Friday, March 28, 2008

Muhasabah diri

Marilah kita sama-sama hayati dan renungkan setiap persoalan ini untuk memastikan adakah kita ini menjalani kehidupan seharian kita sebagai seorang muslim....
  1. Adakah anda solat subuh berjemaah setiap hari?

  2. Adakah anda memelihara setiap solat anda?

  3. Adakah anda hari ini telah membaca Al-Quran?

  4. Adakah menjadi rutin bagi anda membiasakan diri membaca wirid dan zikir selepas solat?

  5. Adakah anda melaksanakan solat-solat sunat rawatib, ba’diyah dan qabliyah?

  6. Adakah hari ini anda khusyuk dalam solat dengan merenungi dan memahami setiap bacaannya?

  7. Adakah anda sentiasa ingat mati dan alam kubur?

  8. Adakah anda ingat akan hari kiamat dan hari akhirat dan segala peristiwa dan kedahsyatannya?

  9. Adakah anda sentiasa berdoa kepada Allah memohon dimasukkan ke dalam syurga? Kerana barang siapa yang memohon akan syurga Allah, maka syurga itu akan berdoa “Ya Allah, masukkan lah ia ke dalam syurga”.

  10. Adakah anda sentiasa berdoa kepada Allah memohon supaya diselamatkan dari neraka? Kerana barang siapa yang memanjatkan doa tersebut, maka neraka itu akan berdoa “Ya Allah, selamatkanlah dia dari api neraka”.

  11. Adakah hari ini anda berdoa kepada Allah supaya Allah menetapkan hati mu dalam agamaNya?

  12. Adakah hari ini anda beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepadaNya di atas segala dosa anda?

  13. Adakah hari ini anda menangis lantaran takut kepada Allah s.w.t?

  14. Adakah anda memanfaatkan waktu-waktu terkabulnya doa dan pada saat itu anda memohon kepadaNya?

  15. Adakah anda sentiasa menambah pengetahuan anda tentang agama?

  16. Adakah anda berdoa memohon keampunan untuk setiap muslimin dan muslimat kerana sesungguhnya memohon keampunan saudara mu yang beriman merupakan satu hasanah?

  17. Adakah anda sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang Allah kurniakan?

  18. Sudahkah anda meninggalkan rasa benci kerana diri anda dan berusaha membenci sesuatu kerana Allah?

  19. Sudahkah anda menjauhkan sifat takkabur, sombong dan riya’?

  20. Adakah anda berbuat baik dan berbakti kepada kedua orang tuamu?

  21. Sudahkah anda bertaubat kepada Allah dengan taubat yang seikhlasnya pada setiap waktu di atas dosa-dosa dan kesalahan yang telah anda lakukan?
Marilah kita renungkkan bersama² .....

Wednesday, March 26, 2008

Hukum potong kuku dan rambut semasa haid

Soalan :
Apakah hukum memotong kuku dan rambut ketika haid?

Oleh kerana penulisan terhadap soalan ini telah ada, jadi saya salin jawapan dari http://www.zaharuddin.net/

Jawapan :
Disebutkan di dalam syarah al-‘Iqna’ Matan Abi Syuja’ ( 1/60 ), menurut Imam al-Ghazzali di dalam Ihya Ulumiddin, bahawa tidak seharusnya seseorang yang berjunub memotong kuku atau mencukur bulu dan rambutnya kerana semua tadi akan dikembalikan di hari akhirat nanti dalam keadaan junub ( tidak bersih) .

Bagaimanapun, setelah diteliti asas kepada pendapat ini, maka tiada didapati sebarang dalil yang menyokongnya kecuali logik aqal semata-mata tadi. Demikian menurut Syeikh Sayyid Sabiq, Syeikh Atiyyah Saqar dan Dr. Rif`at Fawzi, professor Shari`ah di Univ. Kaherah

Soalan ini pernah di tujukan kepada Imam Ibn Taymiah di dalam kitabnya “Ghiza’ al-albab, 1/382 ) maka beliau menjawab : “ Tidak aku ketahui hukum makruh membuang rambut dan bulu dan kuku ketika junub, bahkan Nabi SAW bersabda : “ Sesungguhnya seorang mukmin tidak najis (tubuhnya) samada hidup ataupun mati”, malah Nabi memberitahu : “ buangkan darimu bulu-bulu kufur (yang tidak dicukur semasa kafir) dan berkhatanlah (apabila masuk Islam) “ maka arahan Nabi tidak menunjukkan sebarang tangguh cukur selepas mandi. Demikian juga diperintah wanita haid agar menyikat rambutnya semasa mandi junub, yang mana diketahui bahawa dengan menyikat ini boleh menggugurkan rambut (sebelum tamat mandi)..justeru apa yang dikatakan sebenarnya tiada asalnya.”

Tiada sebarang halangan untuk memotong kuku secara junub. Pandangan ini juga datang dari tokoh ulama Tabien iaitu Ato’ bin Abi Rabah. ’Ata disebut pernah menyatakan seseorang boleh melakukannya dalam keadaan junub, malah dalam keadaan junub dan tidak berwudu’ (Riwayat al-Bukhari)

Sebagai makumat tambahan, kemestian menanam rambut, kuku yang dipotong dan sebagainya juga tiada sebarang dalil (kecuali jika dibimbangi akan diambil dan disihirkan), demikian juga larangan memotong kuku di waktu malam.

Wallahu a’lam

Cara Melakukan Solat Istikharah

Soalan :
Bagaimana cara melakukan solat Istikharah?
Apakah bentuk pertunjuk atau tanda yang akan diperolehi selepas melakukan solat Istikharah?
Oleh kerana penulisan terhadap soalan ini sudah ada, jadi saya salin semula dari http://ilmudanulamak.blogspot.com/search/label/Ibadah

Jawapan :
Bismillahirrahmanirrahim,

1. Solat Istikharah bermaksud solat untuk memohon kepada Allah agar ditunjukkan keputusan yang terbaik dalam urusan kita yang menimbulkan keraguan dan kesangsian. Solat ini disunatkan –sekalipun bagi urusan-urusan kecil atau remeh- berdasarkan hadis Jabir bin ‘Abdullah r.a. yang menceritakan;

“Rasulullah s.a.w. mengajar kami beristikharah dalam segala urusan kami seperti beliau mengajar surah al-Quran. Baginda bersabda; ‘Apabila seseorang kamu hendak mengerjakan sesuatu, hendaklah ia bersolat dua rakaat yang bukan solat fardhu. Setelah selesai solat, hendaklah ia membaca doa;

اللَّهُمَّ إنِّي أسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ، وأسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ، وَأسألُكَ مِنْ فَضْلِكَ العَظِيمِ، فإنَّكَ تَقْدِرُ ولا أَقْدِرُ، وَتَعْلَمُ وَلا أعْلَمُ، وأنْتَ عَلاَّمُ الغُيُوبِ، اللَّهُمَّ إنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أنَّ هَذَا الأمْرَ خَيْرٌ لي فِي دِيني وَمَعاشِي وَعاقِبَةِ أمْرِي، وَعَاجلِ أمْرِي وآجِلِهِ، فاقْدُرْهُ لِي وَيَسِّرْهُ لي، ثُم بارِكْ لي فِيهِ، وَإنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أنَّ هَذَا الأمْرَ شَرٌّ لي في دِينِي وَمعاشِي وَعاقِبَةِ أمْرِي، وَعاجِلِ أمْرِي وآجِلِهِ، فاصْرِفْهُ عَنِّي، وَاقْدُرْ لِيَ الخَيْرَ حَيْثُ كانَ ثُمَّ رَضِّنِي بِهِ

“Ya Allah! Aku memohon petunjuk dariMu tentang mana yang lebih baik untukku berdasarkan ilmuMu, dan aku memohon kekuatan dariMu untukku dengan kudratMu serta aku memohon kepadaMu kurniaanMu yang besar. Sesungguhnya Engkau maha berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau maha tahu sedang aku tidak mengetahui. Engkaulah Tuhan yang maha mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah! Jika Engkau mengetahui urusan ini baik untukku bagi agamaku, kehidupanku, bagi natijah urusanku serta bagi urusanku masa kini dan masa depan, maka takdirkanlah ia untukku dan mudahkanlah ia bagiku, kemudian berkatilah aku dalam melakukannya. Dan jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini buruk untukku bagi agamaku, kehidupanku, bagi natijah urusanku serta bagi urusanku masa kini dan masa depan, maka palingkanlah ia dariku dan takdirkanlah untukku apa yang baik bagiku dalam apa rupa sekalipun, kemudian jadikanlah hatiku redha menerimanya”.Hendaklah ia menyebutkan hajatnya (semasa berdoa itu). (Riwayat Imam al-Bukhari).

2. Sunat Istikharah hanyalah bagi urusan-urusan yang harus sahaja seperti perkahwinan, perniagaan, untuk keluar bermusafir dan sebagainya. Adapun urusan-urusan yang diwajibkan atau disunatkan Syarak, tidak perlu lagi istikharah kerana ia disuruh oleh Syarak. Setiap yang disuruh oleh syarak adalah jelas baik tanpa syak lagi. Begitu juga dengan urusan-urusan yang diharamkan oleh Syarak atau dimakruhkan, tidak perlu lagi diistikharahkan kerana ia dilarang oleh Syarak dan setiap yang dilarang oleh Syarak adalah buruk tanpa syak lagi.

3. Solat istikharah boleh dilakukan pada bila-bila masa yang dikehendaki asalkan bukan di dalam waktu-waktu yang dilarang solat sunat.

4. Menurut Imam Nawawi dalam kitabnya al-Azkar; disunatkan membaca dalam rakaat pertama –selepas al-Fatihah- surah al-Kafirun dan dalam rakaat kedua surah al-Ikhlas. Jika seseorang tidak dapat mengerjakan solat, bolehlah ia beristikharah dengan membaca doa sahaja. Semasa berdoa, sunat dimulakan dengan memuji Allah dan mengucapkan selawat serta salam kepada Nabi Muhammad dan begitu juga apabila selesai berdoa.

5. Adapun tanda-tanda atau petunjuk Allah selepas istikharah ialah apa yang dirasai oleh hati. Selepas menunaikan solat dan berdoa kepada Allah sebagaimana tadi, hendaklah orang yang beristikharah itu melakukan apa yang hatinya berasa tenang dan yakin untuk melakukannya. Jika perlu diulangi, ulangilah istikharah itu. Ada ulamak menggalakkan Istikharah diulangi hingga tujuh kali berdasarkan hadis riwayat Imam Ibnu Sunni dari Anas r.a.; Rasulullah s.a.w. bersabda; “Jika kamu ingin melakukan suatu urusan, beristikharahlah kepada Tuhanmu tujuh kali. Kemudian lihatlah apa yang mula sampai kepada hati kamu. Sesungguhnya kebaikan ada padanya”. Namun hadis ini menurut ulamak hadis adalah lemah.

6. Satu perkara yang perlu diingat; ketika melakukan istikharah, hati hendaklah pasrah kepada Allah. Jangan melakukan istikharah dalam keadaan hati cenderung pada mana-mana keputusan kerana itu tanda kita tidak ikhlas dalam beristikharah kepada Allah. Berkata Imam Nawawi; “Sesudah istikharah hendaklah seseorang itu memilih apa yang hatinya berasa tenang/lapang untuk melakukannya. Janganlah ia berpegang dengan ketenangan hatinya yang terbit dari kehendak hawa nafsunya sebelum istikharah. Bahkan orang yang melakukan istikharah hendaklah ia meninggalkan pilihan sendiri, kerana kalau demikian bukanlah beristikharah kepada Allah namanya, tetapi beristikharah kepada nafsu sendiri. Kadang-kadang orang yang beristikharah itu tidak jujur/tidak ikhlas dalam istikharahnya dan dia tidak pasrah kepada ilmu dan qudrat Allah. Jika ia benar-benar jujur/ikhlas dalam istikharahnya, sudah tentu ia akan membebaskan hatinya dari upaya dan kekuatannya serta dari pilihannya sendiri (sebaliknya menyerahkan segala-galanya kepada Allah)”. (Rujuk; Nailul-Autar, jil. 3, hlm. 74).

Wallahu a’lam.Rujukan;
1. al-Azkar, Imam Nawawi, Kitab al-Azkar Wa ad-Da’awat…, Bab al-Istikharah.
2. at-Tajul Jami’, Syeikh Mnasur ‘Ali Nasif, jil. 1, hlm. 333.
3. Nailul-Autar, Imam as-Syaukani, jil. 3, hlm. 74.

Memikir Jauh Untuk Ummah

Bergelak gempita diulit hiburan
Hingga tergadai agama dan perjuangan
Ibu dan bapa juga nakkan hiburan
Nakkan sedikit dunia buang pensyari’atan
Tidak dengarkah tangisan bayi yang dibuang
Tidak nampakkah wanita berjalan bagaikan bertelanjang
Tidak sedarkah akidahMu di’hias’ dengan celaan
Tahu atau tidak tahu…????
Jangan buat-buat tak tahuAllah tahu apa yang engkau tahu


Wahai Da’ie,
Bangunlah dari kerusi empukmu
Dirimu layak hanya bertikar
Dimana semangat juangmu dulu
Dimana semangat takbirmu itu
Sudah dikabarkan kepadamu
Engkau hanyalah ‘kuli agama’
Ya..Kuli agama
Apakah tidak sedar dirimu wahai kuli?????
Dimana, agama dihina engkau disitu mempertahankannya
Dimana, agama dilaksana disitu engkau menjulangnya
Bangunlah memikirkan ummatmu
Sabarkan dulu nikmat DUNIA yang sekelumit
Pesankan pada dirimu dulu
NIkmat itu menanti dirimu
Di syurga sana
Masih ingat..?
Biar rebah jangan berubah?
Biar terbuang terus berjuang?

FITNAH..!!

Ku ingat pesan guruku
Ingin berjuang ‘alaika thalasah'
Kenderaanmu sebagai wasilah juangmu
Kediamanmu sebagai medan tarbiah dan melepas penatmu
Berkeluarga sebagai menjaga ilmumu
Hakikatnya semua pemudah dalam berjuang
Berjuang menuju Syahid
Menuju cintaNYA
Menuju RedhaNYA
Namun..Jika tiada semuanya untukmu
Itulah REDHO-NYA kepadaMu

Sunday, March 16, 2008

Mari Berselawat...





Rasulullah Umpama al-Quran Bergerak

Para sahabat pernah bertanyakan kepada Aisyah r.ha. mengenai akhlak Rasulullah s.a.w. Lalu Aisyah r.ha. menjawab: "Akhlak Rasulullah adalah al-Quran".

Jawapan itu dengan jelas menerangkan betapa Rasulullah s.a.w. telah menjadikan al-Quran itu sebagai sesuatu yang hidup serta dapat dilihat dan diikuti bukan saja oleh umat Islam bahkan oleh sekalian umat manusia. Justeru itu, segala ajaran dan perintah Allah s.w.t. yang terdapat di dalam al-Quran dapat kita lihat secara praktikalnya sama ada menerusi hadis yang diriwayatkan oleh periwayat hadis yang muktabar ataupun melalui sirah baginda s.a.w.

Oleh itu, segala contoh ikutan yang ingin diambil oleh umat Islam sama ada sebagai pemimpin, panglima peperangan, ketua keluarga, majikan, pendidik, pelajar, tokoh korporat dan sebagainya semuanya ada di dalam batang tubuh Rasulullah s.a.w.

Dengan itu, memperbetulkan kembali model ikutan kita dengan menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai qudwah hasanah adalah satu kewajiban dan tuntutan agama yang perlu dilakukan oleh kita umat Islam. Kisah 1 : Rasulullah s.a.w. dengan seorang wanita tua.

Pernah satu ketika Nabi Muhammad s.a.w. ternampak seorang perempuan tua hendak berjalan pulang dari pasar dengan membawa barang-barang yang agak banyak dan berat juga. Lalu Rasulullah menawarkan dirinya untuk membantu perempuan itu membawa barang-barang tersebut pulang ke rumahnya.

Perempuan tua itu rasa sungguh sukacita kerana ada orang yang mahu membantunya dan terus menerima pelawaan Rasulullah itu. Sambil berjalan menuju rumah perempuan tua itu, mereka berbual-bual tentang kisah-kisah yang hangat diperkatakan orang yang berlaku di Mekah ketika itu.

Cerita perempuan tua itu: “Wahai anak muda, di tempat kita sekarang ini ada seorang anak muda yang bernama Muhammad telah membawa ajaran baru. Angkara anak muda ini telah menyebabkan masyarakat kita berpecah belah”.

“Kehadiran anak muda itu dalam masyarakat kita telah banyak membuat kerosakan kepada kehidupan kita bermasyarakat. Gara-gara ajaran beliau, ahli keluarga berselisih faham, bergaduh dan pecah belah,” sambung orang tua itu lagi.

“Muhammad itu memang jahat, oleh itu janganlah sekali-kali kamu dekat dengan dia, nescaya nanti kamu juga akan dirosakkannya nanti,” tegas perempuan tua itu lagi memberi amaran kepada Rasullullah supaya tidak terpengaruh dengan orang yang dianggapnya jahat itu.

Apapun yang dikatakan oleh perempuan tua itu tentang Nabi Muhammad, Rasulullah sedikit pun tidak marah, malah hanya tersenyum saja.

Setelah sampai di rumah perempuan tua itu, perempuan tua itu bertanya kepada Rasulullah berapakah upah yang dia perlu bayar untuk kerja Rasulullah membawa barang-barang yang berat itu dari pasar sampai ke rumahnya tadi. Sebaliknya Rasulullah memberitahu perempuan tua itu, dia tidak mahukan upah dan hanya ingin membantu secara sukarela saja.

Perempuan tua itu berasa hairan dengan kebaikan anak muda itu lalu dia bertanya: “Terlalu baik kamu ini wahai anak muda, boleh mak cik tahu siapakah nama kamu?”.

Rasulullah menjawab: “Nama saya Muhammad, sayalah orangnya yang mak cik ceritakan tadi.”

Terduduk perempuan tua tadi bila dia tahu dia sedang berdepan dengan orang yang bernama Muhammad itu, yang mana selama ini dia mendengar Muhammad adalah orang yang sangat jahat.
Kisah 2 : Rasulullah s.a.w. dengan pengemis Yahudi

"Pada suatu sudut pasar di Madinah ada seorang pengemis Yahudi buta yang setiap harinya selalu berkata kepada setiap orang yang mendekatinya, "Wahai saudaraku, jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya maka kalian akan dipengaruhinya".

Namun, setiap pagi Rasulullah s.a.w. mendatanginya dengan membawakan makanan, dan tanpa berucap sepatah kata pun Rasulullah s.a.w. menyuapkan makanan yang dibawanya kepada pengemis itu, sedangkan pengemis itu tidak mengetahui bahwa yang menyuapinya itu adalah baginda s.a.w. sendiri. Rasulullah s.a.w. melakukan hal ini setiap hari sehingga beliau wafat.

Setelah wafatnya Rasulullah s.a.w. tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta itu. Suatu hari sahabat terdekat Rasulullah s.a.w. iaitu Abu Bakar r.h berkunjung ke rumah anaknya Aisyah r.ha. yang merupakan isteri Rasulullah s.a.w. Lalu beliau bertanya kepada anaknya itu, "Anakku, adakah kebiasaan kekasihku yang belum aku kerjakan?".

Aisyah r.ha. menjawab, "Wahai ayah, engkau adalah seorang ahli sunnah dan hampir tidak ada satu kebiasaannya pun yang belum ayah lakukan kecuali satu saja". Tanya Abu Bakar r.a. "Apakah Itu?"

"Setiap pagi Rasulullah s.a.w. selalu pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang ada di sana", kata Aisyah r.ha.

Keesokan harinya Abubakar r.a. pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikan kepada pengemis itu. Abu Bakar r.a. mendatangi pengemis itu lalu memberikan makanan itu kepadanya. Ketika Abu Bakar r.a. mula menyuapinya, si pengemis marah sambil mengherdik, "Siapakah kamu?". Abu Bakar r.a. menjawab, "Aku orang yang biasa (mendatangi engkau)."

"Bukan! Engkau bukan orang yang biasa mendatangiku", bantah si pengemis buta itu.

"Apabila ia datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut", sambil melanjutkan perkataannya.

Abu Bakar r.a. tidak dapat menahan air matanya, lalu menangis sambil berkata kepada pengemis itu, "Aku memang bukan orang yang biasa datang padamu. Aku adalah salah seorang dari sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Beliau adalah Muhammad s.a.w.".

Seketika itu juga pengemis itu pun menangis mendengar penjelasan Abu Bakar r.a. dan kemudian berkata, "Benarkah demikian? Selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, beliau tidak pernah memarahiku sedikitpun, beliau mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, beliau begitu mulia.... "

Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya melafazkan syahadah di hadapan Abu Bakar r.a. pada saat itu juga dan sejak hari itu menjadi muslim.

Kisah 3 : Rasulullah s.a.w. dengan isteri.

Ketika menjelang subuh Aisyah tidak mendapati Rasulullah s.a.w. disampingnya. Kemudian Aisyah keluar membuka pintu rumah dan terkejut bukan kepalang, melihat suaminya tidur di depan pintu.

Lalu Aisyah bertanya, "Wahai Rasulullah mengapa tidur di sini?" Lantas Rasulullah s.a.w. menjawab, "Aku pulang sudah larut malam, aku bimbang mengganggu tidurmu sehingga aku tidak mengetuk pintu, itulah sebabnya aku tidur di depan pintu."

Kisah 4 : Rasulullah s.a.w. dengan pendengki

Suatu hari ketika baginda s.a.w. melalui sebuah lorong di Madinah, seorang Yahudi menuangkan air ke atas kepala baginda dari atas rumahnya. Akan tetapi, baginda berlalu begitu sahaja tanpa marah sedikit pun setelah membersihkan diri dan bajunya di sebuah lorong.

Demikianlah perbuatan tersebut berulang kali berlaku ketika baginda s.a.w. melalui lorong tersebut.

Pada suatu hari berikutnya ketika baginda sedang melalui lorong tersebut, orang Yahudi itu tidak lagi menuangkan air di atas kepalanya. Baginda hairan, lantas bertanya : "Mengapa hari ini dia tidak menyiramkan air lagi?" Penduduk yang bermukim di sekitar lorong itu berkata: "Dia sakit". "Kita harus menjenguknya", tegas baginda s.a.w.

Ketika melihat keakraban dan kecintaan luhur di wajah Rasulullah s.a.w., orang Yahudi berasa bahawa dirinya adalah sahabat lama baginda s.a.w. dan perasaan hendak menyakiti baginda hilang musnah.