Tuesday, November 24, 2009

Titipan perkongsian dari kuliah yang telah saya sampaikan.

Kuliyah Fiqh
24 November 2009
8:30am - 9:30am
Surau al-Hidayah UiTM Johor Bahru.

Amalan sunat di bulan Zulhijjah
  1. Puasa sunat pada 1 sehingga 9 Zulhijjah.
  2. Perbanyakkan zikir (tasbih, tahmid, takbir & tahlil)
  3. Melakukan ibadah korban
  4. Disunatkan orang yang berkorban menyembelih binatang korbannya sendiri. Sekiranya tiada kemahiran untuk menyembelih, maka memadai melihat ketika binatang korban disembelih sahaja.
  5. Disunatkan tidak memotong kuku atau rambut sehingga tiba hari korban bagi yang ingin melakukan ibadah korban. Walaubagaimanapun, jika kuku dan rambut yang tidak dipotong mengganggu urusan seharian seperti terlalu kotor atau mudarat, maka boleh dipotong.
Persoalan berkaitan ibadah korban

1. Bolehkah niat korban untuk diri sendiri & keluarga sekali?

Harus niat korban untuk diri sendiri dan keluarga atau orang lain. Namun sekiranya mampu dari sudut kewangan, maka digalakkan melakukan secara asing atau bersendirian. Keharusan ini bersandarkan kepada hadis baginda s.a.w. berikut :

Nabi s.a.w. menyembelih korban dengan dua ekor kambing biri-biri dan baginda berkata : Ya Allah terimalah korban ini dari Muhammad serta ahli keluarga Muhammad.
(Riwayat Muslim)

2. Jika niat korban untuk diri & keluarga, nama siapa perlu diberi ketika menyembelih?

Memadai memberi nama wakil sahaja, kerana pahala korban bagi yang lain akan diperolehi berdasarkan niat. Sebaik-baik niat korban adalah ketika binatang korban disembelih seperti lafaz tersebut :

"Dengan nama Allah, Ya Allah terimalah korban ini dari _________ serta ahli keluarga __________." (sebutkan nama diruang kosong)

3. Siapakah yang dituntut berkorban?

Syarat sah korban adalah seperti berikut :
- Islam'
- Baligh
- Berakal
- Berkemampuan

4. Apakah Syarat binatang korban?

a) Umur

- Unta : Memasuki tahun keenam
- Lembu : Memasuki tahun ketiga
- Kambing biri-biri : Memasuki tahun kedua

b) Selamat (tidak cacat)

Rasulullah s.a.w. bersabda : Empat perkara yang menyebabkan binatang korban tidak memadai (tidak sah) untuk dikorbankan; yang jelas buta sebelah mata, yang jelas sakit, yang jelas tempang dab yang terlalu kurus hingga tidak berotak.

5. Bilakah waktu korban?
  • Pada hari raya korban bersamaan 10 Zulhijjah. Waktunya bermula selepas terbit matahari hari raya koban sekadar sempat ditunaikan dua rakaat solat dan dua khutbah.
  • Pada hari tasyriq bersamaan 11, 12, 13 Zulhijjah.
6. Bagaimana mengagihkan daging korban?
  • Sekiranya korban itu wajib, samada dengan nazar atau ditentukan, maka tidak boleh bagi orang yang melakukan korban dan orang yang dibawah tanggungannya memakan daging korban tersebut. Sekiranya ada yang memakan sedikit darinya, maka hendaklah diganti dengan daging lain atau dibayar dengan nilaian (sekadar daging yang dimakan).
  • Sekiranya korban itu sunat, maka cara pembahagian adalah seperti berikut :
- 1/3 dimakan oleh orang yang melakukan koban
- 1/3 disedekahkan kepada fakir miskin
- 1/3 dihadiahkan kepada sahabat, jiran
(orang yang kaya/berkemampuan)


7. Bolehkah daging korban dijual?
  • Bagi orang yang berkorban dan orang yang kaya tidak boleh menjual daging korban tersebut, hanya untuk dimakan sahaja.
  • Bagi orang fakir dan miskin boleh menjual atau memakan daging tersebut kerana pemberian daging korban untuk dimiliki.
8. Apa patut dibuat dengan kulit binatang korban tersebut?

Bagi orang yang berkorban, boleh sedekahkan kulit binatang korbannya atau dimanfaatkan untuk dirinya. Tetapi tidak boleh dijual atau diberi kepada tukang sembelih sebagai upah kepada penyembelihan. Ini kerana perbuatan tersebut boleh menyebabkan kekurangan pada binatang korban dan merosakkan ibadah korbannya.

Nabi s.a.w. bersabda : Sesiapa yang menjual kulit binatang korbannya, maka tidak ada korban baginya.

9. Apakah hukum memberi daging korban kepada non-muslim?

Para ulamak berbeza pendapat dalam perkara ini, sebahagian menyatakan haram, ada yang menyatakan makruh dan Mazhab Hanafi dan Hanbali mengatakan harus kerana ia bukan sedekah wajib. Walaubagaimanapun, sebaik-baiknya mendahulukan umat Islam.

10. Manakah yang lebih utama berkorban atau membayar hutang?

Membayar hutang adalah lebih utama dari korban. Tidak wajar mendahulukan korban yang hukumnya sunat dari melunaskan hutang yang hukumnya wajib. Namun, jika tempoh melunaskan hutang masih jauh dan cara pembayaran hutang secara terancang serta diyakini pendapatan akan datang mencukupi , maka ketika itu boleh melakukan korban.

11. Bolehkah melakukan korban dengan cara berhutang atau bayar secara ansuran?

Tidak boleh, kerana syarat melakukan korban mesti berkemampuan. (Lihat syarat korban di atas)

Wallahu 'Alam

Sumber Rujukan :

1- Kitab Fiqh Manhaji
2- Kitab al-Iqna'
3- Fiqh al-Islami wa Adillatuh

Azri bin Bhari
Larkin
6:54pm

Tafsir Surah al-Ikhlas

Titipan perkongsian dari kuliah yang telah saya sampaikan.

Kuliyah Tafsir
20 November 2009
8:30am - 9:30am
Pejabat Bendahari UiTM Johor Bahru.

Terjemahan Surah al-Ikhlas
  1. Katakanlah (wahai Muhammad), Dialah Allah yang Maha Esa.
  2. Allah tempat berharap
  3. Tidak beranak dan tidak diperanakkan.
  4. dan tidak ada yang setara denganNya.
Sebab Turun Surah

Surah ini diturunkan kerana suatu ketika orang musyrikin telah berkata kepada Rasulullah s.a.w. : Wahai Muhammad! Sifatkan kepada kami Tuhan anda? Maka Allah menurunkan surah al-Ikhlas untuk menjelaskan pertanyaan mereka.

Kelebihan Surah

Nabi s.a.w. bersabda : "Adakah di kalangan kamu ini orang yang tidak mampu membaca satu pertiga al-quran pada satu malam? Sesungguhnya sesiapa yang membaca surah al-Ikhlas pada satu malam, maka dia telah membaca pada malam tersebut satu pertiga al-quran".

Tafsir Surah

Ayat pertama surah ini menjelaskan Allah s.w.t. bersifat Esa dan menafikan wujudnya banyak Tuhan atau zat Tuhan.

Ayat kedua pula menjelaskan Allah s.w.t. tempat berharap dan bergantung. Ini menunjukkan Allah s.w.t. amat sempurna dan menjadi tempat menggantungkan harapan makhluk untuk memenuhi keperluan serta menyelesaikan permasalahan mereka.

Ayat ketiga menjelaskan bahawa Allah s.w.t. tidak mempunyai anak dan ibu bapa. Sekaligus menolak dakwaan kepercayaan orang Yahudi bahawa Uzair anak Allah, keyakianan orang Kristian bahawa Isa anak Allah, kepercayaan orang Musyrikin bahawa Latta dan Uzza (berhala) sebagai Ttuhan dan sebagainya.

Ayat terakhir pula menjelaskan tiada sesiapa yang sekutu atau sebanding dengan Allah s.w.t. dalam kekuasaan dan sebagainya. Ini adalah untuk menolak kepercayaan orang Arab bahawa para malaikat adalah sekutu Allah dan patung berhala adalah gandingan Allah.

Wallahu 'Alam

Sumber Rujukan :
1- Tafsir al-Munir - Dr. Wahbah al-Zuhayli
2- Tafsir al-Quran al-'Azim - Ibn Kathir

Friday, November 20, 2009

Benarkah Hari Kiamat Pada 2012?

SOALAN

Salam, maaf ustaz menganggu. Sebenarnya, email seperti ini dah banyak kali saya terima. Dan jika dilihat pada laman web NASA, mereka juga meramalkan Planet X akan melanggar bumi pada 2012.

Apa pandangan ustaz dalam hal ini? Mohon khidmat nasihat dan bimbingan dari Ustaz, maklumlah saya ni hanya manusia biasa yang banyak tidak tahu.

Terima kasih.

JAWAPAN

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.

Terima kasih bertanya. Mudah-mudahan kita memperolehi hidayah dan ilmu dari Allah s.w.t.

1. Sekadar pengetahuan saya, hadis tersebut adalah dhaif/lemah.

Imam al-Qurtubi ada menjelaskan di dalam kitabnya al-Tazkirah berkaitan hal ehwal Hari Kiamat perlu berdasarkan hadis sahih :

إن ما أخبر به النبي صلى الله عليه وسلم من الفتن والكوائن أن ذلك يكون، وتعيين الزمان في ذلك من سنة كذا، يحتاج إلى طريق صحيح يقطع العذر، وإنما ذلك كوقت قيام الساعة، فلا يعلم أحد أي سنة هي، ولا أي شهر.

Maksudnya:

Perkara yang diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. tentang fitnah dan perkara yang bakal berlaku, pengkhususan masa berlakunya pada tahun tertentu, maka ianya memerlukan kepada sanad yang sahih untuk menyanggah keuzuran (tohmahan terhadap kebenaran peristiwa tersebut). Ia seperti waktu berlakunya kiamat, maka tidak ada sesiapa yang tahu pada tahun dan bulan apa...

2. Sewajarnya kita meninggalkan ramalan berlakunya Hari Kiamat tersebut. Islam telah melarang dari mempercayai perkara yang berkaitan ramalan, tilikan atau tenungan kerana boleh menjejaskan aqidah seseorang individu. Walaupun benar berlaku, itu hanyalah kebetulan sahaja.

3. Hari Kiamat adalah perkara ghaib dan merupakan salah satu dari Rukun Iman. Berlakunya Hari Kiamat adalah rahsia Allah s.w.t. yang tidak diketahui oleh manusia. Bahkan Rasulullah s.a.w. pun tidak mengetahui tentang tarikh yang khusus terjadinya Hari Kiamat.

(Mereka menanyakan kepadamu tentang kiamat: "Bilakah terjadinya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan tentang kiamat itu adalah pada sisi Tuhanku; tidak seorang pun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia. Kiamat itu amat berat (huru-haranya bagi makhluk) yang di langit dan di bumi. Kiamat itu tidak akan datang kepadamu melainkan dengan tiba-tiba". Mereka bertanya kepadamu seakan-akan kamu benar-benar mengetahuinya. Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan tentang hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui).

Surah al-'Araf (7) : 187

(Sesungguhnya Allah, hanya pada sisiNya sajalah pengetahuan tentang Hari Kiamat; dan Dia-lah Yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya besok. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal).

Surah Luqman (31) : 34

4. Walau bagaimanapun, terdapat pelbagai tanda kecil dan tanda besar apabila hampir menjelang Hari Kiamat. Nabi s.a.w. menceritakan tanda-tanda tersebut supaya umat Islam sentiasa bersedia dengan pelbagai amal ibadat dan kebajikan sebagai bekalan kelak.

5. Boleh jadi, ramalan berkaitan berlakunya Hari Kiamat pada 2012 dengan fakta pengiraan kalendar mempunyai niat yang tidak baik. Agenda tersebut mungkin ingin umat Islam hanya fokus kepada beribadah semata-mata tanpa mempedulikan urusan dunia. Kemudian mengambil kesempatan menjatuhkan dan menguasai umat Islam.

6. Saranan saya, berusahalah melakukan amal ibadah dan kebajikan sebaik mungkin kerana Hari Kiamat boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa terikat dengan ramalan tersebut.

Wallahu 'Alam.

Azri Bhari
Larkin, Johor Bahru.
5:16pm
LAMPIRAN : KANDUNGAN EMEL YANG DIMAKSUDKAN

Nu'aim bin Hammad meriwayatkan dengan sanadnya bahwa Rasulullah saw. bersabda:

Bila telah muncul suara di bulan Ramadhan, maka akan terjadi huru-hara di bulan Syawwal...". Kami bertanya: "Suara apakah, ya Rasulullah?" Beliau menjawab: "Suara keras di pertengahan bulan Ramadhan, pada malam Jum'at, akan muncul suara keras yang membangunkan orang tidur, menjadikan orang yang berdiri jatuh terduduk, para gadis keluar dari ping ita nnya, pada malam Jum'at di tahun terjadinya banyak gempa. Jika kalian telah melaksanakan shalat Subuh pada hari Jum'at, masuklah kalian ke dalam rumah kalian, tutuplah pintu-pintunya, sumbatlah lubang-lubangnya, dan selimutilah diri kalian, sumbatlah te lin ga kalian. Jika kalian merasakan adanya suara menggelegar, maka bersujudlah kalian kepada Allah dan ucapkanlah: "Mahasuci Al-Quddus, Mahasuci Al-Quddus, Rabb kami Al-Quddus!", karena barangsiapa melakukan hal itu akan selamat, tetapi barangsiapa yang tidak melakukan hal itu akan binasa".

Cuba kira... 1Ramadan pada tahun 2012 jatuh pada 20 july hari jumaat,jadi 3 august 2012 bersamaan 15 ramadan jatuh juga hari jumaat. Sama dengan hadis nabi pasal huru hara besar yang akan terjadi pada tengah malam pertengahan bulan ramadan iaitu hari jumaat 15 ramadan di atas muka bumi ni yang akan mengejutkan semua orang yang sedang tidur, ia mengenai satu suara yang amat dahsyat akan kita dengar dari langit, bukan kiamat tapi huru hara tersebut akan melenyapkan umat manusia di atas muka bumi ini sebanyak 2/3, yang tinggal cuma 1/3 shj. (yang NASA Amerika dok bagitau pada 21-12-2012 planet X akan lintas dekat bumi ni) Adakah kita semua ni tergolong dalam 1/3 tu.......ALLAH sahaja maha mengetahui...

UPCOMING IMPORTANT ISLAMIC DATES

2010 Calendar
Islamic New Year: December 18, 2009 (1431 A.H.*)
Aashura: December 27, 2009
Ramadan: August 11 - September 8, 2010
Eid ul-Fitr: September 9, 2010
Hajj: November 14 - November 17, 2010
Eid ul-Adha: November 16, 2010

2011 Calendar
Islamic New Year: December 7, 2010 (1432 A.H.*)
Aashura: December 16, 2010
Ramadan: August 1 - August 29, 2011
Eid ul-Fitr: August 30, 2011
Hajj: November 4 - November 7, 2011
Eid ul-Adha: November 6, 2011

2012 Calendar
Islamic New Year: November 26, 2011 (1433 A.H.*)
Aashura: December 5, 2011
Ramadan: July 20 - August 18, 2012
Eid ul-Fitr: August 19, 2012
Hajj: October 24 - October 27, 2012
Eid ul-Adha: October 26, 2012

Thursday, November 19, 2009

Terjemahan al-Quran Per Kata

Berminat untuk mendapatkan Terjemahan al-Quran Perkata?
Mari berusaha ke arah memahami & menghayati al-quran.
Jadikannya sebagai pelaburan akhirat anda.
Sila hubungi 019-2625844.
Harga RM 110.00

Wednesday, November 18, 2009

Tafsir Surah al-Falaq

Titipan perkongsian dari kuliah yang telah saya sampaikan.

Kuliyah Tafsir
13 November 2009
8:30am - 9:30am
Pejabat Bendahari UiTM Johor Bahru.


Terjemahan

  1. Katakanlah (wahai Muhammad), aku mohon perlindungan Tuhan waktu subuh
  2. dari kejahatan makhluk (ciptaan) Nya
  3. dari bencana malam apabila gelap gelita
  4. dari kejahatan wanita tukang sihir yang menghembus pada simpulan tali
  5. dari bencana pendengki apabila hasad.
Nama Surah

Surah ini dinamakan al-Falaq kerana dihujung ayat pertama disebut perkataan al-Falaq (waktu subuh). Secara bahasa al-Falaq membawa maksud berpecah atau bercerai, sebagai contoh hujan dari awan mendung atau anak dari rahim.

Sebab Turun Surah (Asbab al-Nuzul)

Surah ini diturunkan berikutan sihir yang dilakukan oleh seorang Yahudi bernama Labid bin al-'Asom terhadap Nabi Muhammad s.a.w. Peristiwa ini telah diriwayatkan di dalam hadis sahih Bukhari dan Muslim daripada 'Aisyah r.ha.

Kelebihan Surah

Surah ini mempunyai kelebihan tersendiri sehingga digelar sebagai surah al-muawwizat (mohon perlindungan). Terdapat pelbagai hadis menceritakan kelebihan surah ini antaranya ialah :

a) Dari Uqbah bin Amir katanya : Rasulullah s.a.w. telah menyarankan kepadaku agar membaca setiap lepas solat tiga surat al-muawwizat (al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas).

b) Dari Abdullah bin 'Aabis al-Juhani bahawa Nabi s.a.w. bersabda kepadanya : Wahai 'Aabis! mahukah engkau aku tunjukkan atau mahukah aku ceritakan kepadamu tentang sebaik-baik pendinding bagi sesiapa yang inginkan ayat pendinding? Jawabnya : Tentu ya Rasulullah. Baginda bersabda : Surah al-Falaq dan al-Nas. Dua surah inilah.

c) Dari 'Aisyah bahawa Rasulullah apabila demam dan sakit, baginda membacakan untuk dirinya dua surah pelindung ini dan kemudian baginda menghembuskannya (di tempat yang sakit). Apabila kesakitannya semakin teruk, akulah ('Aisyah) yang tolong membaca untuknya dan menyapukannya ke jasad baginda kerana mengharapkan kenerkatannya.

Tafsiran

Surah ini dimulakan dengan permohonan perlindungan dari Tuhan (pentadbir) waktu subuh kerana malam telah berpisah darinya atau perlindungan dari makhluk ciptaanNya.

Setelah itu, Allah s.w.t. menyebut secara khusus tiga golongan sebagai peringatan bahawa ia merupakan kejahatan yang amat berbahaya dan amat penting untuk diminta perlindungan dari kejahatannya, iaitu:

a) dari kegelapan malam

Kebiasaannya pada waktu malam akan berlaku keburukan. Perbuatan sihir, kecurian, pembunuhan, kebakaran dan sebagainya biasanya berlaku pada waktu malam. Rasulullah juga menyarankan apabila keluar pada waktu malam perlu berteman dan apabila hari menjelang malam perlu masuk ke dalam rumah untuk mengelakkan gangguan syaitan.

b) dari tukang sihir

Berdasarkan ayat keempat merujuk kepada anak perempuan kepada Labid bin al-'Asom yang membantu untuk menyihir Rasulullah s.a.w. Perbuatan sihir adalah perkara syirik kerana menyekutukan Allah s.w.t. dengan makhluk.

c) dari pendengki

Sifat dengki adalah sifat mazmumah iaitu cuba menjatuhkan seseorang. Perasaan ini adalah dosa pertama yang berlaku di langit (Iblis dengki kepada Adam a.s.) dan juga di dunia (Qabil dengki pada Habil).

Wallahu 'Alam

Sumber Rujukan :
1- Tafsir al-Munir - Dr. Wahbah al-Zuhayli
2- Tafsir al-Quran al-'Azim - Ibn Kathir

Tafsir Surah al-Nas

Titipan perkongsian dari kuliah yang telah saya sampaikan.

Kuliyah Tafsir
6 November 2009
8:00am - 9:00am
Pejabat Bendahari UiTM Johor Bahru.


Terjemahan
  1. Katakanlah (wahai Muhammad), aku mohon perlindungan kepada Tuhan pemelihara manusia.
  2. Raja manusia.
  3. Sembahan manusia.
  4. dari kejahatan syaitan yang sentiasa bersembunyi.
  5. yang membisikkan (kejahatan) di dada manusia.
  6. dari kalangan jin dan manusia.
Nama Surah

Surah ini dinamakan dengan al-Nas kerana di hujung ayat pertama ada menyebutkan perkataan al-Nas yang bermaksud manusia. Perkataan tersebut telah diulang sebanyak lima kali. Menurut sebahagian ulamak, perkataan al-Nas disebut dengan kerap kerana Allah s.w.t. memuliakan martabat manusia. Ada juga menjelaskan bahawa yang meminta perlindungan lumrahnya adalah manusia.

Tafsiran

Surah ini dimulakan dengan tiga sifat Allah s.w.t. iaitu Rabb (pemelihara), Malik (raja) & Ilah (sembahan) dalam tiga ayat yang awal. Didahulukan sifat Rabb kerana manusia berhajatkan kepada perlindungan yang merangkumi nikmat pemeliharaan, penjagaan dan keprihatinan Allah s.w.t. Kemudian disebut sifat Malik kerana manusia yang memohon perlindungan tidak akan dapat melainkan dari pemilik dan penguasanya sahaja. Seterusnya disebut sifat Ilah kerana menjelaskan bahawa yang berhak disyukuri dan diabdikan diri hanyalah kepada Allah s.w.t. sahaja.

Pada ayat yang keempat pula, dijelaskan keperluan mohon perlindungan dari kejahatan ganguan bisikan syaitan. Sifat syaitan banyak dijelaskan melalui hadis-hadis baginda s.a.w. seperti berikut :

a) "Sesungguhnya syaitan bergerak mengikut edaran darah anak Adam, dan akau bimbang ia mencetuskan di dalam hati kamu sesuatu (kejahatan)".

b) "Sesungguhnya syaitan meletakkan belalainya ke dalam hati anak Adam. Sekiranya dia mengingati Allah s.w.t. syaitan akan mundur. Sekiranya dia terlupa, syaitan akan mengulum hatinya. Itulah bisikan syaitan yang sentiasa maju dan mundur".

c) "Jangan kamu berkata celaka syaitan, sekiranya kamu berkata begitu, dia semakin membesar dan dia akan berkata : aku kacau dia dengan kekuatanku. tetapi jika kamu ucapkan : dengan nama Allah (mohon perlindungan), syaitan akan mengecil sehingga menjadi seumpama lalat".

Ayat kelima pula menjelaskan tempat gangguan dan hasutan syaitan adalah di dalam hati. Ini adalah kerana hati adalah tempat bersarangnya pelbagai keinginan dan kehendak.

Akhirnya ayat disudahi dengan peringatan bisikan dan gangguan adalah dari kalangan jin dan manusia.

Wallahu 'Alam

Sumber Rujukan :
1- Tafsir al-Munir - Dr. Wahbah al-Zuhayli
2- Tafsir al-Quran al-'Azim - Ibn Kathir