Thursday, August 13, 2009

Amalan Bulan Rejab & Sya'ban

Menjadi kecelaruan dikalangan masyarakat Islam di Malaysia berkaitan amalan-amalan sunat yang dilakukan di bulan Rejab dan Sya'ban. Sewajarnya perkara ini diselesaikan dengan baik supaya tidak menimbulkan masalah tuduhan bid'ah di kalangan orang awam.

Boleh diibaratkan amalan-amalan sunat yang digalakkan di bulan Rejab dan Sya'ban mempunyai peranan tersendiri sebagai kelas persediaan atau bengkel permulaan untuk memasuki madrasah Ramadhan. Begitu juga amalan yang dilakukan di malam Nisfu Sya'ban yang baru kita tempuhi adalah latihan awal supaya menghargai dan tidak melepaskan peluang menghidupkan malam-malam di bulan ramadhan kelak dengan qiam dan munajat.

Amalan-amalan yang dilakukan sepanjang bulan Rejab dan Sya'ban adalah baik, mendatangkan pahala dan tidak bercanggah dengan Islam. Maka sewajarnya diteruskan dan digalakkan kepada seluruh umat Islam untuk melakukannya.

Memang amalan-amalan tersebut tidak dilakukan secara khusus oleh Nabi s.a.w. Tetapi tidak beerti amalan tersebut berdosa dilakukan dan ditolak mentah-mentah. Boleh saja amalan tersebut dilakukan dengan harapan diganjarkan pahala oleh Allah s.w.t. dan tidak menyandarkan amalan tersebut pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w. secara khusus.
1. Berdoa

Suatu amalan yang baik diamalkan apabila tiba bulan rejab dan sya'ban, adalah digalakkan berdoa sebanyak mungkin seperti berikut :

اللهم بارك لنا فى رجب وشعبان وبلغنا رمضان

"Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab, Sya'ban dan sampaikanlah (panjangkanlah umur) kami ke bulan Ramadhan".

2. Puasa Rejab

Hukum berpuasa di bulan Rejab sama seperti berpuasa di bulan-bulan yang lain iaitu tidak ada larangan dan tidak ada galakan secara khusus. Secara asas, berpuasa memang digalakkan pada setiap bulan dan terdapat juga hadis yang mensunatkan kita berpuasa di bulan-bulan Haram di mana bulan Rejab tergolong di dalamnya.

Said bin Jubair r.a. (seorang Tabi’iin) pernah ditanya berkenaan puasa Rejab. Beliau menjawab; Aku telah mendengar Ibnu ‘Abbas r.a. berkata; “Adalah Rasulullah s.a.w. kadang-kadang terus-menerus berpuasa hingga kami menganggap beliau tidak berbuka langsung, dan kadang-kadang beliau terus-menerus berbuka hingga kami menganggap beliau tidak berpuasa langsung” (Riwayat Imam Muslim).

3. Puasa Sya'ban

Hukum berpuasa keseluruhan hari di bulan Sya’ban atau kebanyakan harinya adalah sunat. Ini berdasarkan hadith berikut :

Dari Ummu Salamah r.ha. yang menceritakan; “Tidak pernah Nabi s.a.w. berpuasa (sunat) sebulan penuh dalam setahun kecuali di bulan Sya’ban di mana baginda menyambungnya dengan Ramadhan”
(HR Imam Abu Daud dan an-Nasai).

‘Aisyah r.ha. pula menceritakan; “Rasulullah s.a.w. kadang-kadang terus-menerus berpuasa hingga kami menganggap beliau tidak berbuka langsung, dan kadang-kadang beliau terus-menerus berbuka hingga kami menganggap beliau tidak berpuasa langsung. Namun demikian, aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan, dan aku tidak pernah melihat beliau paling banyak berpuasa sebagaimana beliau berpuasa di bulan Sya’ban”.
(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

4. Hikmah Puasa Bulan Sya'ban

Seorang sahabat bernama Usamah bin Zaid r.a. pernah bertanya Nabi s.a.w. kenapa beliau banyak berpuasa di bulan Sya’ban? Nabi s.a.w. menjawab; “Bulan Sya’ban itu adalah bulan yang selalu dilupai oleh manusia di mana kedudukannya di tengah antara Rejab dan Ramadhan. Namun ia adalah bulan diangkat amalan-amalan hamba kepada Tuhan Pencipta Alam. Maka aku menyukai amalanku diangkat ketika aku berpuasa” (Riwayat Imam an-Nasai. Hadis menurut Syeikh al-Albani adalah hasan).

5. Amalan Malam Nisfu Sya'ban

Tiada amalan khusus dari Nabi s.a.w. yang ditinggalkan kepada umatnya pada malam tersebut. Namun melakukan amalan membaca surah Yaasin sebanyak 3 kali adalah pilihan sendiri dengan tidak menyandarkan bahawa Nabi s.a.w. pernah melakukan amalan tersebut.

Kenapa perlu ditentang golongan yang buat kebaikan dengan membaca surah Yaasin pada malam tersebut? Sedangkan amalan tersebut baik dan tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Bahkan ada hadith Nabi s.a.w. menjelaskan sesiapa yang membaca satu huruf dari al-quran, maka 10 kebajikan bagi dirinya.

Bagi penulis, beramallah selagi terdaya buat bekalan di akhirat nanti. Hidup beribadah adalah misi utama seorang hamba yang bergelar manusia di atas bumi ini.

Wallahu 'Alam.

No comments: