Saturday, June 21, 2008

Ibu gemilang lahirkan tujuh doktor

KUALA LUMPUR 10 Jun – Dilihat dari luar, kehidupan Anis Abdullah dari Muar, Johor tidak jauh berbeza dengan warga emas lain. Sebagaimana wanita berkeluarga yang lain, beliau seorang ibu yang penyayang.

Bagaimanapun, tidak ramai yang tahu bahawa di sebalik sifatnya itu, wanita berkulit putih ini sebenarnya seorang ibu yang amat istimewa.

Tujuh orang anak yang dilahirkannya menjadi doktor termasuk tiga orang doktor pakar.
Kecemerlangan kesemua anak Anis dalam akademik dan kini terlibat dalam kerjaya sebagai doktor perubatan bukanlah sesuatu yang pernah diimpikan oleh pesara guru berusia 65 tahun itu.

Kejayaan anak-anaknya membolehkan Anis – yang lahir dalam keluarga Cina sebelum diserahkan kepada keluarga Melayu ketika berusia tiga bulan – menerima Anugerah Ibu Gemilang sempena Majlis Anugerah Ibu Malaysia anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Anugerah itu disampaikan oleh Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah pada majlis sambutan yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Anak sulung Anis, Datuk Dr. Azhar Md. Noh, 43, merupakan seorang pakar bius di Hospital Ampang Puteri. Dr. Azhar belajar bidang perubatan di Universiti Glasgow, Scotland, manakala anak kedua, Dr. Muhammad, 41, seorang pakar urologi, juga berkhidmat di hospital yang sama.

Anak ketiga, keempat dan keenam beliau, Dr. Nor Shahidah, 40; Dr. Raha, 38; dan Dr. Nor Hafizah, 34, kesemuanya lulusan Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) dan kini mengusahakan klinik persendirian.

Dua lagi anaknya iaitu Dr. Nor Bahiyah, 35, dan Dr. Umi Kalthum, 28, adalah lulusan Trinity University College di Dublin, Ireland, kini masing-masing bertugas di Hospital Pakar Yayasan Salam dan sedang melanjutkan pengajian untuk menjadi pakar mata.

Anis berkata, beliau dan suami, Md. Noh Yunos, seorang pesara kerani, bersikap tegas dan mementingkan pendidikan anak-anak.

“Kami bersikap tegas kerana tidak mahu anak-anak merasai kehidupan susah yang kami lalui dulu.

“Anak-anak dipastikan mendapat pendidikan duniawi dan ukhrawi yang sempurna seawal usia lima tahun lagi, walaupun kami tahu ibu bapa pada dasarnya tiada kuasa menentukan masa depan anak-anak,” katanya kepada pemberita.

Anis yang bermenantukan lima orang doktor memberitahu, dalam mendidik anak-anak, beliau memberi tumpuan kepada masa depan mereka.

“Apabila kita fokus pada masa depan, ia membolehkan kelemahan diri diperbaiki. Jika melihat ke belakang pula, kita hanya akan mengganggu fokus tersebut,” ujarnya.