Tuesday, November 24, 2009

Titipan perkongsian dari kuliah yang telah saya sampaikan.

Kuliyah Fiqh
24 November 2009
8:30am - 9:30am
Surau al-Hidayah UiTM Johor Bahru.

Amalan sunat di bulan Zulhijjah
  1. Puasa sunat pada 1 sehingga 9 Zulhijjah.
  2. Perbanyakkan zikir (tasbih, tahmid, takbir & tahlil)
  3. Melakukan ibadah korban
  4. Disunatkan orang yang berkorban menyembelih binatang korbannya sendiri. Sekiranya tiada kemahiran untuk menyembelih, maka memadai melihat ketika binatang korban disembelih sahaja.
  5. Disunatkan tidak memotong kuku atau rambut sehingga tiba hari korban bagi yang ingin melakukan ibadah korban. Walaubagaimanapun, jika kuku dan rambut yang tidak dipotong mengganggu urusan seharian seperti terlalu kotor atau mudarat, maka boleh dipotong.
Persoalan berkaitan ibadah korban

1. Bolehkah niat korban untuk diri sendiri & keluarga sekali?

Harus niat korban untuk diri sendiri dan keluarga atau orang lain. Namun sekiranya mampu dari sudut kewangan, maka digalakkan melakukan secara asing atau bersendirian. Keharusan ini bersandarkan kepada hadis baginda s.a.w. berikut :

Nabi s.a.w. menyembelih korban dengan dua ekor kambing biri-biri dan baginda berkata : Ya Allah terimalah korban ini dari Muhammad serta ahli keluarga Muhammad.
(Riwayat Muslim)

2. Jika niat korban untuk diri & keluarga, nama siapa perlu diberi ketika menyembelih?

Memadai memberi nama wakil sahaja, kerana pahala korban bagi yang lain akan diperolehi berdasarkan niat. Sebaik-baik niat korban adalah ketika binatang korban disembelih seperti lafaz tersebut :

"Dengan nama Allah, Ya Allah terimalah korban ini dari _________ serta ahli keluarga __________." (sebutkan nama diruang kosong)

3. Siapakah yang dituntut berkorban?

Syarat sah korban adalah seperti berikut :
- Islam'
- Baligh
- Berakal
- Berkemampuan

4. Apakah Syarat binatang korban?

a) Umur

- Unta : Memasuki tahun keenam
- Lembu : Memasuki tahun ketiga
- Kambing biri-biri : Memasuki tahun kedua

b) Selamat (tidak cacat)

Rasulullah s.a.w. bersabda : Empat perkara yang menyebabkan binatang korban tidak memadai (tidak sah) untuk dikorbankan; yang jelas buta sebelah mata, yang jelas sakit, yang jelas tempang dab yang terlalu kurus hingga tidak berotak.

5. Bilakah waktu korban?
  • Pada hari raya korban bersamaan 10 Zulhijjah. Waktunya bermula selepas terbit matahari hari raya koban sekadar sempat ditunaikan dua rakaat solat dan dua khutbah.
  • Pada hari tasyriq bersamaan 11, 12, 13 Zulhijjah.
6. Bagaimana mengagihkan daging korban?
  • Sekiranya korban itu wajib, samada dengan nazar atau ditentukan, maka tidak boleh bagi orang yang melakukan korban dan orang yang dibawah tanggungannya memakan daging korban tersebut. Sekiranya ada yang memakan sedikit darinya, maka hendaklah diganti dengan daging lain atau dibayar dengan nilaian (sekadar daging yang dimakan).
  • Sekiranya korban itu sunat, maka cara pembahagian adalah seperti berikut :
- 1/3 dimakan oleh orang yang melakukan koban
- 1/3 disedekahkan kepada fakir miskin
- 1/3 dihadiahkan kepada sahabat, jiran
(orang yang kaya/berkemampuan)


7. Bolehkah daging korban dijual?
  • Bagi orang yang berkorban dan orang yang kaya tidak boleh menjual daging korban tersebut, hanya untuk dimakan sahaja.
  • Bagi orang fakir dan miskin boleh menjual atau memakan daging tersebut kerana pemberian daging korban untuk dimiliki.
8. Apa patut dibuat dengan kulit binatang korban tersebut?

Bagi orang yang berkorban, boleh sedekahkan kulit binatang korbannya atau dimanfaatkan untuk dirinya. Tetapi tidak boleh dijual atau diberi kepada tukang sembelih sebagai upah kepada penyembelihan. Ini kerana perbuatan tersebut boleh menyebabkan kekurangan pada binatang korban dan merosakkan ibadah korbannya.

Nabi s.a.w. bersabda : Sesiapa yang menjual kulit binatang korbannya, maka tidak ada korban baginya.

9. Apakah hukum memberi daging korban kepada non-muslim?

Para ulamak berbeza pendapat dalam perkara ini, sebahagian menyatakan haram, ada yang menyatakan makruh dan Mazhab Hanafi dan Hanbali mengatakan harus kerana ia bukan sedekah wajib. Walaubagaimanapun, sebaik-baiknya mendahulukan umat Islam.

10. Manakah yang lebih utama berkorban atau membayar hutang?

Membayar hutang adalah lebih utama dari korban. Tidak wajar mendahulukan korban yang hukumnya sunat dari melunaskan hutang yang hukumnya wajib. Namun, jika tempoh melunaskan hutang masih jauh dan cara pembayaran hutang secara terancang serta diyakini pendapatan akan datang mencukupi , maka ketika itu boleh melakukan korban.

11. Bolehkah melakukan korban dengan cara berhutang atau bayar secara ansuran?

Tidak boleh, kerana syarat melakukan korban mesti berkemampuan. (Lihat syarat korban di atas)

Wallahu 'Alam

Sumber Rujukan :

1- Kitab Fiqh Manhaji
2- Kitab al-Iqna'
3- Fiqh al-Islami wa Adillatuh

Azri bin Bhari
Larkin
6:54pm

No comments: