Sunday, March 16, 2008

Rasulullah Umpama al-Quran Bergerak

Para sahabat pernah bertanyakan kepada Aisyah r.ha. mengenai akhlak Rasulullah s.a.w. Lalu Aisyah r.ha. menjawab: "Akhlak Rasulullah adalah al-Quran".

Jawapan itu dengan jelas menerangkan betapa Rasulullah s.a.w. telah menjadikan al-Quran itu sebagai sesuatu yang hidup serta dapat dilihat dan diikuti bukan saja oleh umat Islam bahkan oleh sekalian umat manusia. Justeru itu, segala ajaran dan perintah Allah s.w.t. yang terdapat di dalam al-Quran dapat kita lihat secara praktikalnya sama ada menerusi hadis yang diriwayatkan oleh periwayat hadis yang muktabar ataupun melalui sirah baginda s.a.w.

Oleh itu, segala contoh ikutan yang ingin diambil oleh umat Islam sama ada sebagai pemimpin, panglima peperangan, ketua keluarga, majikan, pendidik, pelajar, tokoh korporat dan sebagainya semuanya ada di dalam batang tubuh Rasulullah s.a.w.

Dengan itu, memperbetulkan kembali model ikutan kita dengan menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai qudwah hasanah adalah satu kewajiban dan tuntutan agama yang perlu dilakukan oleh kita umat Islam. Kisah 1 : Rasulullah s.a.w. dengan seorang wanita tua.

Pernah satu ketika Nabi Muhammad s.a.w. ternampak seorang perempuan tua hendak berjalan pulang dari pasar dengan membawa barang-barang yang agak banyak dan berat juga. Lalu Rasulullah menawarkan dirinya untuk membantu perempuan itu membawa barang-barang tersebut pulang ke rumahnya.

Perempuan tua itu rasa sungguh sukacita kerana ada orang yang mahu membantunya dan terus menerima pelawaan Rasulullah itu. Sambil berjalan menuju rumah perempuan tua itu, mereka berbual-bual tentang kisah-kisah yang hangat diperkatakan orang yang berlaku di Mekah ketika itu.

Cerita perempuan tua itu: “Wahai anak muda, di tempat kita sekarang ini ada seorang anak muda yang bernama Muhammad telah membawa ajaran baru. Angkara anak muda ini telah menyebabkan masyarakat kita berpecah belah”.

“Kehadiran anak muda itu dalam masyarakat kita telah banyak membuat kerosakan kepada kehidupan kita bermasyarakat. Gara-gara ajaran beliau, ahli keluarga berselisih faham, bergaduh dan pecah belah,” sambung orang tua itu lagi.

“Muhammad itu memang jahat, oleh itu janganlah sekali-kali kamu dekat dengan dia, nescaya nanti kamu juga akan dirosakkannya nanti,” tegas perempuan tua itu lagi memberi amaran kepada Rasullullah supaya tidak terpengaruh dengan orang yang dianggapnya jahat itu.

Apapun yang dikatakan oleh perempuan tua itu tentang Nabi Muhammad, Rasulullah sedikit pun tidak marah, malah hanya tersenyum saja.

Setelah sampai di rumah perempuan tua itu, perempuan tua itu bertanya kepada Rasulullah berapakah upah yang dia perlu bayar untuk kerja Rasulullah membawa barang-barang yang berat itu dari pasar sampai ke rumahnya tadi. Sebaliknya Rasulullah memberitahu perempuan tua itu, dia tidak mahukan upah dan hanya ingin membantu secara sukarela saja.

Perempuan tua itu berasa hairan dengan kebaikan anak muda itu lalu dia bertanya: “Terlalu baik kamu ini wahai anak muda, boleh mak cik tahu siapakah nama kamu?”.

Rasulullah menjawab: “Nama saya Muhammad, sayalah orangnya yang mak cik ceritakan tadi.”

Terduduk perempuan tua tadi bila dia tahu dia sedang berdepan dengan orang yang bernama Muhammad itu, yang mana selama ini dia mendengar Muhammad adalah orang yang sangat jahat.
Kisah 2 : Rasulullah s.a.w. dengan pengemis Yahudi

"Pada suatu sudut pasar di Madinah ada seorang pengemis Yahudi buta yang setiap harinya selalu berkata kepada setiap orang yang mendekatinya, "Wahai saudaraku, jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya maka kalian akan dipengaruhinya".

