Saturday, April 5, 2008

Punca Masalah Remaja

PERSOALAN mengenai remaja banyak dibincangkan. Antara perbicaraan hangat isu remaja adalah berkisar masalah keruntuhan akhlak dan moral, lepak, bohsia, bohjan, vandalisme, dadah, jenayah dan pelbagai isu negatif lain kerap mendapat tempat dalam masyarakat.

Saya agak kecewa melihat masalah-masalah remaja yang seolah-olah sudah tidak terkawal. Saya berpandangan anda semua juga kecewa bila menonton di kaca TV, mendengar di radio dan membaca di akhbar berkaitan isu-isu masalah remaja.

Apakah masalah sebenar yang melanda mereka?
Bagaimana mereka boleh terjebak dalam kancah yang negatif ini?

Bersama kita renungkan sejenak punca-punca masalah remaja kini.

1) Kepincangan didikan agama dan keruntuhan didikan moral.

Hampir semua isu keruntuhan moral bertitik-tolak kepada kepincangan didikan agama. Setiap saat kita terpaksa mengakui bahawa anasir yang melalaikan begitu banyak di sekeliling remaja. Kecanggihan perkembangan teknologi maklumat yang melampaui batasan, muzik yang melalaikan serta sosio seksual di luar kawalan adalah antara anasir yang dimaksudkan. Lebih malang, apabila remaja terpaksa berhadapan dengan kongkongan konservatif yang menghalang serta menegah mereka secara mutlak untuk terbabit dalam anasir tadi tanpa memahamkannya.

2) Runtuhnya institusi keluarga

Jika ditanya kebanyakan para remaja yang terlibat, kebanyakannya terdiri dari latarbelakang keluarga yang hancur. Ibu bapa sering berkonflik atau mungkin bercerai berai. Kegagalan institusi keluarga memainkan peranan sebagai ‘role model’ dan qudwah hasanah (teladan) juga semakin menyeret remaja jauh daripada kebenaran dan kesedaran. Jika remaja diminta menutup aurat, tetapi ibu bapa tidak berbuat demikian dan memandang ringan perkara ini, maka budaya menutup aurat di kalangan remaja tidak mungkin dapat dilaksanakan secara keseluruhan. Jika remaja dilarang merokok, tetapi pada masa sama keluarga masih mengamalkan perbuatan itu, tidak mungkin wujud masyarakat remaja yang bebas rokok. Kepemimpinan melalui teladan iaitu teladan daripada keluarga dan masyarakat adalah antara cara untuk menyelamatkan anak daripada terjebak ke dalam masalah sosial.

3) Pengaruh rakan sebaya

Tidak dapat dinafikan rakan sebayalah yang mempunyai pengaruh yang lebih hebat berbanding pengaruh ahli keluarga bagi kebanyakan remaja yang terlibat dalam kancah yang negatif ini.

4) Media Massa

Iaitu pengaruh media massa. Faktor ini adalah antara faktor terkuat remaja itu terdorong untuk melakukan permasalahan sosial yang melampau. Media perlu memaparkan nilai sejagat sebagai ilmu dan contoh untuk remaja. Kepentingan komersil perlu diketepikan kerana agenda pembinaan jati diri remaja yang sejati lebih utama untuk ditonjolkan. Iklan mencolok mata dan merangsang kepada keruntuhan akhlak perlu diketepikan.

5) ‘Spirit of belonging’ yang terseleweng

Tidak dinafikan ini merupakan sifat yang bagus jika disalurkan ditempat yang betul. Menyertai persatuan atau kelab seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Persekutuan Pengakap Malaysia, dan yang berkaitan adalah contoh terbaik. Tetapi apabila semangat yang baik ini disalurkan kepada kelompok yang negatif, maka tidak hairan hasilnya negatif dan kerana itulah kita lihat kebiasaan remaja yang bermasalah ini mempunyai ‘click’ dan ‘geng-geng’ dari kelompok mereka sendiri.

6) Trauma

Pengalaman hitam yang pernah melanda kehidupan remaja bermasalah menjadikan mereka terlibat dalam kegiatan yang tidak bermoral. Misalnya latar belakang kehidupan mereka yang mungkin sering mengalami mimpi ngeri seperti penderaan secara fizikal dan mental misalnya. Mungkin mereka pernah menerima gangguan seks sebagai contoh. Ini juga merupakan titik punca mereka mula memberontak dan mula terjebak dengan kancah sosial yang negatif.

Andaikan.....

Andainya penjagaan dan pendidikan remaja dapat dilihat sebagai sebatang pokok, maka pendidikan agama adalah akar tunjang kepada kekuatan remaja. Sementara institusi kekeluargaan mantap dan mampu memainkan peranan sewajarnya akan menjadi batang kukuh dalam membangunkan jati diri remaja. Sekolah dan rakan sebaya berfungsi sebagai dahan yang akan menjadi pelindung kepada pembentukan jati diri remaja. Sekolah patut memainkan peranan sebagai pusat sumber ilmu, tempat memupuk kemahiran dan institusi yang mengamalkan interaksi sosial terkawal. Rakan sebaya sempurna perlu dirapati dengan membentuk identiti kumpulan rakan sebaya yang ceria, berfikiran matang dan bertindak mengikut norma dibenarkan. Masyarakat dan media massa pula berperanan menjadi daun rimbun yang melindungi dan memayungi pohon jati diri remaja. Media perlu memaparkan nilai sejagat sebagai ilmu dan contoh untuk remaja. Kepentingan komersil perlu diketepikan kerana agenda pembinaan jati diri remaja yang sejati lebih utama untuk ditonjolkan. Iklan mencolok mata dan merangsang kepada keruntuhan akhlak perlu diketepikan. Begitu juga masyarakat, terutama yang lebih dewasa perlu lebih bertanggungjawab untuk melihat kecemerlangan remaja pada masa depan.

1 comment:

Anonymous said...

memang kalau difir banyak punca remaja skang makin rosak, tapi cuba kita fikir betul2 sebenarnya, ibu bapa yang tidak memainkan peranan sebagai pendidik yang sebenar,dalam hadis kita dah tau anak2 yang dilahirkan umpama kain putih, ibu bapa yang mencorakkannya..ha?? apalagi skang salah sape???