Tuesday, December 1, 2009

Bolehkah Wali Fasiq Menikahkan Anak?

Persoalan :

Bolehkah wali yang fasiq menikahkan anak?

Jawapan :

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.

Terima kasih bertanya. Mudah-mudahan kita memperolehi hidayah dan ilmu dari Allah s.w.t.
  1. Wali merupakan salah satu rukun nikah yang lima. (Suami, Isteri, Saksi, Wali & Akad).
  2. Wali dari sudut pengertian bahasa ialah kasih sayang dan pertolongan. Dari segi syarak pula ialah melaksanakan kata-katanya terhadap orang lain dan mengawasi urusan mereka.
  3. Antara syarat wali ialah (Islam, Adil, Baligh, Berakal, Tidak berihram dll.)
  4. Berkaitan persoalan fasiq termasuk di bawah kategori syarat wali iaitu "adil".
  5. Adil bermaksud wali tidak melakukan dosa-dosa besar, tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil dan tidak melakukan perkara-perkara yang menjatuhkan maruah seperti kencing di jalan-jalan raya, berjalan dengan kaki ayam dan sebagainya.
  6. Oleh itu, orang fasiq tidak boleh mengahwinkan perempuan yang beriman, bahkan hak menjadi wali berpindah kepada wali selepasnya jika dia seorang yang adil.
  7. Sebahagian ulamak feqah berpendapat : Keadilan tidak menjadi syarat dalam perkahwinan kerana hak menjadi wali berdasarkan hak asabah. Hak asabah (warisan) membawa maksud wali sangat mengasihi dan merahmati serta memberikan kebaikan kepada orang yang dijaganya. Kasih sayang dan rahmat ini tiada bezanya di antara keadilan dengan selainnya.
  8. Realiti semasa, bagi mensyaratkan adil kadang-kadang menimbulkan kesulitan yang besar. Ini disebabkan kurangnya bilangan orang yang adil terutamanya pada masa ini.
  9. Sebagai penyelesaian masalah, sewajarnya berbincang dengan wali untuk mewakilkan kepada juru nikah. Sekiranya tetap ingin menjadi wali, maka tetap sah perkahwinan tersebut.
Wallahu 'Alam

Sumber rujukan :

- Kitab Fiqh Manhaji

Azri Bhari
Larkin, Johor Bahru.
6:30pm

No comments: