Tuesday, November 24, 2009

Tafsir Surah al-Ikhlas

Titipan perkongsian dari kuliah yang telah saya sampaikan.

Kuliyah Tafsir
20 November 2009
8:30am - 9:30am
Pejabat Bendahari UiTM Johor Bahru.

Terjemahan Surah al-Ikhlas
  1. Katakanlah (wahai Muhammad), Dialah Allah yang Maha Esa.
  2. Allah tempat berharap
  3. Tidak beranak dan tidak diperanakkan.
  4. dan tidak ada yang setara denganNya.
Sebab Turun Surah

Surah ini diturunkan kerana suatu ketika orang musyrikin telah berkata kepada Rasulullah s.a.w. : Wahai Muhammad! Sifatkan kepada kami Tuhan anda? Maka Allah menurunkan surah al-Ikhlas untuk menjelaskan pertanyaan mereka.

Kelebihan Surah

Nabi s.a.w. bersabda : "Adakah di kalangan kamu ini orang yang tidak mampu membaca satu pertiga al-quran pada satu malam? Sesungguhnya sesiapa yang membaca surah al-Ikhlas pada satu malam, maka dia telah membaca pada malam tersebut satu pertiga al-quran".

Tafsir Surah

Ayat pertama surah ini menjelaskan Allah s.w.t. bersifat Esa dan menafikan wujudnya banyak Tuhan atau zat Tuhan.

Ayat kedua pula menjelaskan Allah s.w.t. tempat berharap dan bergantung. Ini menunjukkan Allah s.w.t. amat sempurna dan menjadi tempat menggantungkan harapan makhluk untuk memenuhi keperluan serta menyelesaikan permasalahan mereka.

Ayat ketiga menjelaskan bahawa Allah s.w.t. tidak mempunyai anak dan ibu bapa. Sekaligus menolak dakwaan kepercayaan orang Yahudi bahawa Uzair anak Allah, keyakianan orang Kristian bahawa Isa anak Allah, kepercayaan orang Musyrikin bahawa Latta dan Uzza (berhala) sebagai Ttuhan dan sebagainya.

Ayat terakhir pula menjelaskan tiada sesiapa yang sekutu atau sebanding dengan Allah s.w.t. dalam kekuasaan dan sebagainya. Ini adalah untuk menolak kepercayaan orang Arab bahawa para malaikat adalah sekutu Allah dan patung berhala adalah gandingan Allah.

Wallahu 'Alam

Sumber Rujukan :
1- Tafsir al-Munir - Dr. Wahbah al-Zuhayli
2- Tafsir al-Quran al-'Azim - Ibn Kathir

No comments: