Sunday, September 21, 2008

Bersama Raih Malam al-Qadr

Erti Malam al-Qadr

Allah menjelaskan di dalam al-Quran (bermaksud); "Malam al-Qadar itu lebih baik dari seribu bulan" (al-Qadar: 3).

Motivasi Raih Malam al-Qadr

Saidatina ‘Aisyah menceritakan; “Rasulullah s.a.w. apabila masuk sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan, baginda bangun menghidupkan malamnya (dengan ibadah lebih dari biasa), membangunkan ahli-ahli keluarga baginda (untuk sama mengerjakan ibadah seperti baginda), baginda bersungguh-bersungguh (mengerjakan ibadah) dan baginda mengikat kainnya (*kiasan kepada kesungguhan untuk beribadah atau kiasan kepada meninggalkan isteri untuk menumpukan kepada ibadah)”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Saranan Amalan Malam al-Qadr

Banyakkan berdoa seperti berikut :

اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني

"Berkatalah Aisyah , Wahai Rasulullah, jika aku berkesempatan bertemu Malam Al-Qadar, apakah yang perlu aku katakan (doa) ? Bersabda Nabi : " Sebutlah doa " Ya Allah sesungguhnya dikaulah maha pengampun , dan amat suka memberi ampun, maka berikanlah daku keampunan"

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

"Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: ""Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka" ( Al-Baqarah : 201 )


Masa Berlaku Malam al-Qadr

“Carilah lailatul-Qadar pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Saidatina Aisyah r.a.).

“Carilah lailatul-Qadar pada malam-malam ganjil dari sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan”. (Riwayat Imam Bukhari)

Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan; Saidina Umar r.a. telah menghimpunkan sahabat-sahabat Nabi r.a. dan bertanya mereka tentang Lailatul-Qadar. Mereka semua bersepakat bahawa malam itu berada dalam lingkangan 10 malam terakhir Ramadhan (HR Imam at-Thabrani).

Tanda-tanda Malam al-Qadr

Sabda Nabi s.a.w; “Lailatul-Qadar; malamnya cuaca/udara menyenangkan iaitu tidak panas dan tidak dingin, pada paginya matahari terbit dengan cahaya yang lemah dan kemerahan” (HR Imam Thayalisi dan al-Baihaqi dari Ibnu ‘Abbas r.a..

Sunday, September 14, 2008

Ramadhan : Bulan Mengingati Fungsi al-Quran

Al-Quran mempunyai beberapa fungsi penting, diantaranya ialah:

Pertama: Sebagai Mukjizat Nabi Muhammad saw.

Al-Quran merupakan bukti kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad saw, sekaligus ianya menjadi bukti bahawa Al-Quran merupakan firman Allah SWT, bukannya ucapan atau ciptaan nabi Muhammad saw sendiri. Rasullulah saw telah menjadikan Al-Quran sebagai senjata bagi menentang orang-orang kafir Quraisy. Dan kita dapati bahawa mereka sememangnya tidak mampu menghadapinya, padahal mereka mempunyai kemahiran menggubah bahasa-bahasa yang indah dalam ucapan dan sajak-sajak mereka.

Al-Quran secara prisipnya telah mengemukakan cabaran kepada bangsa Arab menerusi tiga peringkat iaiatu :

Peringkat pertama.

Mencabar mereka dengan keseluruhan Al-Quran dalam uslub umum yang meliputi orang Arab sendiri dan orang lain, manusia malah jin, dengan cabaran yang mengalahkan dan menjatuhkan mereka secara padu sebagaimana firmanNya.

"Katakanlah: Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa Quran ini, niscaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengannya, sekalipun sebahagian mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain." (17 : 88)

Peringkat kedua.

Mencabar dengan sepuluh surah sahaja daripada Al-Quran. Sebagaimana firmanNya:

Bahkan mereka mengatakan "Muhammad telah membuat-buat Al-Quran." Katakanlah: Jika demikian, maka datangkanlah sepuluh surah yang dibuat-buat yang menyamainya, dan panggillah orang-orang yang kamu sanggup (memanggilnya) selain Allah, jika kamu memang orang-orang yang benar. Jika mereka (yang kamu seru itu) tidak menerima seruanmu, ketahuilah, sesungguhnya Al-Quran itu diturunkan dengan ilmu Allah" (11 : 13-14)

Peringkat ketiga.

Mencabar mereka hanya dengan satu surah daripada Al-Quran sahaja. Sebagaimana firmanNya:

"Atau (patutkah) mereka mengatakan: Muhammad membuat-buatnya (Al-Quran). (Kalau benar yang kamu katakan itu), cubalah datangkan satu surat seumpamanya" (TTQ 10 : 38) Dan cabaran ini diulangi di dalam firmanNya: "Dan jika kamu tetap dalam keadaan ragu tentang Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad saw), maka buatlah satu surat saja yang semisal Al-Quran itu…" (2 : 23 )

Kedua: Sebagai Sumber Hukum Dan Aturan Hidup.

Ayat-ayat Al-Quran mengandungi peraturan tentang hukum-hukum siyasah negara , sosial , pendidikan , pengadilan , akhlak dan sebagainya. Semua aturan dan hukum ini wajib dijadikan sebagai pandangan hidup bagi seluruh kaum muslimin dan umat manusia untuk mengatasi semua permasalahan hidup yang dihadapinya.

Sememangnya penyelesaian yang diberikan oleh syariat Islam adalah merupakan penyelesaian yang sebenar-benarnya kerana ia satu-satunya perundangan yang dapat memenuhi fitrah manusia itu sendiri. Kemampuan syariat Islam dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan kehidupan manusia inilah yang akan menjadikan Al-Quran sebagai mukjizat abadi yang paling menonjol di muka bumi.

Nuzul al-Quran : Suatu Sorotan

Nuzul al-Quran

Antara peristiwa agung dalam sejarah umat Islam ialah turunnya kitab suci al-Quran atau disebut Nuzul al-Quran. Perkara ini dinyatakan dalam al-Quran, melalui firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat ke 185 yang bermaksud:

“Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.”

FirmanNya dalam ayat pertama surah al-Qadar :

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.

Dalam surah al-Dukhan ayat ke 3 pula Allah s.w.t telah berfirman :

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).

'Nuzul' merupakan perkataan Arab yang memberi makna turun atau berpindah, iaitu berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain.

'Al-Quran' la bermaksud bacaan. Ia dikatakan sebagai bacaan kerana al-Quran itu untuk dibaca oleh manusia. Ia juga dikatakan himpunan kerana dalam al-Quran itu terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, munakahat dan sebagainya.

Menilai ketiga-tiga ayat di atas tiada sebarang pertentangan antara ke tiga ayat di atas. Al-Syeikh Ab Rahman al-Sa’adiy menjelaskan dalam tafsir Taysir al-Karim al-Rahman, ‘malam yang berkat’ yang dinyatakan Allah dalam surah al-Dukhan itu adalah malam yang penuh dengan kebaikan dan rahmat, yang lebih besar keutamaannya dari amalan seribu bulan. Maka Allah swt telah memilih tarikh turun kalamNya buat pemimpin umat sejagat nabi Muhammad yang penuh dengan kemuliaan itu untuk berlaku pada hari yang mulia iaitu malam al-Qadr itu sendiri.

Menurut al-Syeikh Manna’ Qattan dalam Mabahith Fi Ulum al-Quran ke tiga ayat ini secara dasarnya menunjukkan penurunan berlaku pada bulan ramadhan dan secara khususnya ia diturunkan pada malam al-Qadr yang merupakan suatu anugerah Allah buat mereka yang menghidupkan malam-malam pada bulan Ramadhan.

