Wednesday, March 31, 2010

Katakan Tidak Pada April Fools

Katakan Tidak Pada April Fools’


Budaya meniru perbuatan dan perlakuan yang bukan dari ajaran Islam dilihat semakin menular di kalangan umat Islam di Malaysia pada hari ini. Bahkan perbuatan demikian dianggap sebati dan kebiasaan di dalam kehidupan.


Budaya April Fools’ yang selalu ditiru apabila menjelang 1 April setiap tahun secara umumnya adalah hari untuk memperdaya seseorang telah menjadi teras sambutannya. Sekiranya terpedaya mempercayai penipuan tersebut maka ejekan April Fools’ akan dicanangkan kepada sasaran.


Benarkah perlakuan memperdaya seseorang itu hanya sekadar gurauan. Adakah gurauan yang mempunyai unsur penipuan, pembohongan dan pendustaan diiktiraf dalam Islam? Namun begitu, sejauh mana gurauan itu dibenarkan dalam akhlak Islam?


Terdapat suatu pandangan yang menyatakan sambutan April Fools’ adalah bersempena dengan penghapusan dan penipuan ke atas umat Islam di Spanyol suatu ketika dahulu. Biar apa pun justifikasi terhadap asal usul April Fools’, penindasan terhadap umat Islam di Spanyol memang berlaku di dalam catatan sejarah.


Nabi s.a.w. telah mengingatkan kepada kita berkaitan larangan meniru perlakuan dan percakapan yang tidak baik melalui sabdanya : “Sesiapa sahaja yang menyerupai sesuatu kaum itu , maka dia itu termasuk di dalam golongan mereka".


Jangan Menipu


Menipu, berbohong atau berdusta adalah sikap yang tidak dibenarkan sama sekali. Sikap tersebut tergolong dalam sifat mazmumah (terkeji) di dalam Islam. Perkara ini boleh dilihat melalui larangan Rasulullah s.a.w. di dalam sabdanya berikut :


“Celakalah orang yang berkata-kata, maka dia berbohong untuk membuat orang lain ketawa, celakalah dia, celakalah dia, celakalah dia”. (Sunan Abu Daud)


“Sesiapa yang menipu bukanlah ia dari kalangan kami”. (Riwayat Muslim)


Berakhlak Jujur

Islam mengajar supaya umatnya menjadi orang yang jujur dalam niat, perkataan dan perbuatan. Ini boleh dilihat melalui firman Allah s.w.t. yang bermaksud : “Wahai orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah s.w.t. dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang yang benar”. (Surah al-Taubah (9) : 119)


Rasulullah s.a.w. juga mengingatkan tentang sikap jujur di dalam sebuah hadis : “Sesungguhnya benar (jujur) itu memimpin kepada kebaikan, dan kebaikan itu memimpin ke syurga, dan seseorang berlaku benar sehingga tercatat di sisi Allah seorang siddiq (yang sangat jujur dan benar). Dan dusta memimpin kepada kecurangan, dan curang itu memimpin ke dalam neraka. Dan seseorang itu berdusta sehingga tercatat di sisi Allah sebagai pendusta”. (Riwayat al-Bukhari )


Teladani Cara Rasulullah s.a.w. Bergurau


Gurauan merupakan fitrah kejadian insan. Menafikan gurauan akan menjadikan manusia tidak normal kerana bertentangan dengan fitrah semulajadi. Secara umumnya maksud bergurau adalah perbuatan, perkataan dan sebagainya yang dapat mencuit dan menggelikan hati orang lain.


Pernah suatu ketika, Sufyan bin Uyainah ditanya apakah bergurau itu termasuk perbuatan tercela? Beliau menjawab tidak, "Bahkan, termasuk sunnah bagi yang dapat melakukannya sesuai dengan tuntutannya."

Rasulullah s.a.w. juga ada menyebutkan bahawa melakukan perbuatan yang menyenangkan orang lain boleh dikategorikan sebagai kebajikan. "Senyummu untuk saudaramu adalah kebajikan (sedekah)." (Riwayat Imam Ahmad).


Pernah suatu ketika para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau telah bergurau dengan kami. Rasulullah s.a.w. menjawab, "Sesungguhnya tidaklah aku berbicara, kecuali yang benar." (HR Tirmidzi).


Namun begitu, perlu disedari bahawa penanda aras atau kayu ukur dalam melakukan gurauan, lawak dan kelakar perlu bersikap benar bukan berbohong.


Tahukah kita bahawa Rasulullah s.a.w. juga berjenaka dengan ahli keluarga dan sahabat baginda? Berikut dibawa untaian kisah gurauan Rasulullah s.a.w. supaya menjadi teladan bersama dalam kehidupan.

Kisah pertama : Anas bin Malik r.a. mengkhabarkan, “Sesungguhnya ada seorang lelaki meminta kepada Rasulullah s.a.w. agar ia dibawa naik kenderaan. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Baik, aku akan membawamu di atas anak unta betina”. Lelaki itu berkata: “Wahai Rasulullah, apa yang dapat aku lakukan dengan anak unta betina itu?” Rasulullah SAW bersabda: “Bukankah yang melahirkan unta itu unta betina?”
Kisah kedua : Suatu ketika Rasulullah s.a.w. didatangi oleh seorang nenek tua yang bertanya, "Apakah kelak saya boleh masuk syurga?" Nabi pun menjawab, "Tidak akan ada orang tua di dalam syurga."

Mendengar jawapan itu, spontan nenek tersebut menangis. Lalu Rasulullah berkata kepadanya : “Bahawa kelak tidak ada orang tua di dalam syurga kerana semua ahli syurga akan kembali muda“.


Kisah ketiga : Telah datang seorang wanita, dia memberitahu Rasulullah s.a.w.: "Ya Rasulullah, suamiku jatuh sakit. Dia memanggilmu". "Semoga suamimu yang dalam matanya putih", kata Rasulullah s.a.w. Perempuan itu kembali ke rumahnya. Dan dia pun membuka mata suaminya. Suaminya bertanya dengan kehairanan, "Kenapa kamu ini?". "Rasulullah s.a.w. memberitahu bahawa dalam matamu putih", kata isterinya menerangkan. "Bukankah semua mata ada warna putih?" kata suaminya.


Etika Bergurau Dalam Islam


Sekali lagi umat Islam diingatkan supaya tidak berlebihan dalam bergurau sehinggakan memperdayakan atau memperbodoh-bodohkan sesama sendiri. Bergurau dibenarkan dalam Islam, tetapi ada batasnya. Berikut digariskan beberapa panduan supaya tidak tersasar dalam bergurau :


a) Tidak menggunakan perkara yang bohong sebagai alat untuk manusia tertawa. “Celakalah orang yang berkata-kata, maka dia berbohong untuk membuat orang lain ketawa, celakalah dia, celakalah dia, celakalah dia”. (Sunan Abu Daud)


b) Gurauan tidak mengandungi penghinaan terhadap orang lain. Sabda Nabi s.a.w. : “Cukuplah seseorang itu melakukan kejahatan, apabila dia menghina saudaranya semuslim”. (Riwayat Muslim)


c) Melawak yang tidak menakutkan orang lain. Nu’man bin Basyir ra berkata: Sesungguhnya kami bersama Rasulullah saw dalam satu perjalanan. Seorang lelaki mengantuk di atas tunggangannya. Seorang lelaki yang lain mengambil anak panah dari busurnya dan mengejutkan lelaki yang mengantuk yang menyebabkan dia terperanjat. Rasulullah saw bersabda : Haram bagi seorang lelaki menakutkan orang Islam”.


d) Jangan melawak ditempat yang serius dan jangan serius di tempat melawak. Dalam Islam ada tiga perkara yang dianggap diambil hukumnya walaupun dalam keadaan melawak. Nabi saw bersabda : “Tiga perkara yang mana yg mana diambil hukumnya samaada dalam keadaan melawak atau serius: nikah, cerai dan membebaskan hamba”.


e) Hendaklah melawak sekadar perlu dan tidak berlebihan. Pesan Nabi s.a.w. “Janganlah kamu banyak ketawa. Sesungguhnya banyak ketawa boleh mematikan hati.” (Riwayat Ahmad dan Ibn Majah)


Bersederhanalah dalam bergurau supaya mudah didampingi. Berlebihan dalam bergurau akan menghilangkan keindahan dan menyebabkan dijauhi. Semoga bermanfaat sebagai renungan bersama.


Azri Bin Bhari

Pegawai Hal Ehwal Islam,

Pusat Pemikiran & Kefahaman Islam

UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.

31 MAC 2010 : 4:17pm

No comments: