dari rahim.

Sebab Turun Surah (Asbab al-Nuzul)

Surah ini diturunkan berikutan sihir yang dilakukan oleh seorang Yahudi bernama Labid bin al-'Asom terhadap Nabi Muhammad s.a.w. Peristiwa ini telah diriwayatkan di dalam hadis sahih Bukhari dan Muslim daripada 'Aisyah r.ha.

Kelebihan Surah

Surah ini mempunyai kelebihan tersendiri sehingga digelar sebagai surah al-muawwizat (mohon perlindungan). Terdapat pelbagai hadis menceritakan kelebihan surah ini antaranya ialah :

a) Dari Uqbah bin Amir katanya : Rasulullah s.a.w. telah menyarankan kepadaku agar membaca setiap lepas solat tiga surat al-muawwizat (al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas).

b) Dari Abdullah bin 'Aabis al-Juhani bahawa Nabi s.a.w. bersabda kepadanya : Wahai 'Aabis! mahukah engkau aku tunjukkan atau mahukah aku ceritakan kepadamu tentang sebaik-baik pendinding bagi sesiapa yang inginkan ayat pendinding? Jawabnya : Tentu ya Rasulullah. Baginda bersabda : Surah al-Falaq dan al-Nas. Dua surah inilah.

c) Dari 'Aisyah bahawa Rasulullah apabila demam dan sakit, baginda membacakan untuk dirinya dua surah pelindung ini dan kemudian baginda menghembuskannya (di tempat yang sakit). Apabila kesakitannya semakin teruk, akulah ('Aisyah) yang tolong membaca untuknya dan menyapukannya ke jasad baginda kerana mengharapkan kenerkatannya.

Tafsiran

Surah ini dimulakan dengan permohonan perlindungan dari Tuhan (pentadbir) waktu subuh kerana malam telah berpisah darinya atau perlindungan dari makhluk ciptaanNya.

Setelah itu, Allah s.w.t. menyebut secara khusus tiga golongan sebagai peringatan bahawa ia merupakan kejahatan yang amat berbahaya dan amat penting untuk diminta perlindungan dari kejahatannya, iaitu:

a) dari kegelapan malam

Kebiasaannya pada waktu malam akan berlaku keburukan. Perbuatan sihir, kecurian, pembunuhan, kebakaran dan sebagainya biasanya berlaku pada waktu malam. Rasulullah juga menyarankan apabila keluar pada waktu malam perlu berteman dan apabila hari menjelang malam perlu masuk ke dalam rumah untuk mengelakkan gangguan syaitan.

b) dari tukang sihir

Berdasarkan ayat keempat merujuk kepada anak perempuan kepada Labid bin al-'Asom yang membantu untuk menyihir Rasulullah s.a.w. Perbuatan sihir adalah perkara syirik kerana menyekutukan Allah s.w.t. dengan makhluk.

c) dari pendengki

Sifat dengki adalah sifat mazmumah iaitu cuba menjatuhkan seseorang. Perasaan ini adalah dosa pertama yang berlaku di langit (Iblis dengki kepada Adam a.s.) dan juga di dunia (Qabil dengki pada Habil).

Wallahu 'Alam

Sumber Rujukan :
1- Tafsir al-Munir - Dr. Wahbah al-Zuhayli
2- Tafsir al-Quran al-'Azim - Ibn Kathir

1 comment:

Nur Shahirah said...

assalammualaikum ustaz...

terima kasih di atas tazkirah yang ustaz berikan....

semoga Allah sentiasa merahmati ustaz dan keluarga...

amiiinnn,....