Friday, October 2, 2009

PUASA SUNAT SYAWAL

Ganjaran Puasa Sunat Syawal

Antara puasa sunat yang digalakkan oleh Nabi s.a.w. ialah berpuasa enam hari di bulan Syawal. Ibadat puasa sunat ini adalah kesinambungan kepada ibadat puasa Ramadhan. Berikut adalah sabda baginda s.a.w. yang menjelaskan ganjaran puasa sunat Syawal :
"Sesiapa puasa Ramadhan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari di bulan Syawal, adalah ganjarannya seperti puasa sebulan".
(Riwayat Muslim)

Faedah Puasa Sunat Syawal
  1. Puasa sunat enam hari Syawal setelah puasa sebulan Ramadhan merupakan penyempurnaan pahala berpuasa selama setahun.
  2. Puasa sunat Syawal berfungsi sebagai pelengkap kekurangan puasa wajib.
  3. Membiasakan puasa sunat Syawal menandakan ibadah puasa Ramadhan diterima. Ini kerana apabila Allah s.w.t. menerima amalan seseorang hamba, pasti Allah s.w.t. juga membantunya dalam meningkatkan perbuatan baik pada masa akan datang.
  4. Puasa di bulan Ramadhan dapat menghapuskan dosa-dosa yang lalu. Manakala puasa sunat Syawal menandakan kesyukuran seorang hamba di atas pertolongan dan keampunan yang telah di anugerahkan oleh Allah s.w.t.
  5. Berpuasa sunat Syawal menandakan kesan didikan berpuasa di bulan Ramadhan berjaya mendorong ke arah melakukan kebaikan.
Hukum
  1. Hukum berpuasa enam hari di bulan Syawal adalah sunat. Namun meninggalkannya tidaklah sampai ke tahap berdosa.
  2. Boleh dilakukan puasa sunat syawal secara berterusan atau berselang.
Menghimpunkan Puasa Qadha' & Sunat

Dalam isu ini, para ulama' berbeza pandangan dengan pelbagai hujah & dalil tersendiri. Kesempatan ini saya nyatakan secara ringkas susunan mengikut kemampuan individu dalam melakukan puasa sunat & qadha' :
  1. Bagi yang mampu, selesaikan puasa qadha' terlebih dahulu kemudian disusuli dengan puasa sunat Syawal pula pada bulan yang sama juga.
  2. Jika kurang kemampuan, laksanakan puasa sunat Syawal dan diikuti puasa qadha' di bulan yang lain.
  3. Jika tidak mampu dengan cara di atas, maka tunaikanlah puasa qadha' sahaja dan berharap Allah s.w.t. memberikan pahala puasa sunat Syawal secara automatik pada masa yang sama. (Hanya perlu niat puasa qadha' sahaja)
Semoga dapat memberi input dan panduan yang bermanfaat.

Wallahu 'Alam.

Rujukan :
- Fiqh Manhaji oleh Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugho & Ali al-Syarbaji
- Risalah ramadhan oleh Syaikh Abdullah Jarullah bin Ibrahim al-Jarullah


Azri Bhari
Larkin, Johor Bahru
http://azribhari.blogspot.com

1 comment:

muffakiratul mukminah said...

assalammualaikum ustaz,

terima kasih di atas penerangan tersebut...

=)