Saturday, May 17, 2008

Selamat Hari Guru...

PM umum skim baru kenaikan pangkat guru

PENGHARGAAN: Abdullah bersalam dengan seorang daripada empat Tokoh Guru 2008, Abu Bakar Shawkat Ali dari Ujong Pasir, Melaka, sambil diperhatikan Hishammuddin (kanan) serta Mohd Ali (tiga dari kiri) pada pelancaran Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-37 di Dewan Seri Negeri Ayer Keroh, Melaka, semalam.

MELAKA: Sempena sambutan Hari Guru 2008, kerajaan semalam mengumumkan beberapa insentif kepada warga pendidik dalam usaha memperkukuh dan memperkasakan lagi profesion perguruan di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata kerajaan bersetuju mengambil kira pengalaman mengajar guru semasa dalam skim bukan siswazah DGA untuk pertimbangan kenaikan gred secara 'time based' selepas berada dalam skim siswazah iaitu dari gred DG41 ke DG44.

Langkah itu, katanya, bertepatan gagasan kerajaan membangunkan modal insan, selain bersesuaian dengan dasar pensiswazahan guru sebagai galakan golongan terbabit melanjutkan pengajian sekali gus memantapkan mutu serta daya saing.

"Kaedah yang akan digunakan ialah setiap tiga tahun pengalaman di gred DGA29 akan dikira sebagai satu tahun pengalaman di gred DG41, tertakluk kepada had maksimum pengiraan sebanyak tiga tahun pengalaman DG41.

"Insentif ini adalah satu tambahan kepada keputusan kerajaan sebelum ini iaitu untuk memberikan hadiah kenaikan gaji," katanya disambut tepukan gemuruh kira-kira 3,000 warga pendidikan yang menghadiri majlis sambutan itu di Ayer Keroh, petang semalam.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Tokoh Kepemimpinan Guru 2008 kepada Datuk Rashdi Ramlan serta Tokoh Guru kepada Datuk Dr Dzulkarnain Abd Rahman, Abu Bakar Shawkat Ali serta Krishnasamy Karpaya.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom.

Abdullah berkata, kerajaan meluluskan cadangan supaya guru gred DG41 yang berasal dari skim bukan siswazah dan memegang jawatan guru besar, dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat ke gred DG44 selepas tiga tahun berkhidmat sebagai guru besar gred DG41.

Selepas menambah kuota jawatan dalam skim cemerlang pada 2006 sebanyak lebih 300 peratus dan memastikan jawatan berkenaan dapat dinikmati segera oleh guru, kerajaan juga bersetuju menambah baik beberapa syarat bagi skim guru cemerlang.

"Pertama, bagi pengisian jawatan guru cemerlang DGA32 dari gred asal DGA29 dan jawatan guru cemerlang DG44 dari gred asal DG41, syarat tempoh kelayakan dipendekkan daripada tujuh tahun kepada lima tahun pengalaman mengajar.

"Kedua, pegawai yang sudah dinaikkan pangkat guru cemerlang di sesuatu gred boleh dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat ke gred selanjutnya tanpa perlu menunggu tempoh tiga tahun perkhidmatan dalam gred sedang disandang," katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga memperuntukkan 10 peratus daripada kuota sedia ada untuk diberikan kepada pengelola dan guru yang berkhidmat di Kementerian Pelajaran, jabatan pelajaran negeri dan pejabat pelajaran daerah dengan syarat mereka cemerlang.

Selain itu, gred pegawai pelajaran daerah (PPD) dinaikkan dari DG48 ke gred DG52 dan DG54, disamping menyeragamkan struktur pejabat berkenaan di seluruh negara dengan memansuhkan pejabat pelajaran gabungan bagi Sabah dan Sarawak.

"Disamping kenaikan PPD, penambahbaikan ini juga akan mewujudkan ratusan jawatan kenaikan pangkat baru untuk guru yang berkhidmat di pejabat pelajaran daerah," katanya.

Abdullah berkata kerajaan juga meluluskan cadangan penstrukturan baru Kementerian Pelajaran selepas kali terakhir dilakukan pada 1995. Peringkat awal kelulusan itu membabitkan pertambahan jawatan dan kenaikan gred bagi jawatan pengurusan tertinggi dan ketua bahagian dari gred 54 ke Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) A.

"Sebagai contoh, semua jawatan timbalan ketua pengarah pelajaran kini diseragamkan pada gred jusa A berbanding sebelumnya yang berbeza iaitu gred Jusa A, B, C dan DG54. Penambaikan dan penstrukturan semula kementerian dan PPD ini disasarkan akan dapat memantapkan sistem penyampaian pendidikan di setiap peringkat," katanya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/BeritaUtama/20080517003830/Article/index_html

Tiga langkah kekalkan profesionalisme guru

Pelbagai insentif, kemudahan dan keistimewaan dinikmati pendidik.

KEMENTERIAN Pelajaran melaksanakan tiga langkah khusus bagi mengekalkan momentum perkembangan profesionalisme guru supaya terus lestari dan sentiasa berada pada tahap tinggi.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata langkah berkenaan ialah meneruskan program berkembar latihan perguruan dengan institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara bagi subjek kritikal.

Selain itu, beliau berkata, mengkaji semula beban tugas guru, dan menggalak serta menyebarluaskan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di kalangan guru, terutama untuk mengintegrasikannya dalam pengajaran dan pembelajaran.

“Profesion keguruan kini berada pada tahap amat baik. Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran menyediakan pelbagai insentif, kemudahan dan keistimewaan yang dinikmati guru ketika ini.

“Tidak salah jika saya nyatakan bahawa hasrat memartabatkan profesion keguruan berada pada landasan betul dan kukuh, justeru mampu melahirkan warga guru yang menyumbang ke arah kecemerlangan negara.

“Kementerian memilih ‘Guru Cemerlang Negara Terbilang’ sebagai tema sambutan Hari Guru tahun ini. Sejak negara mencapai kemerdekaan hinggalah sekarang, kerajaan tidak pernah mengabaikan warga guru.

“Malah, pelbagai insentif diberi seperti peluang kenaikan pangkat, kenaikan gred jawatan serta pertambahan kuota jawatan untuk guru, termasuk Pengetua Cemerlang dan Guru Cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2008 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, di Dewan Sri Negeri, Ayer Keroh, Melaka, semalam.

Hadir sama Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; dua Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail dan Datuk Dr Wee Ka Siong; serta Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang.

Seterusnya, Alimuddin berkata, pendekatan telus, prihatin, mesra rakyat dan berwibawa Hishammuddin selaku pemimpin kementerian, banyak membawa pembaharuan bukan saja kepada pembangunan dan perkhidmatan pendidikan, malah meningkatkan rasa bangga serta kasih warga guru terhadap profesion mereka.

Katanya, contoh teladan, budi baik dan jasa Hishammuddin selama ini menjadi pemangkin serta dorongan kepada warga pendidikan untuk terus memberi perkhidmatan terbaik melalui pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru seluruh warga guru agar menunjukkan rasa terima kasih dan penghargaan atas segala usaha kerajaan dengan menjadikan kualiti serta kecemerlangan sebagai budaya dan juga identiti profesion keguruan negara.

“Sesungguhnya masa depan dan kelangsungan negara terletak pada tangan generasi muda hari ini yang menjadi modal insan negara. “

Justeru, pendidikan disampaikan perlu berkualiti dan diurus dengan cekap serta berkesan supaya meninggalkan impak positif kepada pembangunan ilmu, kemahiran dan juga akhlak mulia di kalangan anak-anak kita agar mereka mampu bersaing pada peringkat global,” katanya.

No comments: