Wednesday, January 6, 2010

Keutamaan Solat Berjemaah

Melaksanakan solat fardu secara berjemaah merupakan suatu perkara yang sangat dituntut dan digalakkan di dalam Islam. Tuntutan solat berjemaah telah dibahaskan oleh para ulamak fiqh dengan terperinci dan jelas supaya umat Islam berusaha untuk mendirikan solat berjemaah sedaya mungkin.

Hujah yang mensyariatkan solat berjemaah ialah firman Allah s.w.t. yang bermaksud ”Apabila kamu (Muhammad) berada di kalangan mereka (sahabatmu) lalu kamu hendaklah mendirikan solat (berjemaah) bersama mereka...”. (Surah al-Nisa’ : 102)

Ayat di atas merupakan perintah solat berjemaah ketika ketakutan dalam situasi peperangan, maka sudah tentu dalam masa aman dan selesa lebih dituntut untuk dilaksanakan.

Seterusnya, Nabi s.a.w. menjelaskan keutamaan solat berjemaah akan menggandakan pahala berbanding solat bersendirian sebagaimana hadis yang bermaksud ”Solat berjemaah itu lebih utama (afdal) daripada solat seorang diri dengan dua puluh tujuh darjat”. (Riwayat jemaah kecuali al-Nasai’ dan Abu Daud) Dalam riwayat yang lain ”...dengan dua puluh lima
darjat”. (Riwayat Bukhari dan Ahmad)

Selain dari itu, baginda s.a.w. juga bersabda bahawa usaha mendirikan solat berjemaah akan menghasilkan cahaya di hari kiamat sebagaimana hadis berikut ”Berilah berita gembira kepada mereka yang sering berjalan dalam keadaan gelap gelita menuju masjid (kerana ingin solat berjemaah) dengan (akan dapat) cahaya yang sempurna di hari kiamat”. (Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)

Dalam hadis yang lain, Nabi s.a.w. juga menjelaskan sekiranya manusia mengetahui keutamaan solat berjemaah pasti mereka akan berlumba-lumba walaupun dalam keadaan terpaksa merangkak untuk hadir mendirikan solat berjemaah. Berikut adalah hadis tersebut :

”Jika manusia tahu tentang kelebihan yang ada pada azan dan saf yang pertama, kemudian mereka tidak memperolehinya melainkan dengan cabut undi, nescaya mereka membuat undian untuk mendapatkannya. Jika mereka tahu tentang kelebihan yang ada pada pergi awal ke tempat solat berjemaah, nescaya mereka berlumba-lumba menujunya. Jika mereka tahu betapa besarnya kelebihan solat Isyak dan Subuh, nescaya mereka akan pergi solat berjemaah walaupun dalam keadaan merangkak. (Riwayat Bukhari & Muslim)

Begitulah keutamaan solat berjemaah yang digambarkan oleh Allah s.w.t. dan Nabi s.a.w. kepada seluruh manusia. Semoga menjadi sumber motivasi kepada kita untuk sentiasa berazam dan berusaha mendirikan solat fardu secara berjemaah di masjid atau surau yang berdekatan.

Azri bin Bhari
Pegawai Hal Ehwal Islam,
Pusat Pemikiran & Kefahaman Islam,
UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.
21 Disember 2009

No comments: