Wednesday, January 6, 2010

Solat Ibadah Istimewa

Solat merupakan ibadah yang istimewa kerana diperintahkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. secara langsung tanpa perantaraan sebagaimana perintah ibadah wajib yang lain. Peristiwa ini boleh disoroti melalui kisah Israk Mi’raj Nabi s.a.w. yang bertemu dan berkomunikasi dengan Rabbul Jalil. Menurut pendapat yang sahih, peristiwa Israk Mi’raj berlaku pada 18 bulan sebelum hijrah Nabi s.a.w. ke Madinah.

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim mengisahkan peristiwa kefarduan solat adalah sebagaimana berikut : “Telah dibuka atap rumahku, sedangkan aku ketika itu di Makkah. Lalu Jibril turun... kemudian dia memegang tanganku dan mengangkatku ke langit... kemudian Allah telah mewajibkan ke atas umatku dengan 50 waktu solat... lalu aku berulang-alik kepadaNya... kemudian Allah berfirman : hanya 5 waktu (dari segi kewajiban) dan 50 waktu (dari segi pahala), tidak ditukar ganti lagi di sisiKu“.

Para ulamak berpandangan, istimewanya solat diwajibkan secara langsung tanpa perantaraan malaikat Jibril a.s. adalah menunjukkan solat merupakan perkara yang sangat penting dan perlu dilaksanakan. Arahan solat yang diterima oleh Nabi s.a.w. adalah ibarat arahan seorang ketua kepada anak buahnya yang perlu diambil perhatian untuk tindakan bahkan lebih dari itu.
Seterusnya, istimewanya solat juga merupakan medium untuk seorang hamba berdialog dan berbicara dengan Allah s.w.t.. Manakan tidak, setiap bacaan dan perbuatan yang dilakukan semasa solat mempunyai falsafah tersendiri sekiranya diperhalusi dan difahami dengan baik.

Keistimewaan solat juga akan terserlah bagi individu yang melakukan dengan penuh keikhlasan kerana mampu menjadi benteng dari melakukan maksiat serta kejahatan. Didikan semasa solat yang mengarah kepada melakukan solat dengan sempurna, ikhlas, menutur bacaan yang baik dan sebagainya akan menghasilkan individu yang baik juga di luar solat nanti.

Begitulah istimewanya ibadah solat yang diwajibkan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. lima kali sehari semalam. Persoalannya, pernahkah kita menganggap solat itu istimewa bagi diri kita atau kita ini “insan istimewa” yang tidak diwajibkan untuk solat.


Azri bin Bhari
Pegawai Hal Ehwal Islam,
Pusat Pemikiran & Kefahaman Islam,
UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.
21 Disember 2009
22 Disember 2009 (edit) - 11:26am

No comments: