Friday, May 30, 2008

Keajaiban al-Quran atasi logik akal

Oleh IRFAN MOHAMAD

'Dalam keadaan marah, Umar al-Khattab menuju ke rumah adiknya. Dia mendengar dan mengamati dari luar rumah, kalimah dan ayat yang dialun begitu tersusun indah. Belum pernah didengari bait-bait seperti itu yang begitu memukau pendengaran, dengan maknanya yang mendalam membuat hati pasrah. Lalu bayu keinsafan mula menerjah, hatinya bersinar tersuluh hidayah'.

Keajaiban al-Quran bukan sahaja terkandung pada maknanya, malah ketelitian susun atur ayatnya mengalahkan pakar bahasa dan penyair yang masyhur pada zamannya. Pernah dicuba untuk ditandingi, namun tiada hasil sehingga kini.

Sejak dahulu lagi, ancaman untuk mengatasi keunggulan al-Quran telah muncul, namun tiada hasil yang ditemui selain kehampaan yang berterusan. Era modenisasi juga tidak terkecuali daripada cubaan anasir-anasir yang tidak pernah berputus asa untuk meragut keaslian dan menconteng kemurnian khazanah al-Quran. Percubaan demi percubaan untuk mengelirukan umat Islam dengan ayat-ayat dan surah-surah palsu tidak pernah padam.

Namun, al-Quran sebagai satu mukjizat maknawi dilindungi dengan penuh keajaiban. Pasti tiada versi palsu yang berlegar di pasaran selepas penerbitan tanpa gagal dikesan.

Dari segi sejarahnya, al-Quran yang merupakan lembaran-lembaran ayat, telah diwahyukan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW secara berperingkat-peringkat selama 23 tahun sejak Baginda mula dilantik menjadi rasul. Bermula dengan ayat dari surah al-Alaq, disusuli dengan ayat-ayat dari surah al-Muzzammil, yang menjadi watikah pelantikan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasulullah, al-Quran tetap sebagaimana wajahnya yang asal. Yang membezakannya mungkin dari segi penampilannya sahaja. Jika dahulu ia terkandung dalam dada para sahabat, ia kemudiannya ditulis di atas pelepah pohon kayu dan kulit kambing. Inisiatif pada zaman Saidina Uthman Ibni Affan yang telah menyatukannya dalam bentuk mashaf merupakan kesinambungan ke arah memastikan mesej dakwah sampai sehingga ke generasi akhir zaman.

Tiada satu pun karangan bahkan kitab-kitab Nabi terdahulu yang dapat mengekalkan bentuknya sebagaimana versi asal, seperti ajaibnya kalamullah, al-Quran.

Menghafal keseluruhan suatu buku yang mengandungi 30 bab, atau mungkin salah satu babnya sahaja adalah mustahil bagi kebanyakan manusia. Apatah lagi untuk mencari sebilangan manusia dari pelosok benua yang berlainan, yang mampu menghafal lebih daripada 6,000 ayat yang kebanyakannya adalah dalam bukan bahasa ibunda mereka, dalam keadaan tiada berbeza antara versi seorang dengan seorang yang lain walau sedikit pun.

Logik akalnya memang begitu, namun keajaiban al-Quran membuktikan bahawa ia mampu berada dalam kotak ingatan manusia, tanpa mengira batas usia, warna kulit, merentasi sempadan bangsa dan budaya.

Keajaiban kandungannya juga tidak mampu dinafikan oleh siapa jua daripada golongan manusia yang berakal. Kemampuannya melakar dengan jelas peristiwa sejarah, menukil dengan terperinci peristiwa semasa dan membentangkan agenda yang akan berlaku pada masa hadapan cukup menakjubkan. Perjalanan hidup manusia, atau lebih tepat lagi setiap makhluk seisi alam telah diceritakan satu persatu dengan jelas bermula sejak zaman sebelum penciptaan Nabi Adam lagi sehinggalah ke destinasi terakhir pada alam yang muktamad iaitu syurga dan neraka.

Peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekitar kehidupan kita sudah cukup menyediakan dalil aqli yang membuktikan kebenaran ayat-ayat al-Quran. Mempelajari kisah-kisah sejarah di dalam al-Quran bukan sahaja akan memberikan kita gambaran mutiara teladan daripada sirah para Nabi yang terdahulu bahkan melakarkan dengan jelas apakah akibat yang menimpa golongan kafir dan musyrikin jika menentang perintah Ilahi. Kisah Nabi Musa yang bermusafir sambil belajar daripada Nabi Khidir menukilkan adab-adab ketika berguru, yang kebanyakannya amat praktikal jika diamalkan dalam kehidupan semasa. Contohnya, kita sewajarnya memberi perhatian yang penuh sewaktu belajar, bertanya guru pada masa yang sesuai, menilai sesuatu bukan pada zahirnya sahaja, tidak mudah jemu dan sanggup menerima teguran dengan hati yang terbuka dan berlapang dada.

Nilai-nilai murni yang ditunjukkan dalam banyak lagi kisah teladan para Nabi dan solihin boleh diterapkan dan amat bersesuaian untuk diamalkan dalam kehidupan kita seharian.

Al-Quran juga tidak ketinggalan bahkan mendahului dalam perkembangan isu-isu semasa. Kepesatan pembangunan sains dan teknologi seolah-olah menyingkap rahsiarahsia al-Quran selama ini. Dalam bidang perubatan misalnya, perkembangan janin dalam uterus telah diungkapkan dengan teratur peringkat demi peringkat di dalam al-Quran walaupun penggunaan mesin pengimbas ultrabunyi belum lagi diperkenalkan.

'Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati dari tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang lalu tulang belulang itu Kami bungkus daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang berbentuk lain. Maka Maha Suci Allahlah, Pencipta yang paling baik'. Surah al-Mu'minuun, ayat 12-14.

Sungguhpun jelas di dalam al-Quran diterangkan tentang peringkat-peringkat kejadian manusia ini, hanya sekitar tahun 1940-an sahaja para pengkaji dalam bidang embriologi manusia berjaya mencadangkan wujudnya beberapa peringkat dalam perkembangan janin manusia. Hanya beberapa tahun kebelakangan ini teori-teori itu telah diterima pakai setelah sains perubatan berjaya membuktikannya.

PenemuanIlustrasi yang padat dan jelas berkenaan peringkat hidup janin manusia itu merupakan suatu petunjuk yang tidak dapat disangkal bahawa al-Quran sememangnya keterangan yang ajaib, yang mendahului penemuan manusia secara saintifik. Hakikat ini telah diakui oleh seorang profesor dalam bidang anatomi manusia, Prof. Moore yang antaranya menyatakan bahawa keterangan secara terperinci itu pasti datangnya daripada Tuhan dan bukannya karangan manusia, yang telah menurunkannya kepada Nabi Muhammad SAW kerana sains perubatan manusia hanya dapat membuktikannya hanya beberapa abad selepas turunnya al-Quran.

Al-Quran juga telah memberi suntikan idea dalam perkembangan kajian-kajian baru sebagai contohnya penggunaan madu dalam bidang perubatan bagi menyembuhkan luka dan meningkatkan daya tahan tubuh melawan jangkitan. Aplikasi kekuatan besi dalam struktur binaan juga telah diinspirasikan melalui salah satu daripada ayat-ayat al-Quran, sebagaiamana firman Allah SWT dalam surah al-Hadid ayat 25 yang bermaksud :
'Dan Kami ciptakan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai-bagai manfaat bagi manusia...'

Selain itu, penerangan al-Quran tentang peredaran bulan dan matahari telah dijadikan sebagai asas perkiraan masa untuk kalendar yang digunakan sehingga ke hari ini. Ilmu astronomi, yang suatu masa dahulu dipelopori oleh ilmuwan Islam sebenarnya berputik daripada rasa ingin tahu yang tercetus hasil penerangan-penerangan tentang angkasa lepas di dalam al-Quran. Tidak terbatas pada teori-teori sahaja, cetusan idea daripada ayat al-Quran telah memberi banyak ilham dan motivasi kepada para pengkaji untuk mencuba kaedah atau penciptaan baru. Tidak mustahil jika dinyatakan bahawa idea untuk mencipta bom mungkin diambil daripada peristiwa burung ababil yang melontarkan batu-batu api ke atas tentera bergajah Abrahah dan reka bentuk terowong dasar laut diambil daripada peristiwa Nabi Musa a.s. membelah laut.

Proses kejadian alam yang lain seperti hujan dan kemarau, pertemuan laut dan sungai, kitar hidup tumbuh-tumbuhan dan perumpamaan melibatkan haiwan bermula daripada sekecil-kecil nyamuk dan semut sehinggalah kepada lembu dan keldai cukup menakjubkan dan cukup jumlahnya untuk mengetuk hati yang tulus ikhlas menerima hidayah.

Berdasarkan penjelasan mengenai peristiwa sejarah serta kesahihan pembuktian peristiwa semasa, amat wajarlah kita meyakini akan ramalan-ramalan atau lebih tepat lagi petunjuk awal yang diceritakan berkenaan dengan peristiwa yang bakal berlaku pada masa akan datang. Sesungguhnya al-Quran sarat dengan seribu satu keajaiban dan hanya keterbatasan akal manusia yang cetek sahaja membuatkan hanya sedikit daripada mutiara ilmunya yang dapat dicungkil.

Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0530&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

Saturday, May 17, 2008

Selamat Hari Guru...


16 Mei, Hari Guru...
Jasa kalian dikenang...

Guru Oh Guru

Berburu padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG 1979

Selamat Hari Guru...

PM umum skim baru kenaikan pangkat guru

PENGHARGAAN: Abdullah bersalam dengan seorang daripada empat Tokoh Guru 2008, Abu Bakar Shawkat Ali dari Ujong Pasir, Melaka, sambil diperhatikan Hishammuddin (kanan) serta Mohd Ali (tiga dari kiri) pada pelancaran Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-37 di Dewan Seri Negeri Ayer Keroh, Melaka, semalam.

MELAKA: Sempena sambutan Hari Guru 2008, kerajaan semalam mengumumkan beberapa insentif kepada warga pendidik dalam usaha memperkukuh dan memperkasakan lagi profesion perguruan di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata kerajaan bersetuju mengambil kira pengalaman mengajar guru semasa dalam skim bukan siswazah DGA untuk pertimbangan kenaikan gred secara 'time based' selepas berada dalam skim siswazah iaitu dari gred DG41 ke DG44.

Langkah itu, katanya, bertepatan gagasan kerajaan membangunkan modal insan, selain bersesuaian dengan dasar pensiswazahan guru sebagai galakan golongan terbabit melanjutkan pengajian sekali gus memantapkan mutu serta daya saing.

"Kaedah yang akan digunakan ialah setiap tiga tahun pengalaman di gred DGA29 akan dikira sebagai satu tahun pengalaman di gred DG41, tertakluk kepada had maksimum pengiraan sebanyak tiga tahun pengalaman DG41.

"Insentif ini adalah satu tambahan kepada keputusan kerajaan sebelum ini iaitu untuk memberikan hadiah kenaikan gaji," katanya disambut tepukan gemuruh kira-kira 3,000 warga pendidikan yang menghadiri majlis sambutan itu di Ayer Keroh, petang semalam.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Tokoh Kepemimpinan Guru 2008 kepada Datuk Rashdi Ramlan serta Tokoh Guru kepada Datuk Dr Dzulkarnain Abd Rahman, Abu Bakar Shawkat Ali serta Krishnasamy Karpaya.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom.

Abdullah berkata, kerajaan meluluskan cadangan supaya guru gred DG41 yang berasal dari skim bukan siswazah dan memegang jawatan guru besar, dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat ke gred DG44 selepas tiga tahun berkhidmat sebagai guru besar gred DG41.

Selepas menambah kuota jawatan dalam skim cemerlang pada 2006 sebanyak lebih 300 peratus dan memastikan jawatan berkenaan dapat dinikmati segera oleh guru, kerajaan juga bersetuju menambah baik beberapa syarat bagi skim guru cemerlang.

"Pertama, bagi pengisian jawatan guru cemerlang DGA32 dari gred asal DGA29 dan jawatan guru cemerlang DG44 dari gred asal DG41, syarat tempoh kelayakan dipendekkan daripada tujuh tahun kepada lima tahun pengalaman mengajar.

"Kedua, pegawai yang sudah dinaikkan pangkat guru cemerlang di sesuatu gred boleh dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat ke gred selanjutnya tanpa perlu menunggu tempoh tiga tahun perkhidmatan dalam gred sedang disandang," katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga memperuntukkan 10 peratus daripada kuota sedia ada untuk diberikan kepada pengelola dan guru yang berkhidmat di Kementerian Pelajaran, jabatan pelajaran negeri dan pejabat pelajaran daerah dengan syarat mereka cemerlang.

Selain itu, gred pegawai pelajaran daerah (PPD) dinaikkan dari DG48 ke gred DG52 dan DG54, disamping menyeragamkan struktur pejabat berkenaan di seluruh negara dengan memansuhkan pejabat pelajaran gabungan bagi Sabah dan Sarawak.

"Disamping kenaikan PPD, penambahbaikan ini juga akan mewujudkan ratusan jawatan kenaikan pangkat baru untuk guru yang berkhidmat di pejabat pelajaran daerah," katanya.

Abdullah berkata kerajaan juga meluluskan cadangan penstrukturan baru Kementerian Pelajaran selepas kali terakhir dilakukan pada 1995. Peringkat awal kelulusan itu membabitkan pertambahan jawatan dan kenaikan gred bagi jawatan pengurusan tertinggi dan ketua bahagian dari gred 54 ke Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) A.

"Sebagai contoh, semua jawatan timbalan ketua pengarah pelajaran kini diseragamkan pada gred jusa A berbanding sebelumnya yang berbeza iaitu gred Jusa A, B, C dan DG54. Penambaikan dan penstrukturan semula kementerian dan PPD ini disasarkan akan dapat memantapkan sistem penyampaian pendidikan di setiap peringkat," katanya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/BeritaUtama/20080517003830/Article/index_html

Tiga langkah kekalkan profesionalisme guru

Pelbagai insentif, kemudahan dan keistimewaan dinikmati pendidik.

KEMENTERIAN Pelajaran melaksanakan tiga langkah khusus bagi mengekalkan momentum perkembangan profesionalisme guru supaya terus lestari dan sentiasa berada pada tahap tinggi.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata langkah berkenaan ialah meneruskan program berkembar latihan perguruan dengan institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara bagi subjek kritikal.

Selain itu, beliau berkata, mengkaji semula beban tugas guru, dan menggalak serta menyebarluaskan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di kalangan guru, terutama untuk mengintegrasikannya dalam pengajaran dan pembelajaran.

“Profesion keguruan kini berada pada tahap amat baik. Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran menyediakan pelbagai insentif, kemudahan dan keistimewaan yang dinikmati guru ketika ini.

“Tidak salah jika saya nyatakan bahawa hasrat memartabatkan profesion keguruan berada pada landasan betul dan kukuh, justeru mampu melahirkan warga guru yang menyumbang ke arah kecemerlangan negara.

“Kementerian memilih ‘Guru Cemerlang Negara Terbilang’ sebagai tema sambutan Hari Guru tahun ini. Sejak negara mencapai kemerdekaan hinggalah sekarang, kerajaan tidak pernah mengabaikan warga guru.

“Malah, pelbagai insentif diberi seperti peluang kenaikan pangkat, kenaikan gred jawatan serta pertambahan kuota jawatan untuk guru, termasuk Pengetua Cemerlang dan Guru Cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2008 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, di Dewan Sri Negeri, Ayer Keroh, Melaka, semalam.

Hadir sama Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; dua Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail dan Datuk Dr Wee Ka Siong; serta Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang.

Seterusnya, Alimuddin berkata, pendekatan telus, prihatin, mesra rakyat dan berwibawa Hishammuddin selaku pemimpin kementerian, banyak membawa pembaharuan bukan saja kepada pembangunan dan perkhidmatan pendidikan, malah meningkatkan rasa bangga serta kasih warga guru terhadap profesion mereka.

Katanya, contoh teladan, budi baik dan jasa Hishammuddin selama ini menjadi pemangkin serta dorongan kepada warga pendidikan untuk terus memberi perkhidmatan terbaik melalui pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru seluruh warga guru agar menunjukkan rasa terima kasih dan penghargaan atas segala usaha kerajaan dengan menjadikan kualiti serta kecemerlangan sebagai budaya dan juga identiti profesion keguruan negara.

“Sesungguhnya masa depan dan kelangsungan negara terletak pada tangan generasi muda hari ini yang menjadi modal insan negara. “

Justeru, pendidikan disampaikan perlu berkualiti dan diurus dengan cekap serta berkesan supaya meninggalkan impak positif kepada pembangunan ilmu, kemahiran dan juga akhlak mulia di kalangan anak-anak kita agar mereka mampu bersaing pada peringkat global,” katanya.

Monday, May 12, 2008

Selamat Hari Ibu...

Sebagai seorang anak, menjadi kewajipan mengenang jasa dan pengorbanan ibu yang tidak terhitung nilainya. Kedudukan ibu juga sangat istimewa dan mulia di sisi Islam, sebingga pernah suatu ketika Nabi s.a.w. ditanya berkaitan individu yang perlu dihormati dan disayangi. Lalu baginda s.a.w. menyebut insan yang bergelar "ibu" sebanyak tiga kali dan "ayah" pada sebutan yang keempat. Ini menggambarkan kedudukan ibu sangatlah tinggi berada pada tiga level yang teratas.

“Ya Allah, ampunkanlah dosaku, ampunkan dosa ibu bapaku dan rahmatilah mereka dengan kasih sayang-Mu, sebagaimana mereka menyayangiku ketika diriku masih kecil”.

Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Al-Israa’ 17: 24)
::Duhai Bonda::
::Nowseeheart::

Bagai kerdipan lilin yang berkilau, bercahaya
Menggantikan mentari terangi malam nan gelita
Membakar diri pun membeikan cahaya
Membiar diri musnah terlebur
Korban segalanya penuh rela

Biar dimamah arus usia
Tidak pernah kenal derita
Bagai sungai kasih yang mengalir
Tiada penghentiannya, tak bertebing

Duhai ibunda kaulah anugerah istimewa
Berkorban jiwa raga redahi hidup nan mencabar
Berusaha dan sabar dalam mengharungi derita
Hidupmu penuh ranjau meniti kepayahan yang tiada kesudahan

Tidak sekali mengharapkan dibalasi permata
Cukup engkau rasa bahagiaLihat anak-anakmu berjaya
Kau penawar hati dukaWalau hatimu terluka
Engkau ibu engkaulah bapa
Pabila ayah tiada

Hanya Tuhan saja yang dapat membalas jasamu
Kerana Tuhan saja yang tahu penderitaanmu
Wahai bonda

Saturday, May 10, 2008

Iklan Jawatan Kosong...

KATEGORI JAWATAN KOSONG :
A. Ahli Syurga dari awal.
B. Ahli Neraka dari awal.
C. Ahli Neraka sementara, kemudian akan dilantik jadi Ahli Syurga.

EMPAT GANJARAN LUMAYAN (khas untuk jawatan A) :
1. Nikmat kubur.
2. Perlindungan di Padang Mahsyar.
3. Keselamatan Meniti Titian Sirat.
4. Syurga yang kekal abadi.

TARIKH TEMUDUGA :
Bila-bila masa secara adhoc bermula dari saat membaca iklan ini.

LOKASI TEMUDUGA :
Di dalam kubur (alam barzakh).

KELAYAKAN :
Anda tidak perlu bawa siji-sijil.
Anda tidak perlu bawa pingat.
Anda tidak perlu bawa wang atau harta(yang banyak).
Anda tidak perlu berparas rupa yangcantik, hensem atau berbadan tegap atau seksi.
Sila bawa dokumen asal Iman dan Amal.

PANEL /PENEMUDUGA :
Mungkar dan Nakir.

ENAM SOALAN BOCOR :
1. Siapa Tuhan anda?
2. Apa Agama anda?
3. Siapa Nabi anda?
4. Apa Kitab anda?
5. Di mana Kiblat anda?
6. Siapa Saudara anda?
CARA MEMOHON :
Anda cuma perlu menunggu penjemput yang berkaliber untuk menjemput anda. Ia akan menjemput anda pada bila-bila masa saja (mungkin sekejap lagi). Ia akan berlembut kepada orang-orang tertentu dan akan bengis kepada orang-orang tertentu. Ia diberi nama Izrail.

TIPS UNTUK BERJAYA DALAM TEMUDUGA TERTUTUP INI :
Hadis hasan yang diriwayatkan oleh Ahmad Hanbal, yang bermaksud begini: Sabda Rasulullah s.a.w. :

"Sesungguhnya apabila jenazah seseorang itu diletakkan di dalam kuburnya, sesungguhnya jenazah itu mendengar suara terompah (kasut) orang- orang yang menghantarnya ke kubur pada saat mereka meninggalkan tempat itu. Jika mayat itu seorang muslim, maka solat yang dilakukannya ketika beliau masih hidup di dunia akan diletakkan dikepalanya, puasanya diletakkan disebelah kanannya, zakatnya diletakkan di sebelah kirinya dan amalan kebajikan daripada sedekah, silaturrahim, perkara kebajikan dan ihsan diletakkan dihujung dua kakinya.

Ia akan didatangi malaikat dari aras kepala, maka solat itu berkata kepada malaikat: dari arasku tidak ada jalan masuk. Kemudian malaikat berpindah kesebelah kanan, maka puasa berkata kepadanya: dari arasku tidak ada jalan masuk. Kemudian malaikat berpindah ke sebelah kiri, maka zakat berkata kepadanya: dari arasku tidak ada jalan masuk. Kemudian di datangi dari arah kedua hujung kakinya danberkatalah amal-kebajikan: dibahagianku tidak ada jalan masuk. Maka malaikat berkata kepadanya: Duduklah kamu. Kepadanya (mayat) memperlihatkan matahari yang sudah mula terbenam, lalu malaikat bertanya kepada mayat itu:

Apakah pandangan kamu tentang seorang laki-laki (Muhammad) yang kamu dahulu sentiasa bercakap tentangnya; dan bagaimana penyaksian kamu kepadanya? Maka berkata mayat itu: Tinggalkan aku sebentar, aku hendak sembahyang. Maka berkata malaikat: Sesungguhnya engkauakan mengerjakan solat (boleh saja solat) tetapi jawab dahulu apa yang kami tanya ini. Apakah pandangan kamu tentang seorang laki-laki Muhammad) yang kamu dahulu sentiasa bercakap tentangnya; dan bagaimana penyaksian kamu kepadanya? Maka berkata mayat itu: Laki- laki itu ialah NabiMuhammad s.a.w dan aku naik saksi bahawa nabi Muhammad s.a.w itu ialah pesuruh Allah yang membawa kebenaran daripada Allah S.W.T. Maka malaikat berkata kepada mayat itu: Demikianlah kamu dihidupkan dan begitu juga kamu dimatikan dan dengan demikian juga kamu dibangkitkan semula di akhirat Insya' Allah. Kemudian dibuka baginya satu pintu syurga, maka dikata padanya itulah tempat kamu dan itulah janji Allah bagi kamu dan kamu akan berada di dalamnya. Maka bertambahlah gembira mayat itu.Kemudian dilapangkan kuburnya seluas 70 hasta dan disinari cahaya baginya"

Nampaknya pertahanan kita perlu kuat dari semua semua aras (kepala, kanan, kiri dan hujung kaki).

Semoga berjaya dalam temuduga ini....
Wallahu-a'lam.

Malam Pertama.....

Malam pertama...
Malam itu ialah Malam Pertama Di Alam Kubur
Pernahkah engkau melihat kuburan?
Pernahkah engkau melihat gelapnya kuburan?
Pernahkah engkau melihat sempit dan dalamnya liang lahat?
Pernahkah engkau membayangkan kengerian dan kedahsyatan alam kubur?
Sedarkah engkau bahawa kuburan itu dipersiapkan untukmu dan untuk orang-orang selain darimu?
Bukankah telah silih berganti engkau melihat teman-teman, orang-orang tercinta dan keluarga terdekatmu diusung dari dunia fana ini ke kuburan?

Apakah Malam Pertama Kita di Alam Kubur Nanti Asyik dan Nikmat atau Penuh Derita dan Sengsara?
"Wahai anak Adam, apa yang telah engkau persiapkan saat malam pertamamu nanti di alam kubur?
Tidakkah engkau tahu, bahawa ia adalah malam yang sangat mengerikan.
Malam yang kerananya para ulama' serta orang-orang yang soleh menangis dan orang-orang bijak mengeluh.
Apa tidaknya, kala itu kita sedang berada di dua persimpangan dan di dunia yang amat berbeza.
"Suatu hari pasti engkau akan tinggalkan tempat tidurmu (di dunia), dan ketenangan pun menghilang darimu.
Bila engkau berada di kuburmu pada malam pertama, demi Allah, fikirkanlah untung nasibmu dan apa yang akan terjadi padamu di sana?"

Hari ini kita berada di dunia yang penuh keriangan dengan anak-anak, keluarga dan sahabat handai,
dunia yang diterangi dengan lampu-lampu yang pelbagai warna dan sinaran,
dunia yang dihidangkan dengan pelbagai makanan yang lazat-lazat serta minuman yang pelbagai,
tetapi pada keesokannya kita berada di malam pertama di dalam dunia yang kelam gelap-gelita,
lilin-lilin yang menerangidunia adalah amalan-amalan yang kita lakukan,
dunia sempit yang dikelilingi tanah dan bantalnya juga tanah.

Pada saat kita mula membuka mata di malam pertama kita di alam kubur,
segala-galanya amat menyedihkan,
tempik raung memenuhi ruang yang sempit tapi apakan daya semuanya telah berakhir.
Itukah yang kita mahukan?
Pastinya tidak bukan? Oleh itu beramallah dan ingatlah sentiasa betapa kita semua akan menempuhi Malam Pertama Di Alam Kubur!

Di dalam usahanya mempersiapkan diri menghadapi malam pertama tersebut, adalah diceritakan bahawa Rabi' bin Khutsaim menggali liang kubur di rumahnya. Bila ia mendapati hatinya keras, maka ia masuk ke liang kubur tersebut.Ia menganggap dirinya telah mati, lalu menyesal dan ingin kembali ke dunia, seraya membaca ayat:
"Ya Rabbku, kembalikanlah aku semula (ke dunia), agar aku dapat berbuat amal soleh terhadap apa yang telah kutinggalkan (dahulu)." (Surah Al-Mu'minun, ayat 99-100)

Kemudian ia menjawab sendiri;
"Kini engkau telah dikembalikan ke dunia wahai Rabi'.."
Dan disebabkan hal tersebut, Rabi' bin Khutsaim didapati pada hari-hari sesudahnya sentiasa dalam keadaan beribadah dan bertaqwa kepada Allah!

Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis atas kematian dan sakaratul maut yang bakal menjemputmu?
Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis atas kuburan dan kengerian yang ada di dalamnya?
Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis kerana takut akan hausnya di hari penyesalan.
Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis kerana takut kepada api Neraka di Hari Kiamat nanti?
Sesungguhnya kematian pasti menghancurkan kenikmatan para penikmatnya.

Oleh itu, carilah (kenikmatan) hidup yang tidak ada kematian di dalamnya.
"Ya Allah, tolonglah kami ketika sakaratul maut!"
Kematian itu pasti.
Ia tidak meleset meski hanya sedetik.
Ia biasa datang menyerap dengan tiba-tiba.
Ia misteri.
Kerananya setiap orang semestinya selalu siap.
Dan tentu, husnul khatimah harus menjadi pilihan.
Untuk mencapai itu, harus melalui jalan syari'at dengan menjalankan segala perintah dan menjauhi segala larangan Allah Ta'ala.
Tanpanya, husnul khatimah itu nihil.
Bukankah, perahu tak akan berjalan di daratan?

Wahai orang tua yang telah bongkok punggungnya dan dekat ajalnya, apakah engkau telah bersiap-siap menghadapi malam pertama?
Wahai pemuda gagah yang bergelimang harta dan sejuta asa,
apakah engkau telah bersiap-siap menghadapi malam pertama?
Ia adalah malam pertama dengan dua wajah,
mungkin menjadi malam pertama bagi malam-malam syurga berikutnya,
atau menjadi malam pertama bagi malam-malam neraka selanjutnya.

(Dipetik dari buku Malam Pertama Di Alam Kubur karya Dr Aidh Abdullah Al-Qarni)