Walaupun umat Islam di Malaysia secara tradisinya menyambut peristiwa Nuzul Al-Quran pada 17 Ramadhan, namun sesungguhnya pendapat yang lebih tepat tentang turunnya al-Quran ialah pada malam Isnin, tanggal 24 Ramadhan bersamaan 13 Ogos 610 M. Ini disebabkan pendapat yang mengatakan berlakunya pada 17 Ramadhan adalah berpandu pada ayat ke 41 dari Surah Al-Anfaal adalah difokuskan kepada peristiwa perang Badar bukannya al-Quran.

Firman Allah dalam ayat ke 41 surah al-Anfal itu,maksudnya :

"…jika kamu beriman kepada Allah dan apa-apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Nabi Muhammad saw) pada hari Furqan,iaitu di hari bertemunya dua pasukan (diperang Badar, antara muslimin dan kafirin)…"

Menurut sebuah riwayat yang dikemukakan oleh Ibn Kathir dalam tafsirnya dari Ibn Abbas, ayat tersebut merupakan penjelasan tentang hukum pembahagian harta rampasan perang (seperti yang terdapat pada awal ayat tersebut).

"Ketahuilah sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, RasulNya, kerabat-kerabat (Rasul), anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil (orang yang sedang dalam perjalanan)…".

Justeru tarikh yang lebih tepat tentang Nuzul al-Quran adalah pada 24 Ramadhan kerana ia berdasarkan ayat 1 Surah Al-Qadr dan ayat 1-4 Surah Ad-Dukhan yang telah dihuraikan di atas.

Menurut sebuah riwayat oleh Ibn Abbas dan pandangan ini disokong oleh majoriti para mufassirin, Al-Quran yang diturunkan pada malam "Lailatul Qadar" sebagaimana disebut di atas adalah Al-Quran yang turun sekaligus ke "Baitul Izzah" di langit kedunia. Sedangkan Al-Quran yang diturunkan ke bumi dan diterima Rasullullah sebagai wahyu terjadi secara beransur-ansur selama sekitar 23 tahun.

Menurut satu riwayat dari al-Hakim, al-Baihaqiy dan al-Nasaei dari Ibn Abbas, beliau menjelaskan dari Rasulullah s.a.w bersabda :

“ Al-Quran diturunkan sekali gus oleh Allah ke langit dunia pada malam al-Qadr kemudian ia diturunkan secara berperingkat dalam masa 20 tahun”

Al Quran pula telah diturunkan secara beransur - ansur dalam masa 22 tahun 2 bulan 22 hari atau 23 tahun, 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah . Ayat-ayat dan surah-surah yang diturunkan sebelum peristiwa hijrah dikenai sebagai Makkiyah sedangkan yang diturunkan selepas peristiwa hijrah dikenali sebagai Madaniyyah .

Tujuan Allah menurunkan secara beransur-ansur adalah bagi memenuhi objektif-objektif berikut :

1) Agar lebih mudah difahami dan dilaksanakan.

Orang akan enggan melaksanakan suruhan dan larangan sekiranya suruhan dan larangan itu diturunkan sekaligus dalam kadar yang banyak. Hal ini disebut oleh Bukhari dari riwayat 'Aisyah r.a. Di antara ayat - ayat itu ada yang nasikh dan ada yang mansukh, sesuai dengan kamaslahatan. Ini tidak dapat dilakukan sekiranya Al Quran diturunkan sekaligus. (Ini menurut pendapat yang mengatakan adanya nasikh dan mansukh)Turunnya sesuatu ayat sesuai dengan peristiwa - peristiwa yang terjadi akan lebih berkesan dan lebih berpengaruh di hati.

2) Memudahkan penghafalan.

Orang - orang musyrik yang telah menanyakan mengapa Al Quran tidak diturunkan sekaligus, sebagaimana disebut dalam Al Quran surah Al Furqaan ayat 32 maksudnya :

"……mengapakah Al Quran tidak diturunkan kepadanya sekaligus….?" Kemudian dijawab di dalam ayat itu sendiri: "…Demikianlah, dengan (cara) begitu Kami hendak menetapkan hatimu..".

Di antara ayat - ayat yang merupakan jawapan daripada pertanyaan atau penolakan suatu pendapat atau perbuatan, sebagai dikatakan oleh Ibnu 'Abbas r.a. Hal ini tidak dapat terlaksana kalau al Quran diturunkan sekaligus.

Penurunan al-Quran ini pula berlaku dalam berbagai bentuk. Menurut Safiyurrahman al-Mubarakfuriyy dalam al-Rahiq al-makhtum , Nabi Muhammad s.a.w. telah diwahyukan mengikut pendekatan-pendekatan berikut :

Menerusi mimpi yang benar ( al-Rukya al-Sadiqah ).Malaikat memasukkan wahyu itu ke dalam hatinya. Dalam hal ini, Nabi s.a.w. tidak melihat sesuatu apa pun, hanya beliau merasa bahawa itu sudah berada di dala, kalbunya. Sebagai contohnya Nabi pernah bersabda mengatakan: "Ruhul Quddus mewahyukan ke dalam kalbuku bahawa seseorang itu takkan mati sehingga dia menyempurnakan rezkinya yang telah ditetapkan oleh ALlah".

Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi s.a.w. menyerupai seorang lelaki yang mengucapkan kata-kata kepadanya dan peristiwa seperti ini sering disaksikan oleh para sahabat.

Wahyu datang kepadanya seperti gemercingnya loceng. Cara inilah yang amat berat dirasakan Nabi s.a.w. Kadang-kadang pada keningnya terdapat peluh, meskipun turunnya wahyu itu di musim dingin yang sangat. Ada ketikanya, unta beliau terpaksa berhenti dan duduk kerana merasa amat berat. Diriwayatkan oleh Zaid bin Tsabit: " Aku adalah penulis wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah. Aku lihat Rasulullah ketika turunnya wahyu itu seakan-akan diserang demam yang kuat dan peluhnya bercucuran seperti permata. Kemudian setelah selesai turunnya wahyu, barulah beliau kembali seperti biasa".

Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi s.a.w. dalam rupanya yang sebenar sebagaimana yang terdapat di dalam surah An- Najm ayat 13 & 14 : "Sesungguhnya Muhammad telah melihatnya pada kali yang lain (kedua). Ketika (ia berada) di Sidratulmuntaha".

Malaikat mewahyukan kepada Nabi dari atas langit seperti yang berlaku dalam peristiwa al-Isra` wal Mikraj .Sestengah ulamak berpendapat baginda saw juga pernah berbicara secara langsung dengan Allah dan menerima wahyu seperti yang berlaku pada Nabi Musa.Perkara ini merupakan suatu khilaf di kalangan para ulamak.

Sumber : http://zahazanmohamed.blogspot.com

Sabda Rasulullah Tentang Ramadhan

Keistimewaan Bulan Ramadhan

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, Bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “Ketika datang bulan Ramadhan: sesungguhnya telah datang kepadamu bulan yang penuh berkat, diwajibkan ke atas kamu untuk berpuasa, dalam bulan ini pintu Jannah dibuka, pintu Neraka ditutup, syaitan-syaitan dibelenggu. Dalam bulan ini ada suatu malam yang nilainya sama dengan seribu bulan, maka diharamkan kebaikannya bagi siapa yang tidak beramal baik di dalamnya, sesungguhnya tidak mendapat kebaikan di bulan lain seperti di bulan ini”.
(Hadis riwayat Ahmad, Nasai dan Baihaqi)

Dari Abi Hurairah r.a, sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda: “Solat lima waktu, solat Jumaat sampai solat Jumaat berikutnya, puasa Ramadhan sampai puasa Ramadhan berikutnya, adalah menutup dosa-dosa (kecil) yang diperbuat di antara keduanya, bila dosa-dosa besar dijauhi”.
(Hadis riwayat Muslim)

Dari Abdullah bin Amru, bahawa sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda: “Puasa dan Al-Quran itu memintakan syafaat bagi seseorang hamba di hari kiamat. Puasa berkata: Wahai Tuhanku, aku telah mencegah dia memakan makanan dan menyalurkan syahwatnya di siang hari, maka berilah aku hak untuk memintakan syafaat baginya. Dan berkata pula al-Quran: Wahai Rabbku aku telah mencegah dia tidur di malam hari (kerana membacaku), maka berilah aku hak untuk memintakan syafaat baginya. Maka keduanya diberi hak untuk memintakan syafaat”.
(Hadis riwayat Ahmad)

Dari Sahal bin Sa’ad, sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda: “Bahawa sesungguhnya bagi Jannah itu ada sebuah pintu yang disebut “Rayyaan”. Pada hari kiamat dikatakan: Di mana orang yang berpuasa? (untuk masuk jannah melalui pintu itu), jika yang terakhir antara mereka sudah memasuki pintu itu, maka ditutuplah pintu itu”.
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah s.a.w bersabda: “Barangsiapa puasa Ramadhan kerana beriman dan ikhlas, maka diampuni dosanya yang telah lalu dan yang sekarang”.
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari Jabir r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Puasa itu perisai yang dipergunakan seorang hamba untuk membentengi dirinya dari siksaan neraka”.
(Hadis Riwayat Ahmad)
Intipati Sabda Rasulullah Tentang Keistimewaan Bulan Ramadhan
  1. Bulan yang penuh Barakah
  2. Pada bulan ini pintu Jannah di buka dan pintu Neraka ditutup
  3. Pada bulan ini syaitan-syaitan dibelenggu
  4. Dalam bulan ini ada suatu malam yang keberkatan beramal di dalamnya adalah lebih baik dari beramal selama seribu bulan, iaitu Malam Al-Qadar.
  5. Pada bulan ini juga setiap hari akan ada malaikat yang menyeru dan menasihati umat Islam supaya berbuat baik dan menjauhi perkara maksiat
  6. Amal itu dapat menutup dosa-dosa kecil antara Ramadhan ini sehingga bertemu Ramadhan berikutnya
  7. Menjadikan bulan Ramadhan sebagai bulan memintakan syafaat daripada amalan membaca al-Quran dan puasa itu sendiri dan perisai siksaan neraka
  8. Bagi orang yang berpuasa disediakan pintu khusus baginya untuk memasuki Jannah iaitu yang dinamakan “Rayyaan”

Saturday, September 13, 2008

Jadilah ABID RABBANI, bukan ABID RAMADHANI

Umat Islam yang benar-benar bertakwa dan mengakui kekuasaan Allah S.W.T mestilah menjadikan setiap amal yang dilakukan bukan sekadar mengharapkan balasan dari Allah S.W.T, malah menyerahkan segala-galanya hanya kepada Allah semata-mata.

Oleh itu, manfaatkanlah masa hidup kita, kesihatan kita dan masa muda kita dengan amal kebaikan sebelum maut datang menjemput. Bertaubatlah kepada Allah S.W.T dengan sebenar-benar taubat dalam setiap waktu dari segala dosa dan perbuatan terlarang. Jagalah segala perintah Allah dan jauhilah setiap larangannya, baik di bulan Ramadhan, mahupun pada bulan selainnya. Segeralah bertaubat, janganlah menunda-nunda taubat, kerana kita tidak tahu adakah kita sempat untuk menemui lagi bulan Ramadhan akan datang atau tidak.

Sesungguhnya, setiap amalan yang dilakukan pada bulan Ramadhan akan dilipat gandakan oleh Allah S.W.T akan ganjarannya. Walaupun demikian, sebagai hamba yang sentiasa mengharapkan keredhaanNya, seharusnya tidak terhenti segala amalan hanya pada bulan Ramadhan sahaja, tetapi ianya harus diteruskan juga pada bulan-bulan yang lain. Kerana walau pada bila-bila masa sahaja, sebagai hamba, tujuan kita diciptakan adalah untuk beribadat kepada Allah dan bukannya terhad pada bulan-bulan tertentu sahaja.

Firman Allah S.W.T dalam surah al-Zariyat ayat 56:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَ الإِنْسَ إِلا لِيَعْبُدُوْن
"Sesungguhnya tidak diciptakan jin dan manusia itu, kecuali untuk beribadat kepada Ku”.

Kita seharusnya perlu menjadikan diri kita sebagai abid Rabbani dan bukannya Abid Ramadhani. Abid Rabbani ialah hamba yang beribadat kepada allah sepanjang masa tanpa mengira masa atau musim cuma pada bulan-bulan tertenti ia akan mempergiatkan dan mempertingkatkan amalannya seperti di bulan Rejab, Sya’ban dan Ramadhan. Hasil daripada peningkatan amalan tersebut akan memberi kesen kepada peningkatan kualiti amalannya di masa-masa yang lain. Manakala Abid Ramadhani ialah seorang hamba yang beribadat hanya pada bulan Ramadhan atau ibadahnya hanya bermusim dan ibadahnya pula tidak dapat mempertingkatkan prestasi ibadah seterusnya yang dilakukan pada luar musim atau selepas Ramadhan.

Ini bagi membuktikan bahawa diri kita benar-benar beriman kepada Allah Ta’ala dalam setiap masa dan bukan sekadar beramal untuk mengharap balasannya sahaja. Oleh itu, jika sekiranya pada bulan Ramadhan, masjid-masjid sentiasa dipenuhi dengan solat berjemaah, sedekah sentiasa dihulur, di pertengahan malam selalu diwarnai dengan solat-solat sunat dan zikir, maka alangkah baiknya jika selepas Ramadhan juga tradisi ini tetap diteruskan. Masjid-masjid sentiasa meriah dengan para jemaah, yang miskin dan kaya, tua dan muda sama-sama bersuka-ria kerana tidak ada yang kelaparan dan meminta, dipertengahan malam juga begitu syahdu dengan alunan zikrullah dan ketenangan solat-solat sunat, maka inilah dikatakan amal yang sebenar-benarnya. Segala-galanya hanya untuk Allah.

Bersungguh-sungguhlah dalam mengurus keluarga, anak-anak dan sesiapa sahaja yang menjadi tanggungjawab kita. Jika di bulan Ramadhan, anak-anak diajar berpuasa dan bertarawikh, maka alangkah baiknya jika selepas Ramadhan juga mereka terus diajar supaya mendekati Allah.

Jadilah suri teladan yang baik dalam segala bidang, kerana kitalah pemimpin mereka dan bertanggungjawab atas mereka di hadapan Allah Ta’ala. Bersihkan rumah-rumah kita dari segala bentuk kemungkaran yang menjadi penghalang untuk berzikir dan solat kepada Allah. Sibukkanlah diri kita dan keluarga kita dalam hal-hal yang lebih bermanfaat. Dan sentiasalah ingatkan mereka agar menjauhkan diri dari hal yang membahayakan mereka dalam agama, dunia dan akhirat kelak.

Semoga Allah melimpahkan taufik dan hidayahNya kepada kita semua untuk amal yang diredhaiNya, serta menjadi hamba yang bertakwa tak kira masa.

Buat para Tentera Allah , sejarah sepanjang Ramadhan membuktikan umat Islam berada ditahap kekuatan kerohanian tertinggi yang mampu diterjemahkan di dalam perjuangan mereka.

Ihsan Mimbar Ulama