Namun, setiap pagi Rasulullah s.a.w. mendatanginya dengan membawakan makanan, dan tanpa berucap sepatah kata pun Rasulullah s.a.w. menyuapkan makanan yang dibawanya kepada pengemis itu, sedangkan pengemis itu tidak mengetahui bahwa yang menyuapinya itu adalah baginda s.a.w. sendiri. Rasulullah s.a.w. melakukan hal ini setiap hari sehingga beliau wafat.

Setelah wafatnya Rasulullah s.a.w. tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta itu. Suatu hari sahabat terdekat Rasulullah s.a.w. iaitu Abu Bakar r.h berkunjung ke rumah anaknya Aisyah r.ha. yang merupakan isteri Rasulullah s.a.w. Lalu beliau bertanya kepada anaknya itu, "Anakku, adakah kebiasaan kekasihku yang belum aku kerjakan?".

Aisyah r.ha. menjawab, "Wahai ayah, engkau adalah seorang ahli sunnah dan hampir tidak ada satu kebiasaannya pun yang belum ayah lakukan kecuali satu saja". Tanya Abu Bakar r.a. "Apakah Itu?"

"Setiap pagi Rasulullah s.a.w. selalu pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang ada di sana", kata Aisyah r.ha.

Keesokan harinya Abubakar r.a. pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikan kepada pengemis itu. Abu Bakar r.a. mendatangi pengemis itu lalu memberikan makanan itu kepadanya. Ketika Abu Bakar r.a. mula menyuapinya, si pengemis marah sambil mengherdik, "Siapakah kamu?". Abu Bakar r.a. menjawab, "Aku orang yang biasa (mendatangi engkau)."

"Bukan! Engkau bukan orang yang biasa mendatangiku", bantah si pengemis buta itu.

"Apabila ia datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut", sambil melanjutkan perkataannya.

Abu Bakar r.a. tidak dapat menahan air matanya, lalu menangis sambil berkata kepada pengemis itu, "Aku memang bukan orang yang biasa datang padamu. Aku adalah salah seorang dari sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Beliau adalah Muhammad s.a.w.".

Seketika itu juga pengemis itu pun menangis mendengar penjelasan Abu Bakar r.a. dan kemudian berkata, "Benarkah demikian? Selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, beliau tidak pernah memarahiku sedikitpun, beliau mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, beliau begitu mulia.... "

Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya melafazkan syahadah di hadapan Abu Bakar r.a. pada saat itu juga dan sejak hari itu menjadi muslim.

Kisah 3 : Rasulullah s.a.w. dengan isteri.

Ketika menjelang subuh Aisyah tidak mendapati Rasulullah s.a.w. disampingnya. Kemudian Aisyah keluar membuka pintu rumah dan terkejut bukan kepalang, melihat suaminya tidur di depan pintu.

Lalu Aisyah bertanya, "Wahai Rasulullah mengapa tidur di sini?" Lantas Rasulullah s.a.w. menjawab, "Aku pulang sudah larut malam, aku bimbang mengganggu tidurmu sehingga aku tidak mengetuk pintu, itulah sebabnya aku tidur di depan pintu."

Kisah 4 : Rasulullah s.a.w. dengan pendengki

Suatu hari ketika baginda s.a.w. melalui sebuah lorong di Madinah, seorang Yahudi menuangkan air ke atas kepala baginda dari atas rumahnya. Akan tetapi, baginda berlalu begitu sahaja tanpa marah sedikit pun setelah membersihkan diri dan bajunya di sebuah lorong.

Demikianlah perbuatan tersebut berulang kali berlaku ketika baginda s.a.w. melalui lorong tersebut.

Pada suatu hari berikutnya ketika baginda sedang melalui lorong tersebut, orang Yahudi itu tidak lagi menuangkan air di atas kepalanya. Baginda hairan, lantas bertanya : "Mengapa hari ini dia tidak menyiramkan air lagi?" Penduduk yang bermukim di sekitar lorong itu berkata: "Dia sakit". "Kita harus menjenguknya", tegas baginda s.a.w.

Ketika melihat keakraban dan kecintaan luhur di wajah Rasulullah s.a.w., orang Yahudi berasa bahawa dirinya adalah sahabat lama baginda s.a.w. dan perasaan hendak menyakiti baginda hilang musnah.

No comments: