Tuesday, January 29, 2008

Dahi cecah ke sejadah


Bersihkan dirimu sebelum kamu dimandikan
Berwudhuklah kamu sebelum kamu diwudhukkan
Bersolatlah kamu sebelum kamu disolatkan


Tutuplah auratmu sebelum auratmu ditutupkan dengan kain kafan yang serba putih
Pada waktu itu tidak guna lagi bersedih
Walaupun orang yang hadir itu merintih

Selepas itu kamu akan diletak di atas lantai lalu dilaksanakan solat jenazah
Dengan empat kali takbir dan satu salam berserta Fatihah
Selawat dan doa sebagai memenuhi tuntutan Fardhu Kifayah

Tapi apakah empat kali takbir itu dapat menebus segala dosa meninggalkan solat sepanjang hidup?

Apakah solat Jenazah yang tanpa rukuk dan sujud dapat membayar hutang rukuk dan sujudmu yang telah luput?
Sungguh tertipulah dirimu jika beranggapan demikian, justeru ku menyeru sekalian Muslimin dan Muslimat
Usunglah dirimu ke tikar solat sebelum kamu diusung ke liang lahad menjadi makanan cacing dan ulat.


Iringilah dirimu ke masjid sebelum kamu diiringi ke pusara.
Tangisilah dosa-dosamu di dunia kerana tangisan tidak berguna di alam baqa'.
Sucikanlan dirimu sebelum kamu disucikan
Sedarlah kamu sebelum kamu disedarkan
Dengan panggilan Izrail yang menakutkan


Berimanlah kamu sebelum kamu ditalkinkan
Kerana ianya berguna untuk yang tinggal bukan yang pergi


Beristighfarlah kamu sebelum kamu diistighfarkan
Namun ketika itu istighfar tidak menyelamatkan
Ingatlah di mana saja kamu berada kamu tetap memijak di bumi Tuhan
Dan dibumbungi dengan langit Tuhan serta menikmati rezeki Tuhan


Justeru bila Dia menyeru, sambutlah seruan-Nya
Sebelum Dia memanggilmu buat kali yang terakhirnya
Ingatlah kamu dahulu hanya setitis air yang tidak bererti
lalu menjadi segumpal darah
lalu menjadi seketul daging
lalu daging itu membaluti tulang
lalu jadilah kamu insan yang mempunyai erti

Ingatlah asal usulmu yang tidak bernilai itu
Yang kalau jatuh ke tanah ayam tak patuk, itik tak sudu
Tapi Allah mengangkatmu ke suatu mercu yang lebih agung dari malaikat

Lahirmu bukan untuk dunia tapi gunakanlah ia buat melayar bahtera akhirat

Sambutlah seruan "Hayya 'alas Solaah" Dengan penuh rela dan bersedia

Sambutlah seruan "Hayya 'alal Falaah" Jalan kemenangan akhirat dan dunia.

Ingatlah yang kekal ialah amal menjadi bekal sepanjang jalan
Menjadi teman di perjalanan
Guna kembali ke pangkuan tuhan

Pada hari itu tiada berguna harta
Takhta dan putera
Isteri, kad kredit dan kereta
Kondominium, saham dan niaga
Kalau dahi tak mencecah sejadah di dunia.


Sumber : Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

No comments: