Thursday, July 30, 2009

KENAPA MARAH?

Jangan marah,
marah itu gaduh,
marah itu hodoh,
marah itu parah,
marah itu tidak endah,
marah itu nafsu amarah,

marah itu berang,
marah itu garang,
marah itu bengang,
marah itu tidak girang,

marah itu bermuka masam
marah itu merupakan sifat manusia terpendam

Sabda Nabi s.a.w. :
"Siapakah yang kalian anggap perkasa? Kami menjawab : Orang yang tidak dapat dikalahkan oleh sesiapa. Nabi bersabda : Bukan itu, tetapi orang yang dapat mengawal diri ketika marah."
(Riwayat Muslim)

Nasihat Ulamak Berkaitan Sifat Marah

Abdullah bin Mas’ud berkata : “Perhatikan sifat lemah-lembut seseorang ketika marah dan perhatikan sifat amanahnya ketika dia rakus! Pengajaran yang diperoleh daripada sifat lemah-lembutnya apabila dia tidak marah dan dengan sifat amanahnya apabila dia tidak rakus.”

Khalifah Umar Abdul Aziz telah menulis surat kepada wakilnya, “Anda tidak (harus) menjatuhkan hukuman ke atas seseorang ketika anda marah. Tahanlah orang itu dulu dan apabila perasaan marah itu sudah tenang, maka keluarkan orang itu dan jatuhkan hukuman mengikut dosanya (kesalahannya) dan anda tidak menghukum lebih daripada lima belas kali sebat.”

Saiyidina Umar al-Khattab dalam pidatonya selalu berkata, “Orang yang beroleh kemenangan ialah orang yang mengawal dirinya daripada kerakusan, hawa nafsu dan kemarahan.”

Abdullah al-Mubarak ketika menjawab pertanyaan supaya memberikan kesimpulan mengenai pengertian budi pekerti berkata, “Meninggalkan marah.”

Wahab bin Munabbih berkata, “Kufur itu terdiri daripada empat faktor iaitu marah, nafsu syahwat, bodoh dan tamak.”

Panduan Mengatasi Sifat Marah
  1. Memerhatikan pelbagai nasihat dari al-quran, al-hadith, nasihat para ulamak berkaitan keutamaan menahan sifat marah serta bersifat santun.
  2. Perlu malu dengan Allah s.w.t akan segala perlakuan dan Allah sentiasa memerhatikan segala perlakuan dan sikap biadab insan.
  3. Bila datang rasa hendak marah, ingatlah manusia ini hanyalah hamba yang hina.
  4. Banyakkan berdiam diri dan berdoa kepada Allah agar diselamatkan daripada sifat marah.
  5. Hendaklah ingat kesan daripada sifat marah itu mungkin akan membawa kepada permusuhan dan pembalasan dendam dari orang yang dimarahi.
  6. Cuba bayangkan betapa buruknya rupa diri ketika sedang marah.
  7. Apabila datang marah, banyakkan baca Ta’awwuz kerana marah itu datangnya daripada syaitan.
  8. Apabila marah sedang memuncak, ambil wudhuk kerana wudhuk dapat menenangkan api kemarahan yang sedang membara.
  9. Jikalau tidak boleh hilang marah dengan hal tersebut di atas, hendaklah duduk atau baring. Kerana ianya akan meredakan perasaan marah apabila berbuat demikian.
Justeru itu, berusahalah mengawal diri dari sifat marah. Agar hidup kita terarah.

Rujukan :
Sa'd Hawwa (2008), Intisari Ihya' Ulumuddin Imam al-Ghazali : Mensucikan Jiwa, Kaedah Tazkiyatun Nafs Bersepadu, terj : Aunur Rafiq Shaleh Tamhid, Selangor : Pustaka Dini Sdn. Bhd.

No comments: